Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

talib ilmu.JPG

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Sempena tahun baru kemasukan pelajar-pelajar siswa siswi ke universiti pada pertengahan September yang lalu, maka para ibu bapa dan kaum keluarga telah menghantar putera puteri kesayangan mereka untuk mencari segunung ilmu sebagai bekalan hidup di menara gading yang menjadi mercu tanda ilmu. Banyak air mata tumpah dek kerana perpisahan. Begitu juga banyak nasihat, pesanan dan wasiat dititipkan oleh ibu bapa kepada anak kesayangan mereka yang mereka tinggalkan semata-mata kerana untuk menuntut ilmu.

Dalam Qalam Mufti pada kali ini, saya ingin titipkan sebuah nasihat iaitu Jadilah Kamu Talib Ilmu yang memberi makna penuntut ilmu. Kalimah tuntut adalah sebuah kesungguhan tekad, keazaman dan cita-cita yang besar bagi memperolehi ilmu di samping himmah yang amat tinggi. Itulah makna penuntut ilmu.

Justeru, sebagai bekalan semangat dan himmah yang tinggi, saya nukilkan di sini satu kisah yang menarik. Pada 14 September 2019 yang lepas, saya telah berangkat ke kota Kaherah, Mesir untuk menghadiri satu seminar yang dianjurkan oleh Kementerian Wakaf Mesir.

Di sela-sela waktu yang berbaki, sempat saya menemui seorang tokoh ulama’ Mesir yang banyak mewarisi ilmu daripada guru yang dikasihinya iaitu al-’Allamah al-Syeikh Mustafa al-Nadwi yang menetap di Mansurah. Kami telah bertemu di rumah Wilayah Persekutuan. Saya mengambil kesempatan agar beliau menitipkan semangat dan himmah dalam menuntut ilmu kepada pelajar Malaysia di Kaherah. Alhamdulillah, ramai yang datang. Salah satu daripada nasihat yang banyak, beliau menceritakan kisah Imam Baqi bin Makhlad Al-Andalusi.

Kami titipkan di sini kisah tersebut seupaya mungkin. Beliau ialah Baqi bin Makhlad bin Yazid dan dilahirkan pada bulan Ramadhan tahun 201 Hijrah. (Lihat Tarikh Ulama' al-Andalus oleh Ibn al-Faradhi, 2/93) Di dalam al-Manhaj al-Ahmad fi Tarajim Ashab al-Imam Ahmad, karya al-Ulaimi, (1/177) dan dalam Ikhtisar al-Nablusi li Tabaqat al-Hanabilah oleh Ibn Ya’la (hlm. 79) turut menyebut berkenaan biografi Imam Baqi bin Makhlad Al-Andalusi. Beliau telah bermusafir dari negerinya nun jauh ke kota Baghdad dengan hanya berjalan kaki. Himmah dan cita-cita besarnya semata-mata untuk bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal dan menuntut ilmu daripadanya.

Beliau menceritakan: “Ketika aku hampir tiba ke kota Baghdad, aku mendengar berita ujian yang menimpa Ahmad bin Hanbal iaitu ditahan di rumahnya tanpa boleh menyampaikan ilmu serta mengajar kepada mana-mana orang. Aku merasa amat sedih disebabkan itu. Lalu aku pun mencari tempat tinggal untuk aku menetap. Setelah aku letakkan baranganku di satu bilik kecil yang aku sewa, lantas aku terus menuju ke masjid jami’ yang besar. Aku amat ingin duduk bersama penuntut ilmu dalam halaqah-halaqah yang ada dan mendengar apa yang mereka bincangkan.

Aku hadir ke sebuah majlis ilmu yang mulia. Terdapat seorang lelaki yang sedang membicarakan keadaan para perawi. Beliau mendha’ifkannya dan menguatkan mereka. Aku bertanya kepada orang yang berada berhampiranku, “Siapakah dia?” Orang itu menjawab, “Itulah Yahya bin Ma’in.”[1] Aku melihat ada ruang yang kosong berhampiran dengannya. Aku cepat-cepat menuju kepadanya sambil berkata, “Wahai Abu Zakariya, semoga Allah merahmatimu. Aku adalah seorang lelaki perantau dari negeri yang jauh. Aku ingin bertanya, mohon jangan meremehkanku.” Lantas katanya kepadaku, “Silakan.” Maka, aku bertanya kepadanya tentang sebahagian ahli hadis yang pernah aku temui. Dia memberi jawapan dan pujian yang baik kepada sebahagian dari mereka, dan menyebut dengan kecacatan pada sebahagian yang lain.

