Visitors Hit

8445730 Views

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI #502: HUKUM WANITA HAID MENINGGALKAN TAWAF WADA’. ADAKAH DIKENAKAN DAM?

22 Disember 2016 bersamaan 22 Rabi’ al-Awwal 1438 H.

 

Soalan:

Baru-baru ini, saya sekeluarga menunaikan ibadah umrah. Pada hari terakhir kami di Mekah, isteri saya kedatangan haid manakala anak perempuan saya pulak sakit di bahagian perut yang menyebabkan mereka berdua tidak dapat melakukan tawaf wada’. Adakah mereka dikenakan dam atau tidak?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tawaf al-Wada’  (طواف الوداع) ataupun ‘tawaf selamat tinggal’ adalah ibadah yang dilakukan bagi mereka yang telah selesai menunaikan manasik Haji ataupun Umrah dan akan berangkat pulang ke tanah airnya meninggalkan Bait al-Haram.

Hukumnya adalah wajib sepertimana yang termaktub di dalam mazhab kita, mazhab Syaf’ie. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya:  Tidaklah seorang pun dari kalian yang ingin berangkat pulang melainkan mengakhirinya dengan melakukan tawaf.

Riwayat Muslim (1327)

 

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Minhaj bahawa hadith di atas menjadi dalil bahawa tawaf wada’ wajib dilakukan dan jika ditinggalkan maka dikenakan dam iaitu perlu disembelih seekor kambing. Ini adalah yang sahih di dalam mazhab Syaf’ie dan begitu juga pendapat kebanyakan ulama seperti al-Hasan al-Basri, al-Thauri, Hammad, Abu Hanifah, Ahmad, Ishak dan Abu Thaur Rahimahumullah. Adapun al-Imam Malik, Daud , Ibn al-Munzir mengatakan ianya adalah sunat sahaja dan tidak dikenakan dam bagi yang meninggalkannya.[1]

Zahir hadith menunjukkan ianya wajib dan tidak terdapat pengecualian kepada sesiapapun baik lelaki mahupun perempuan namun sebenarnya dalam sebuah hadith yang lain, terdapat pengecualian yang diberikan kepada perempuan yang haidh untuk tidak melakukan tawaf wada’ dan mereka tidak dikenakan apa-apa dam. Ianya adalah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

أَمْرَ النَّاسَ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنِ الْمَرْأَةِ الْحَائِضِ

Maksudnya: Manusia diarahkan  (oleh Nabi SAW) untuk melakukan tawaf wada’ kecuali keringanan diberikan kepada wanita yang haid (dari melakukannya).

Riwayat Muslim (1328)

 

Oleh itu, bagi perempuan yang kedatangan haid ketika ingin melakukan tawaf wada’, maka diberikan keringanan baginya untuk tidak melakukan tawaf wada’. Sekiranya dia telah bersih dari haid dan masih berada di Mekah maka wajib ke atasnya untuk melakukan tawaf wada’. Ini adalah mazhab al-Imam Syafi’e, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Ahmad dan juga ulama-ulama yang lainnya.

Adapun bagi mereka yang sakit, maka perlu dilihat tahap kesakitannya itu. Orang yang terpaksa dipimpin atau diusung kerana uzur disebabkan sakit atau tua dan tidak mampu duduk di atas kerusi tolak, ataupun terkena penyakit yang kronik maka mereka ini juga diberikan keringanan untuk tidak melakukan tawaf wada’[2]. Wallahu a’lam.

 

[1] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, (9/78-79).

[2] Lihat buku Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah & Ziarah. Terbitan Bahagian Bimbingan Lembaga Tabung Haji. Kemaskini 2015. Hlm. 148-150.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top