Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-29: BADAR KUBRA: INSPIRASI DAN IBRAH DARIPADANYA

Mukaddimah

Alhamdulillah, pada ruangan kali ini dalam Bayan Linnas sengaja kami paparkan kisah sejarah perang Badar ini kerana ia berlaku pada bulan Ramadan. Justeru kami namakan tajuk pada kali ini dengan Badar Kubra: Inspirasi dan Ibrah Daripadanya. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua dalam memahami sirah Rasulullah SAW untuk menegakkan agama Allah dan syiarnya.

 

 

Ghazwah Badar al-Kubra

Ia berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah. la bermula apabila Nabi SAW mempelawa para sahabat Baginda untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang pulang dari Syam ke Makkah. Misi asal sekatan itu bukannya dengan tujuan peperangan. Walau bagaimanapun kafilah yang diketuai oleh Abu Sufian tersebut telah terselamat daripada sekatan orang Islam. Namun Abu Sufian sebelum itu telah mengutuskan utusan kepada Quraisy untuk keluar melindungi kafilahnya. Rentetan permintaan tersebut, Quraisy telah keluar dengan bilangan kira-kira 1000 orang tentera. Antaranya 600 orang tentera berbaju perisai, 100 ekor kuda yang dipakaikan 100 baju perisai. Ini tidak termasuk baju perisai tentera pejalan kaki dan 700 ekor unta. Mereka turut membawa penyanyi-penyanyi perempuan yang memukul gendang dan menyanyi mengutuk orang Islam.

 

Sementara itu, bilangan orang Islam pula seramai 313 atau 314 orang. Kebanyakan mereka daripada golongan Ansar. Mereka membawa 70 ekor unta dan dua atau tiga ekor kuda sahaja. Mereka bergilir-gilir dalam kumpulan-kumpulan kecil menaiki unta tersebut dari satu masa ke satu masa. Sebelum Nabi SAW memasuki pertempuran, Baginda ingin mengambil pandangan para sahabatnya, khususnya kaum Ansar. Baginda ingin mengambil pandangan mereka untuk terlibat dalam peperangan. Kaum Muhajirin telah mencadangkan kepada Baginda untuk terlibat dalam peperangan itu. Mereka telah berucap dengan baik. Kemudian Ansar menyedari Baginda mahukan pandangan mereka. Lantaran itu, Saad bin Muaz, ketua Ansar, berkata kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, kami telah beriman dengan kamu, membenarkan risalahmu. Kami menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar dan kami telah berikan janji juga ikrar untuk mendengar arahan dan taat kepadamu. Oleh itu, teruskan wahai Rasulullah, apa yang kamu mahu. Kami tetap akan bersama kamu. Demi Tuhan yang mengutuskan kamu membawa kebenaran, kalau kamu bentangkan kepada kami laut ini, nescaya kami akan meng-harunginya bersama kamu. Tiada seorangpun daripada kami yang tercicir. Kami tidak benci untuk bertemu dengan musuh kami esok. Kami kaum yang sabar ketika perang dan jujur (tidak belot) ketika bertemu musuh. Semoga Allah membuatkan sesuatu berlaku kepada kalangan kami yang menggembirakan kamu. Berangkatlah bersama kami dengan berkat Allah."

 

Sahabat yang lain juga berucap seumpama itu. Rasulullah SAW merasa gembira dengan jawapan itu, seraya bersabda:

 

Maksudnya: "Berangkatlah kamu dengan berkat Allah. Bergembiralah. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadaku untuk berhadapan dengan salah satu kumpulan; sama ada kafilah dagang ataupun angkatan tentera."

 

Kemudian Rasulullah SAW berjalan sehingga sampai ke perigi Badar yang paling hampir lalu Baginda berhenti di situ. Lantas al-Hubab bin al-Munzir bertanya: "Wahai Rasulullah! Adakah tempat ini ditetapkan oleh Allah Taala kepada kamu di mana kamu tidak boleh terkedepan mahupun terkebelakang. Atau ia merupakan buah fikiran, strategi perang dan tipu helah?"

 

Rasulullah SAW menjawab: "Bahkan ia berdasarkan buah fikiran, strategi perang dan tipu helah".

 

Maka al-Hubab bin al-Munzir mencadangkan kepada Baginda agar berpindah ke tempat lain yang lebih strategik dan membolehkan orang Islam menyekat air Badar sampai kepada orang musyrik. Oleh itu, Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda berangkat sehingga mereka sampai ke tempat yang dicadangkan oleh al-Hubab. Mereka kemudiannya berhenti di situ. Seterusnya Saad bin Muaz mencadangkan agar dibina sebuah khemah untuk Rasulullah SAW di belakang barisan tentera Islam. Sekiranya Allah memuliakan mereka dengan kemenangan, itulah yang mereka sukai. Jika tewas, Baginda boleh menaiki tunggangannya dan kembali menyertai orang Islam di Madinah. Saad berkata kepada Baginda: "Sebahagian orang Islam tidak hadir bersama kita, wahai Nabi Allah. Ini bukanlah bererti cinta kami terhadapmu lebih hebat berbanding mereka. Jika mereka tahu kamu akan berperang, nescaya mereka tidak tercicir untuk turut serta bersamamu."