Di akhir pertanyaan, aku bertanya kepadanya tentang Hisyam bin Ammar di mana aku sendiri banyak mengambil ilmu darinya. Yahya berkata, “Abu al-Walid Hisyam bin Ammar, ahli solat dan ibadat dari kota Damsyiq. Thiqah bahkan lebih dari thiqah. Dan, kalau pun dalam pakaiannya terdapat kesombongan atau takabbur, nescaya dia bermujahadah untuk menentang kesombongan tersebut. Ini kerana ia tidak dapat mempengaruhi keadaannya lantaran kebaikan dan kemuliaannya.” Maka, orang-orang yang berada di halaqah berteriak, “Cukup bagimu, semoga Allah merahmatimu. Orang lain juga ingin bertanya.”

Dalam keadaan berdiri, aku sempat bertanya: “Boleh aku tahu berkenaan seorang lelaki bernama Ahmad bin Hanbal?” Maka, Yahya bin Ma’in memandangku dengan hairan. Beliau berkata kepadaku, “Orang seperti kita membicarakan Ahmad bin Hanbal? Beliau adalah Imam umat Islam. Orang terbaik dan termulia dari kalangan mereka.”

Aku pun keluar mencari kedudukan rumah Imam Ahmad bin Hanbal. Aku menjumpai seseorang yang dapat membantu menunjukkan jalan ke rumahnya. Aku mengetuk pintu rumahnya. Dia lalu keluar dan membuka pintu. Dia melihat lelaki yang belum pernah dikenalinya. Aku berkata, “Wahai Abu Abdillah, saya adalah seorang lelaki perantau, yang negerinya jauh. Ini adalah kedatanganku pertama kali di negeri ini. Aku menuntut ilmu hadis dan pengumpul sunnah. Aku tidak bermusafir sejauh ini kecuali hanya kepadamu.” Dia berkata kepadaku, “Masuklah lorong itu dan jangan sampai terlihat oleh seorang pun.”

Lantas beliau bertanya kepadaku, “Di mana negerimu?” Aku menjawab, “Daerah Maghrib yang jauh.” Beliau bertanya kepadaku, “Afrika?” Aku menjawab, “Lebih jauh dari itu. Aku menyeberangi lautan untuk tiba ke Afrika. Negeriku Andalus.” Beliau berkata, “Negerimu benar-benar jauh. Tidak ada sesuatu yang lebih aku sukai daripada membantu orang sepertimu dengan baik, untuk mewujudkan keinginannya. Hanya kerana saat ini aku sedang menghadapi ujian dengan sesuatu yang mungkin kamu telah mendengarkannya.” Aku menjawab, “Benar, aku telah mendengarnya ketika aku berjalan ingin menemuimu dan hampir tiba di sini.”

Aku bertanya kepadanya, “Wahai Abu Abdillah, ini adalah kedatanganku yang pertama kali. Aku adalah orang yang tidak dikenali di kalangan mereka. Jika Syeikh bersetuju, aku akan datang setiap hari dengan menyamar sebagai peminta sedekah. Di depan pintu, aku akan mengucapkan apa yang sering diucapkan para pengemis. Lalu, Syeikh keluar ke tempat ini. Seandainya Syeikh menyampaikan setiap hari hanya satu hadis sahaja, maka itu sudah cukup bagiku.” Beliau menjawab, “Ya, dengan syarat kamu jangan muncul di halaqah-halaqah, dan tidak pula kepada para ahli hadis.” Aku menjawab, “Saya berjanji.”

