Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1347: HUKUM BERMESRAAN SECARA SEKSUAL TANPA JIMAK KETIKA HAID

af1347 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt. Tuan,

Saya telah habis haid (telah kering darah haid) tetapi pada waktu itu belum melaksanakan mandi wajib. Kemudian saya serta suami telah bermesraan (bercumbuan) dan telah berlakunya saling bersentuhan kedua-dua alat sulit kami secara tidak berlapik tetapi tidak berlaku penterasi ke dalam bahagian ruang tempat persetubuhan tersebut. Hanya geseran alat sulit di antara keduanya.

Tuan,

  1. Apakah hukum terhadap perbuatan itu?
  2. Dan wajibkah bagi kami untuk membayar fidyah atau kaffarah bagi perkara tersebut?
  3. Jika dikenakan fidyah, bagaimanakah pelaksanaan itu perlu dilakukan? Boleh dengan hanya bersedekah?

Terima kasih di atas segala jawapan atau pencerahan yang diberikan, ianya amat bermakna bagi menghilangkan kegusaran hati dan persoalan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama, perlu kita fahami bahawa Islam melarang pasangan suami isteri untuk melakukan hubungan intim sepanjang tempoh keluarnya darah haid. Hal ini termasuklah berseronok atau bermesraan secara seksual di antara pusat hingga lutut menurut mazhab al-Syafie. Larangan ini dinyatakan melalui firman Allah ﷻ:

فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ ُ

Maksudnya: Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.

(Surah al-Baqarah: 222)

Berkata Imam al-Mawardi dalam menafsirkan ayat di atas: “Yang dimaksudkan dengan al-i`tizal dalam ayat ini terbahagi kepada tiga pendapat;

  1. Meninggalkan seluruh badan isterinya daripada mubasyarah (dinikmati secara seksual dan secara langsung). Inilah pendapat Ubaidah al-Silmani.
  2. Meninggalkan (mubasyarah) pada bahagian di antara pusat dan lutut. Ini pendapat Syuraih.
  3. Meninggalkan (persetubuhan) pada faraj. Inilah pendapat Aisyah, Maimunah, Hafsah dan Jumhur ahli tafsir.

Rujuk al-Nukat wa al-`Uyun (1/238)

Al-I’tizal (الاعتزال) di sini asalnya bermaksud meninggalkan persetubuhan. Justeru, mubasyarah (bermesraan secara seksual secara langsung tanpa lapik) antara suami isteri pada bahagian antara pusat dan lutut adalah dilarang kerana ia membawa kepada persetubuhan.

 

Namun begitu, hal ini berbeza jika perbuatan bermesra itu dilakukan dengan lapik seperti kain atau pakaian. Daripada Maimunah R.Anha:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُبَاشِرُ نِسَاءَهُ فَوْقَ الْإِزَارِ وَهُنَّ حُيَّضٌ

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah bermesraan secara seksual dengan isteri-isteri Baginda pada bahagian atas daripada izar (pakaian yang menutup pertengan badan yakni antara pusat dan lutut) sedangkan mereka berada dalam keadaan haid.”

Riwayat Muslim (no. 294)

Daripada Haram bin Hakim, daripada bapa saudara sebelah bapanya, Abdullah bin Sa`ad, bahawa Rasulullah ﷺ pernah ditanya apakah bahagian yang dihalalkan ke atas suami semasa isterinya didatangi haid. Rasulullah ﷺ bersabda:

لَكَ ما فَوْقَ الإِزارِ

Maksudnya: “(Dibenarkan) bagimu bahagian badan selain dari kawasan memakai kain.”

Riwayat Abu Daud (212)

Justeru, diharamkan ke atas suami dan isteri untuk melakukan persetubuhan dan bermesraan pada kawasan antara pusat dan lutut secara langsung tanpa lapik. Rujuk Busyra al-Karim Syarh Muqaddimah al-Hadhramiyyah (hlm. 173) oleh Syeikh Sa`id Ba `Isyn Rahimahullah. Ini adalah pendapat yang lebih berhati-hati.

Pendapat kedua dalam mazhab al-Syafie menyatakan bahawa tidak diharamkan perbuatan mubasyarah di antara pusat dan lutut. Ini kerana terdapat hadis daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda selepas menyebut ayat222 Surah al-Baqarah di atas:

اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إِلَّا النِّكَاحَ

Maksudnya: “Perbuatlah oleh kalian apa sahaja selain nikah (persetubuhan).”

Riwayat Muslim (302)

Mereka berhujah bahawa inilah dalil yang menunjukkan bahawa perkara yang diharamkan hanya persetubuhan dan larangan beristimta’ antara pusat dan lutut hanylah larangan bersifat makruh yang meninggalkan adalah digallakkan. Inilah antara ikhtiyarat (pendapat terpilih) oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (2/365).

Kami cenderung kepada pendapat bahawa dibenarkan untuk beramal dengan pendapat kedua ini sekiranya suami dan isteri diuji dengan perkara yang boleh menyebabkan zina atau seumpamanya, selagi mana tidak melibatkan persetubuhan.

Walau bagaimanapun, para ulama bersepakat bahawa sekiranya berlaku istimta’, selain pada bahagian antara pusat dan lutut, tidak dikenakan kaffarah atau bayaran denda. Berkata Imam al-Nawawi:

“Sekiranya kita berpegang kepada pendapat yang haramnya mubasyarah dengan bahagian di antara pusat dan lutut, maka orang yang melakukannya secara sengaja dan tidak dipaksa serta mengetahui pengharamannya adalah berdosa dan tidak ada denda yang wajib dibayar tanpa khilaf.”

Rujuk al-Majmu’ (2/366)

Sekiranya sabit berlakunya persetubuhan semasa tempoh haid atau sebelum mandi wajib, maka hukumnya adalah berdosa dan disunatkan untuk membayar kaffarah kepada golongan faqir atau miskin..Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas R.Anhuma:

إِذَا أَصَابَهَا فِي الدَّمِ فَدِينَارٌ، وَإِذَا أَصَابَهَا فِي انْقِطَاعِ الدَّمِ فَنِصْفُ دِينَارٍ

Maksudnya: Jika seorang lelaki menyetubuhi isterinya sedangkan dia sedang haid, jika darahnya berwarna merah maka hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar dan jika darahnya sudah berhenti maka hendaklah dia bersedekah dengan separuh dinar

Riwayat Abu Daud (2169)

Bayaran itu hendaklah dibayar oleh si suami dan bukan si isteri kerana lelaki itu yang menyetubuh. Begitu juga jika dia bersetubuh apabila berhentinya darah haid tetapi belum mandi, maka keadaan wanita itu dianggap sama seperti yang keluar darah kekuningan. Ertinya, sunat dibayar denda separuh harga dinar.

Rujuk al-Iqna` oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (146-147)       

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami berpendapat seperti berikut:

  1. Hukum melakukan istimta’ (bermesraan secara seksual) secara langsung tanpa lapik pada bahagian antara pusat dan lutut semasa haid adalah diharamkan menurut majoriti ulama mazhab al-Syafie sekalipun jika tidak melibatkan persetubuhan. Ini sebagai langkah berhati-hati agar tidak terjerumus kepada aktiviti persetubuhan yang diharamkan secara nas al-Quran, Hadith dan Ijma’.
  2. Pun begitu, bagi mereka yang melakukannya dengan sengaja, mereka dianggap berdosa tanpa diwajibkan membayar fidyah atau kaffarah. Hendaklah mereka bertaubat dan memperbanyakkan amalan soleh termasuk bersedekah.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada penanya. Wallahua’lam.