 

Oleh itu, Nabi SAW mendoakan kebaikan untuk Saad bin Muaz. Baginda memerintahkan agar dibina sebuah khemah untuk Baginda. Apabila kedua-dua kumpulan (orang Islam dan orang musyrik) bersemuka, Rasulullah SAW meluruskan barisan orang Islam, membakar semangat mereka untuk berperang dan memotivasi mereka untuk mati syahid.

 

Baginda bersabda:

والذي نفسي بيده، لا يقاتلهم اليوم رجل فيقتل صابرا محتسبا مقبلا غير مدبر آلا آدخله الله الجنة

 

Maksudnya: "Demi Tuhan yang jiwaku di dalam genggaman-Nya, sesiapa yang memerangi mereka (tentera orang musyrik) pada hari ini, kemudian dia terbunuh dalam keadaan penuh kesabaran dan ikhlas, terus maju dan tidak lari dari medan pertempuran, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga."

 

Setelah itu Baginda pulang ke khemah bersama Abu Bakar dengan dikawal oleh Saad bin Muaz yang siap menghunuskan pedangnya. Rasulullah SAW mula berdoa. Antara doa Baginda:

اللهم آني أنشدك عهدك ووعدك اللهم آن تهلك هذه العصابة من آهل الاسلام (المؤمنون المحاربون) لا تعبد في الآرض

 

Maksudnya: "Ya Allah, aku menagih janji dan jaminan-Mu. Ya Allah, jika Kamu binasakan kelompok ini (pejuang-pejuang mukmin), Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi."

 

Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga Abu Bakar berkata: "Cukuplah.

Sesungguhnya AlIah akan melaksanakan janji-Nya untukmu."

 

Kemudian peperangan meletus dan berakhir dengan kemenangan orang Islam. Kira-kira 70 orang musyrik telah terbunuh termasuk ketua mereka yang paling tegar dengan kesyirikannya iaitu Abu Jahal. Turut terbunuh sebahagian pemimpin mereka. Mereka yang ditawan pula kira-kira 70 orang. Baginda telah memerintahkan agar semua yang terbunuh dikebumikan. Baginda pulang ke Madinah dan melakukan syura dengan para sahabat Baginda tentang urusan tawanan perang. Umar mencadangkan supaya mereka dibunuh. Abu Bakar pula mencadangkan supaya mereka menebus diri mereka. Rasulullah SAW menerima cadangan Abu Bakar. Oleh itu, orang musyrik telah menebus tawanan mereka dengan harta.

 

 

Hikmah didalam peperangan Badar

Peperangan Badar ini amat besar ertinya bagi agama Islam.  Andai kata tentera Islam kalah dalam peperangan ini maka tamatlah riwayat orang-orang Islam malah agama Islam itu sendiri.  Kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Islam di Madinah dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar.  Mereka telah mula disegani dan ditakuti oleh kabilah-kabilah Arab lain dan digeruni oleh orang Yahudi dan Munafiqin Madinah.  Sebaliknya pengaruh orang Quraisy Makkah mula lemah dan merosot.  Orang yang ditawan oleh tentera Islam pula, apabila mereka balik ke Makkah setelah dilepaskan telah menceritakan kepada sahabat-sahabat dan keluarga tentang kebaikan orang Islam.  Cerita ini dengan secara tidak langsung telah memberi pertolongan yang besar kepada perkembangan agama Islam di Makkah.  Mereka yang selalunya menerima layanan buruk dari orang Quraisy secara diam telah berhijrah ke Madinah dan memeluk agama Islam.  Dengan ini tentera Islam bertambah dari masa ke masa.  Perang Badar telah memperkuatkan lagi kepercayaan orang Islam kepada Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam.  Mereka sanggup berkorban jiwa untuk kepentingan Baginda dan agama Islam.

 

 

Ibrah dari Badar Kubra

 

  • Perjuangan Pasti Diuji

Menjadi lumrah apabila Islam berkembang ia akan mendapat tentangan. Ini adalah sunnah perjuangan Islam yang dilalui oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita. Ketika Islam lemah mereka buat tidak mengendahkan orang Islam, tetapi apabila ia semakin kuat, mereka mengganggu gugat. Maka inilah yang berlaku kepada Rasulullah SAW di dalam peperangan Badar. Orang Islam  hanya untuk menyekat kafilah perniagaan yang membawa barang dagangan sahaja, bukan hendak berperang. Tetapi apabila mereka mahu berperang, maka Nabi SAW dan para sahabat tidak akan mudah mengalah begitu sahaja demi maruah Islam.

 

  • Pertahan Islam, Bukan Agenda Peribadi

Ketika menghadapi saat genting, Baginda bermunajat dengan Allah demi survival Islam, bukan keselamatan baginda dan keluarganya.

