Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1305 : HUKUM ANAK MANDIKAN JENAZAH IBU BAPA

AL KAFI 1305

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, bolehkah seorang anak lelaki memandikan jenazah ibunya atau anak perempuan memandikan jenazah bapanya ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Memandikan jenazah seseorang yang beragama Islam dari kalangan lelaki dan perempuan merupakan fardhu kifayah ke atas orang Islam yang lain. Dalil kewajipan memandikan jenazah ini diambil berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَاغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ

Maksudnya: Dan hendaklah kalian memandikan dia (jenazah) dengan air dan bidara.

Riwayat Abu Daud (3238)

Bahkan menjadi ijma’ para ulama bahawa menjadi fardhu kifayah ke atas umat Islam untuk memandikan jenazah saudara seislam mereka yang telah meninggal dunia. Ini seperti yang dikatakan oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah:

وَغُسْلُ الْمَيِّتِ فَرْضُ كِفَايَةٍ بِإِجْمَاعِ الْمُسْلِمِينَ وَمَعْنَى فَرْضِ الْكِفَايَةِ أَنَّهُ إذَا فَعَلَهُ مَنْ فِيهِ كِفَايَةٌ سَقَطَ الْحَرَجُ عَنْ الْبَاقِينَ وَإِنْ تَرَكُوهُ كُلُّهُمْ أَثِمُوا كُلُّهُمْ

Maksudnya: Dan memandikan mayat itu merupakan fardhu kifayah berdasarkan ijma’ seluruh umat Islam. Makna fardhu kifayah itu adalah apabila ia telah dilakukan oleh mereka yang ada kifayah padanya maka gugurlah dosa ke atas orang yang lain. Dan sekiranya kesemua mereka meninggalkan perbuatan tersebut maka berdosalah kesemuanya. Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/128).

Secara asasnya, apabila seseorang lelaki itu meninggal dunia maka dia akan dimandikan oleh ahli keluarga terdekat dari kalangan lelaki juga mengikut keutamaannya. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi:

فان كان الميت رجلا لا زوجة له فأولى الناس بغسله الْأَبُ ثُمَّ الْجَدُّ ثُمَّ الِابْنُ ثُمَّ ابْنُ الِابْنِ ثُمَّ الْأَخُ ثُمَّ ابْنُ الْأَخِ ثُمَّ العم ثم ابن العم لانهم احق بالصلاة عليه فكانوا احق بغسله

Maksudnya: Sekiranya yang meninggal dunia itu adalah seorang lelaki yang tidak mempunyai isteri maka orang yang paling utama memandikan jenazahnya adalah bapanya, kemudian datuknya, kemudian anak lelakinya, kemudian cucu lelakinya, kemudian saudara lelakinya, kemudian anak saudaranya yang lelaki, kemudian bapa saudara, kemudian sepupu lelaki. Ini kerana mereka merupakan golongan yang paling berhak untuk menunaikan solat jenazah ke atasnya maka demikian mereka juga paling berhak untuk memandikan jenazahnya. Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/129).

Meskipun begitu ada juga pandangan yang menyebut bahawa seseorang lelaki itu boleh dimandikan oleh isterinya sekiranya dia meninggal dunia. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah R.Anha beliau menyatakan:

أَنَّ ابا بكر رضي الله عنه أوصى أسماء بنت عميس لتغسله

Maksudnya: Sesungguhnya Abu Bakar mewasiatkan kepada (isterinya) Asma’ binti ‘Umais untuk memandikan (jenazahnya).

Rujuk Al-Muwatha’, Malik bin Anas (1/223)

Perbahasan panjang lebar berkenaan hukum suami atau isteri memandikan jenazah pasangan mereka telah kami sebutkan dalam ruangan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 211: Batalkah Wuduk Suami Apabila Memandikan Jenazah Isteri yang boleh dirujuk menerusi pautan berikut https://bit.ly/2Rni5s7

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa prinsip asal dalam pemandian jenazah ini adalah jenazah lelaki dimandikan oleh orang lelaki dan jenazah perempuan dimandikan oleh orang perempuan. Sekiranya si mati adalah lelaki maka yang lebih utama untuk memandikannya adalah mereka yang paling utama menunaikan solat ke atas jenazahnya dan juga isterinya. Namun jika dia tidak mempunyai isteri maka individu yang utama memandikan jenazahnya adalah sebagaimana turutan yang telah disebutkan oleh Imam Al-Nawawi di atas.