Pada hari berikutnya, aku mengambil ranting pohon dengan tanganku, kemudian membalut kepalaku dengan kain. Kertas dan dakwat aku sembunyikan di sebalik lengan bajuku. Lalu, aku datang ke pintu rumahnya sambil berteriak, “Pahala, semoga Allah merahmati kamu!” Begitulah yang diteriakkan oleh para peminta sedekah di sana. Maka, beliau keluar kepadaku dan menutup pintu. Beliau menyampaikan dua, tiga hadis atau lebih kepadaku.

Aku terus melakukan hal tersebut sehinggalah orang yang menimpakan ujian kepada beliau telah mati. Setelah itu, kepemimpinan diambil alih oleh orang yang berpegang kepada mazhab ahlussunnah. Maka, nama Ahmad bin Hanbal kembali masyhur. Beliau dihormati di mata manusia dan ketokohannya menjadi terkenal. Maka orang ramai berduyun-duyun datang kepadanya. Beliau kemudian semakin mengetahui kesabaranku yang sebenarnya. Jika aku mendatangi halaqahnya, beliau akan melapangkannya untukku dan mendekatkanku kepada dirinya. Beliau berkata kepada para ahli hadis, “Orang ini berhak menyandang gelaran sebagai penuntut ilmu yang sejati.” Kemudian, beliau menceritakan kisahku bersamanya. Dia menyampaikan hadis kepadaku, membacakannya untukku dan aku membacakannya kepadanya.

Suatu ketika, aku jatuh sakit. Aku berusaha untuk segera sembuh. Imam Ahmad bin Hanbal mencariku kerana aku tidak hadir di majlisnya. Beliau bertanya tentang diriku. Lalu ada yang memberitahu perihal sakitku kepadanya. Lantas dia datang untuk menjengukku bersama orang ramai. Ketika itu, aku terbaring di bilik yang aku sewa, beralaskan tikar, berselimut kain dan buku-buku yang ada di kepalaku.

Aku mendengar suara riuh rendah di luar bilikku. Aku mendengar mereka berkata, “Dia di sana. Lihatlah imam umat Islam telah datang.” Pemilik penginapan pun datang kepadaku dengan tergopoh-gopoh. Dia berkata kepadaku, “Wahai Abu Abd al-Rahman. Ini Abu Abdillah Ahmad bin Hanbal, imam umat Islam datang menjengukmu.”

Imam Ahmad segera masuk. Beliau duduk di sisi kepalaku. Bilik tersebut penuh sesak dengan orang ramai sehingga tidak muat. Sebahagian daripada mereka berada di luar bilik dengan berdiri, manakala pena tergenggam di tangan mereka. Imam Ahmad tidak mengatakan kepadaku melebihi dari kata-kata ini: “Wahai Abu Abd al-Rahman. Berbahagialah dengan pahala Allah. Engkau telah menjalani hari-hari sihat, yang tidak ada sakit padanya. Dan engkau sekarang sedang menjalani hari-hari sakit, yang tidak ada sihat padanya. Semoga Allah meninggikanmu kepada keselamatan dan memberikan kesembuhan kepadamu.” Aku melihat pena-pena menulis lafaz yang Imam Ahmad ucapkan.

Kemudian, beliau keluar meninggalkanku. Maka, penghuni penginapan berbondong-bondong mendatangiku, mengasihiku dan melayaniku atas dasar agama dan ingin mendapatkan pahala dari Allah SWT. Ada yang membawakan tilam. Ada yang membawakan selimut dan makanan-makanan yang lazat. Dalam merawat diriku yang sedang sakit, mereka lebih prihatin daripada keluargaku. Hal tersebut kerana aku telah dijenguk oleh seorang lelaki yang soleh. (Lihat Safahat Min Sabr al-‘Ulama’ 'ala Syada'id al-Ilm wa al-Tahsil oleh Syeikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah)

Imam Baqi bin Makhlad dicatatkan telahmeninggalkan beberapa karya yang agung. Antaranya kitab musnad dalam ilmu hadith. Ibn Hazm berkata, “Musnad Baqi memuatkan hadis riwayat daripada lebih 1300 orang sahabat, di mana beliau menyusun hadis setiap sahabat sesuai dengan bab-bab fiqh, sehingga ia merupakan kitab musnad sekaligus kitab musannaf. Aku tidak mengetahui susunan seperti ini bagi sesiapa pun sebelumnya.” (Lihat Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A'lam oleh al-Zahabi, 7/139)

