Visitors Hit

8912087 Views

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 282 (1 JUN 2016 M / 25 SYAABAN 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum wbt.

Ss Dato Dr, Saya ada soalan berkaitan orang mempunyai masalah pendengaran. 1) org yg ad masalah pendengaran sejak lahir (bukan xdgr langsung), dia tidak dpt membaca alquran dgn baik sbb ad sesetengah bunyi yg dia tidak dpt dengar. Jd dia tidak dapat baca dgn betul spt surah alfatihah. Jd ap hukumnya dlm hal ini? Mksdnya bagaimana status solatnya (bacaan dlm solat)? 2) sampai tahap mana dia kena berusaha? Kewajipan individu tersebut? 3) bagaimana pula dgn tanggungjwab ibubapa dlm menyediakan keperluan utk anak yg bermasalah pendengaran? 4) mohon cdngn buku atau mana2 sumber yg boleh saya rujuk. 5) mohon jgk nas alquran dan hadis yg berkaitan bg masalah ini. Jzkk.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

1- Dia cukup membaca apa yang dia mampu dengar dan boleh belajar. Solatnya sah.
2- Kewajipan dia berdasarkan kemampuan dia. Jika dia menghadapi kesukaran yang dia tidak mampu, maka dia mendapat keringanan atau rukhsah. Contohnya, orang yang bersolat wajib membaca rukun qauli dengan kadar suara yang didengar olehnya. Pengecualian bagi hukum ini ialah orang yang tidak memiliki pendengaran yang sihat, seperti pekak. Maka dia tidak wajib mendengar suaranya sendiri ketika solat. Rujuk I’anah al-Talibin (1/157).
3- Tanggungjawab mereka ialah menyediakan semampu mungkin pendidikan khususnya fardu ain, seperti menghantarnya ke sekolah Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menunjukkan contoh yang baik. Juga jika berkemampuan, dapatkan alat bantuan pendengaran.
4- Kami cadangkan penanya berhubung dengan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) di http://www.mydeafmuslim.org/ untuk bahan-bahan khusus.
5- Berkenaan kewajiban melakukan ketaatan berdasarkan kemampuan, Allah berfirman:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Surah al-Baqarah (2:286)

Firman Allah:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran

Surah al-Baqarah (2:185)

Firman-Nya lagi:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama.

(Surah al-Haj, 22:78)

Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

(Surah al-Taghabun, 64:16)

Sabda Rasulullah SAW:

فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ فَخُذُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَانْتَهُوا

Maksudnya: Maka jika aku menyuruh kaliah dengan sesuatu maka berpeganglah dengannya semampu kamu, dan jika aku larang kalian daripada suatu maka tinggalkanlah.

Hadis sahih riwayat Imam Ibn Majah (2)

Daripada Imran bin Hussein RA: Aku dahulu terkena buasir, lalu aku bertanyakan Rasulullah SAW tentang solatku, Baginda SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah kamu secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk. Jika tidak mampu (juga) maka solatlah di atas lambung (yakni baring mengiring).

Riwayat Imam al-Bukhari (1117) dalam Sahih-nya

Wallahua’lam.

 

Imej diperoleh dari Clipart FInder

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top