Manakala dalam satu pandangan yang lain di sisi Al-Syafi’eyyah menyebut bahawa dalam proses pemandian jenazah orang lelaki, didahulukan golongan lelaki dari kalangan kaum kerabat, kemudian isteri, kemudian orang lelaki ajanib (bukan kerabat), dan kemudiannya wanita-wanita mahram.

Berkaitan dengan jenazah orang perempuan pula kami nukilkan kenyataan dari Imam al-Shirazi Rahimahullah yang menyebut:

فان ماتت امرأة ولم يكن لها زوج غسلها النساء وأولاهن ذات رحم محرم ثم ذات رحم غير محرم ثم الاجنبية فان لم يكن نساء غسلها الاقرب فالاقرب من الرجال

Maksudnya: Sekiranya seorang perempuan itu meninggal dunia dan dia tidak mempunyai suami maka yang memandikan jenazahnya adalah orang-orang perempuan. Yang paling utamanya adalah golongan wanita yang mempunyai hubungan kekeluargaan dari kalangan mahram kemudian yang wanita yang mempunyai hubungan kekeluargaan selain dari kalangan mahram, kemudian wanita ajnabiyyah (bukan keluarga). Sekiranya tidak ada golongan perempuan, maka jenazah wanita itu dimandikan oleh kaum kerabat yang paling hampir dari kalangan orang lelaki.

Rujuk Al-Muhazzab Fi Al-Fiqh al-Syafi’e, Al-Shirazi (1/238).

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas kenyataan Al-Shirazi di atas memperincikan lagi perbahasan tersebut dengan katanya:

إذَا مَاتَتْ امْرَأَةٌ لَيْسَ لَهَا زَوْجٌ غَسَّلَهَا النِّسَاءُ ذَوَاتُ الْأَرْحَامِ الْمَحَارِمِ كَالْأُمِّ وَالْبِنْتِ وَبِنْتِ الِابْنِ وَبِنْتِ الْبِنْتِ وَالْأُخْتِ وَالْعَمَّةِ وَالْخَالَةِ

Maksudnya: Apabila seorang perempuan itu meninggal dunia dan dia tidak mempunyai suami maka dia dimandikan oleh golongan perempuan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dari kalangan mahram seperti ibu, anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara dari sebelah bapa serta ibu saudara dari sebelah ibu.

Maka inilah susunan keutamaan bagi menerangkan individu-individu yang utama dalam proses memandikan jenazah perempuan. Manakala sekiranya si mati mempunyai suami, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa didahulukan suami ke atas wanita-wanita lain dalam proses pemandian jenazah tersebut. Namun pendapat yang sahih dalam kalangan ashab al-Syafi’eyyah adalah didahulukan orang-orang perempuan dalam urusan pemandian jenazah perempuan berbanding suaminya.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa sekiranya anak lelaki memandikan jenazah bapanya maka ini adalah dibolehkan. Demikian juga dibolehkan untuk anak perempuan memandikan jenazah ibunya.

Adapun anak lelaki memandikan jenazah ibunya dan anak perempuan memandikan jenazah bapanya, hal ini hanyalah dibolehkan apabila tidak terdapatnya turutan-turutan awal golongan yang diberi keutamaan dari kalangan orang-orang lelaki dan juga perempuan. Dalam situasi ini, tatacaranya adalah dengan memandikan jenazah dari sebalik pakaian yang menutup jenazah dan mengelap badan jenazah dengan menggunakan perca kain dan bukannya dengan tangan sendiri.

Sekiranya golongan-golongan yang utama memandikan jenazah itu ada, maka tidak boleh untuk anak perempuan memandikan jenazah bapa dan tidak boleh anak lelaki memandikan jenazah ibunya.

Kami nyatakan, menjadi suatu tuntutan kepada anak-anak untuk berterusan dalam melancarkan proses pengurusan jenazah ibubapa mereka, di samping memperbanyakkan doa kepada Allah S.W.T agar diberikan keampunan dan rahmat kepada jenazah mereka.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.