Beliau turut menghasilkan karangan dalam bidang tafsir. Imam al-Suyuti dalam kitabnya Tabaqat al-Mufassirin menyebut berkenaan Tafsir Baqi Ibn Makhlad. Beliau meriwayatkan dari Ibn Hazm al-Zahiri bahawa Tafsir Baqi Ibn Makhlad adalah mempunyai kelebihan berbanding tafsir-tafsir lain termasuk Tafsir Ibn Jarir al-Tabari. Kata Ibn Hazm: “Beliau adalah seorang mufassir dan tidak ada karya dalam Islam yang menyerupai tafsir Baqi. Tidak tafsir Muhammad bin Jarir (Tafsir al-Tabari) dan tidak juga tafsir-tafsir selainnya. (Lihat Tabaqat al-Mufassirin, hlm. 40. Lihat juga Siyar A'lam al-Nubala', 12/287 dan Tarikh Ulama' al-Andalus oleh Ibn al-Faradhi, 2/93))

Ramai ulama' yang telah memberikan pujian terhadap beliau. Antara pujian yang diberikan terhadap Baqi bin Makhlad, adalah sepertimana yang disebut oleh Imam Ibn Abd al-Bar, katanya:, “Baqi adalah seorang yang mulia, bertakwa, gemar berpuasa, rajin beribadah dan pada masanya tidak ada yang sebanding dengannya dan unik.” (Lihat Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A'lam, 20/315)

Imam al-Zahabi pula berkata: “Baqi bin Makhlad ibn Yazid; Seorang Imam, seorang qudwah (tauladan), bergelar Syeikh al-Islam, Abu Abd al-Rahman al-Andalusi al-Qurtubi. Seorang al-Hafiz dan merupakan pengarang kitab Tafsir dan al-Musnad yang tidak ada tandingan bagi kedua-duanya.”

Kata beliau lagi: “Baqi bin Makhlad adalah seorang Imam Mujtahid, soleh, rabbani, jujur, ikhlas, induk dalam ilmu dan amal, tiada bandingannya, tidak banyak bergaul (kerana ilmu dan ibadah), berfatwa berdasarkan athar, tidak bertaqlid kepada seorang pun.” (Lihat Siyar A'lam al-Nubala', 13/285-286)

Daripada Tahir bin Abd al-Aziz al-Andalusi menyebut: “Beliau adalah seorang yang luas ilmunya seperti halnya lautan dan saya sangat takjub kepada beliau akan ilmunya yang sangat luas.” (Lihat Siyar A'lam al-Nubala', 13/286)

Baqi bin Makhlad wafat pada tahun 276 Hijrah di Andalusia. Semoga Allah SWT merahmatinya.

 

Penutup

Berdasarkan kisah di atas, maka kami simpulkan seperti berikut:

  • Pentingnya himmah yang tinggi dan semangat yang kuat
  • Tidak berputus asa dalam menuntut ilmu
  • Kemiskinan bukanlah satu halangan
  • Mengasihi guru
  • Benar-benar berjuang dalam menuntut ilmu
  • Berani bertanya untuk meraih ilmu tanpa ada rasa malu
  • Yakin dan tawakal kepada Allah SWT
  • Carilah guru yang mursyid
  • Sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah
  • Sentiasa menempatkan diri di hadapan dalam majlis-majlis ilmu tanpa memungkirinya

Semoga kita dapat mencontohi dan meneladani kesungguhan Baqi bin Makhlad dalam menuntut ilmu serta menekuninya dengan penuh kesabaran. Amin.

 

Nota hujung:

[1] Nama beliau ialah Yahya bin Ma’in bin ‘Aun bin Ziyad bin Bisthom dan kuniyyah beliau ialah Abu Zakariyya al-Murriy. Dilahirkan pada tahun 158 Hijrah dan meninggal di Madinah pada tahun 233 Hijrah. Umurnya pada ketika itu adalah 77 tahun kurang 10 hari. (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 2/159)