اللَّهُمَّ أَنْجِزْنِيْ مَا وَعَدْتَنِيْ. اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِيْ. اللّهُمَّ إِنْ تَهْلِك هَذِهِ الْعِصَابَة لاَ تُعْبَد في الأرض

 

“Ya Allah Ya Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Ya Tuhanku, Jika binasa kumpulan ini, nescaya tiada siapa lagi yang menyembahMu di dunia ini.”

 

  • Lazimi Syura

      Walaupun baginda seorang Rasul yang diberi wahyu oleh Allah, namun Baginda diajar supaya di dalam satu keputusan besar mesti diputuskan secara bersama. Baginda melakukan demikian untuk mentarbiyah umatnya untuk melazimi syura. Dengan bermesyuarat, Insya-Allah di sana ada keberkatan. Ia amat berbeza dengan keputusan yang diputuskan secara bersendirian.

 

  • Taati Pemimpin

      Sikap sahabat daripada kalangan Ansar dan Muhajirin adalah contoh yang terbaik perlu diikut, terutama saat getir yang memerlukan keputusan yang padu daripada semua pihak. Mereka mentaati apa sahaja arahan Rasulullah SAW bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Di dalam organisasi tidak akan maju sekiranya ahli merasakan beliau lebih pandai daripada pimpinan organisasi.

 

  • Perancangan Rapi dan Berstrategi

            Baginda SAW adalah seorang yang pakar dalam strategi peperangan. Ketika meyusun atur dalam peperangan tersebut baginda mengambil kira dari segi kekuatan dan kelemahan pihak Islam dan Kuffar.

 

  • Munajat Doa Kepada-Nya

            Rasulullah SAW mengajar kita walaupun kita telah menyusun strategi yang terbaik, namun jangan kita lupa kepada Allah Taala untuk kita menyerahkan segala urusan kepadanya.

 

  • Husnu Thiqah Billah (Sangka Baik Dengan Allah)

            Sebagai pejuang Islam, kita mesti mempunyai sangka baik dengan Allah yang pasti membantu setiap hamba-Nya.

 

  • Wehdah Asas Kejayaan

            Walaupun bilangan tentera musyrikin Makkah lebih ramai daripada tentera Islam, tetapi mereka tidak bersatu dan berbelah bagi antara takut dan berani. Sedangkan tentera Islam walaupun sedikit, tetapi bersatu hati dan bersatu azam untuk bersama Rasulullah SAW walaupun orang Muhajirin terpaksa berhadapan dengan kaum dan bangsa mereka sendiri. Pada mereka ikatan tauhid mengatasi segala-galanya. Dengan ini sebagai orang Islam kita harus bersatu demi untuk mencapai kemenangan.

            Kaum Quraisy terlalu yakin yang mereka akan berjaya memusnahkan Islam yang memang sedikit dari jumlah tetapi tidak dari semangat.  Mereka tidak dapat mengalah tentera Islam kerana semangat tentera Islam begitu kukuh kerana Rasulullah SAW telah berjaya menjalin silaturrahim yang kuat sesama Islam.  Nabi Muhammad SAW adalah pentabdir yang berkaliber dan pintar mengendalikan strategi peperangan.  Orang Islam mempunyai pegangan iaitu berjaya di dunia atau mati syahid.

 

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

            Sebenarnya Ghazwah Badar telah mencatatkan pelbagai bentuk kemenangan dalam peperangan tersebut sama ada moral, jiwa, semangat dan juga kemenangan hakiki bagi umat Islam yang sudah sekian lama ditindas oleh Quraisy Makkah dan umat Islam ketika itu dianggap sebagai mustad‘afin. Tetapi kemenangan berpihak kepada umat Islam kerana wujud pada mereka sifat dan syarat kemenangan menyebabkan mereka berjaya dengan cemerlang melakarkan kejayaan yang amat luar biasa.

            Saya berpendapat amat wajar umat Islam menekuni semangat perang Badar untuk dihayati dan mengambil sebanyak mungkin Ibrah dan pengajarannya.

 

Penutup

            Marilah sama-sama kita menginsafi peristiwa peperangan badar ini untuk menjadi muntalaq dalam melakarkan kejayaan dalam kehidupan kita agar benar-benar menepati piawian dan syarat kemenangan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Isu yang terpenting adalah tiga hal yang utama iaitu doa dan munajat hanaya kepada Allah, kesatuan yang kukuh antara sesame sahabat dan mempunyai strategi serta perancangan yang rapi. Ramuan kejayaan ini terwujud pada tentera Islam Badar. Semoga Allah menjadikan kita sentiasa bersatu padu dalam meninggikan syiar Islam dan memajukan negara kita. Amin.

 

 

Akhukum Fillah,

 

SS Datuk Dr Zulkifli bin Muhamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Perseketuan

14 Ramadan 1436 bersamaan 01 Julai 2015