Visitors Hit

3345244 Views

SOALAN:

Assalamualaikum wrm wbt,

Apakah hukum menanggalkan niqab bagi wanita yang sebelum ini sentiasa memakai tetapi menanggalkannya apabila mengikut satu program yang melarangnya?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wrm wbt,

Terdapat khilaf di dalam mazhab al-Syafie tentang hukum berniqab bagi wanita di hadapan lelaki ajnabi di luar solat. Sebahagian mereka mengatakan ianya wajib, sebahagian lain mengatakan sunat, dan sebahagian lain menyatakan ia khilaf aula (lebih baik ditinggalkan).

Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (41/314)

Kami memilih bahawa aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi di luar solat adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

Ini berdalilkan ayat al-Quran:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya

Surah al-Nur, (24:31)

Kata Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (3/167) bahawa Ibn Abbas menafsirkan ‘kecuali yang zahir’ dengan dengan ertinya kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Mereka juga berdalilkan hadis nabi tentang keadaan wanita dalam keadaan ihram:

وَلاَ تَنْتَقِبِ الْمَرْأَةُ الْمُحْرِمَةُ وَلاَ تَلْبَسِ الْقُفَّازَيْنِ.

Maksudnya: Janganlah seorang wanita berniqab ketika melakukan ihram dan jangan pula dia memakai sarung tangan pada kedua tangannya.

Hadis riwayat Imam Bukhari (1838)

Namun begitu para ulama berpendapat wajib menutup wajah dan tapak tangan jika bimbang membawa kepada fitnah dan syahwah. Bagi mereka dalam kebanyakan waktu, kaum lelaki adalah haram untuk melihat apa yang terdedah daripada wajah dan tapak tangan wanita melainkan kerana beberapa hajat:

  1. Melihat perempuan yang ingin dinikahi semasa proses khitbah (merisik, meminang dan bertunang).
  2. Bagi tujuan kesaksian
  3. Bagi tujuan muamalat untuk memastikan suatu perkara (seperti belajar dan jual beli
  4. Bagi tujuan pengubatan dan rawatan, dengan kehadiran mahram

Rujuk Al-Mu`tamad fi Fiqh al-Syafie (1/211)

Justeru, kami berpendapat bahawa harus bagi saudari penanya untuk membuka niqab kerana ada program yang melarangnya dan memakai semula selepas habis program, kerana tanggungjawab asal adalah bagi kaum lelaki untuk menundukkan pandangan mereka. Hendaklah saudari menjaga penampilan sebagai seorang wanita Islam di dalam majlis tersebut dengan tidak mengenakan wangian dan solekan yang menarik perhatian lelaki.

 

Wallahua’lam.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top