Visitors Hit

8446030 Views

Soalan:

Apakah hukum mencabut uban ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala pujian dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang meniti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di sana terdapat beberapa nas yang menunjukkan kepada larangan mencabut uban. Di dalam sebuah riwayat daripada Amru bin Shu’aib daripada bapanya daripada datuknya berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ تَنْتِفُوا الشَّيْبَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الإِسْلاَمِ إِلاَّ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ 

Maksudnya: Janganlah kalian mencabut uban. Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya buatnya pada hari kiamat.

Manakala dalam riwayat yang lain Rasulullah S.A.W menyatakan:

لاَ تَنْتِفُوا الشَّيْبَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الإِسْلاَمِ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Maksudnya: Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan Allah akan menuliskan untuknya dengan uban tersebut satu kebaikan dan Allah akan memadamkan kesalahannya dengan uban tersebut.

Riwayat Abu Daud (4202)

Berdasarkan kedua-dua riwayat di atas, para fuqaha menjadikan larangan yang terdapat di dalam hadis tersebut sebagai hujah akan makruhnya perbuatan mencabut uban. Imam Al-Nawawi Rahimahullah berpendapat akan makruhnya perbuatan mencabut uban berdasarkan hadis Amru bin Shu’aib yang kami nyatakan di atas. Kata beliau: Para ashab kami (Al-Syafieyyah) mengatakan bahawa ianya (perbuatan mencabut uban) adalah makruh. Ini disebutkan secara jelas oleh Imam Al-Ghazali, Imam Al-Baghawi, dan selainnya. Bahkan jika dikatakan haram sekalipun disebabkan larangan yang sarih (jelas) lagi sahih dalam hadis tersebut maka pendapat ini tidak jauh dari kebenaran. Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (1/292).

Kata-kata Imam Al-Nawawi di hujung perenggan di atas adalah berdasarkan sebuah kaedah fekah yang masyhur:

النَّهْيُ يَقْتَضِي التَّحْرِيم

Maksudnya: Larangan itu membawa kepada hukum pengharaman.

Sekalipun pada asalnya setiap larangan itu membawa hukum haram, akan tetapi dalam isu ini hukumnya beralih kepada makruh disebabkan terdapatnya qarinah lain. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik R.anh bahawa beliau berkata:

يُكْرَهُ أَنْ يَنْتِفَ الرَّجُلُ، الشَّعْرَةَ الْبَيْضَاءَ مِنْ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ

Maksudnya: Dimakruhkan bagi seorang lelaki itu mencabut rambut yang putih daripada kepalanya dan juga janggutnya.

Riwayat Muslim (2341)

Maka jelas dalam hadis di atas ini, bahawa hukum mencabut uban di sisi sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Anas bin Malik R.anh adalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram. Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Kata para ashab kami (Al-Syafieyyah) dan juga para ashab Malik, hukumnya (mencabut uban) adalah makruh dan ia tidaklah haram. Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (15/487).

Kelebihan Memiliki Uban

Hakikatnya, larangan mencabut uban itu adalah disebabkan beberapa fadhilat atau kelebihan yang diperoleh bagi sesiapa yang mempunyai uban. Di antaranya, dalam sebuah riwayat daripada Amru Bin ‘Abasah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Sesiapa yang tumbuh satu uban di jalan Allah maka uban tersebut adalah cahaya untuk dirinya pada hari kiamat

Riwayat Al-Tirmizi (1635)

Di dalam hadis di atas, sekalipun terdapat kenyataan tumbuh satu uban di jalan Allah, akan tetapi ia terkait dengan hadis Amru bin Shuaib yang menyatakan: Tumbuh satu uban di dalam Islam. Perbezaan di antara kedua riwayat ini penting untuk dijelaskan kerana, hadis Amru bin Syuaib lebih umum meliputi uban yang tumbuh sama ada di dalam jihad atau selainnya.

Syeikh Muhammad Ibn Abd Al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Cahaya tersebut adalah keterangan dan juga diselamatkan daripada kegelapan dan kesukaran di mauqif. Imam Al-Manawi pula berkata: Rambut seseorang itu menjadi cahaya yang memberi petunjuk kepada dirinya. Uban itu, sekalipun ianya bukan hasil daripada usaha seseorang hamba, akan tetapi sekiranya ia terhasil disebabkan perbuatan berjihad di jalan Allah, atau perasaan takut kepada-Nya maka ia termasuk di dalam usaha seseorang. Lihat Tuhfat Al-Ahwaazi, Al-Mubarakfuri (5/215).

 Mengubah Warna Uban

Dalam isu ini, tidaklah menjadi suatu kesalahan bagi sesiapa yang mempunyai uban yang banyak untuk mengubah kepada warna selain dari warna hitam. Hal ini adalah berdalilkan sebuah riwayat daripada Jabir Bin Abdillah Al-Ansari R.anhuma bahawa ketika Abu Quhafah dibawa pada hari pembukaan kota Makkah, maka keadaan rambutnya sudah terlampau putih. Maka Nabi S.A.W bersabda:

غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ

Maksudnya: Ubahlah ini (uban) dengan sesuatu dan jauhilah warna hitam.

Riwayat Muslim (2102)

Maka hadis di atas jelas menunjukkan keharusan mengubah warna putih uban kepada warna selain hitam seperti dengan menggunakan inai dan perkara-perkara lain yang halal. Manakala hadis di atas juga jelas menunjukkan keharaman mengubah warna uban kepada warna hitam dan inilah pendapat yang terpilih di dalam mazhab Imam Al-Syafie sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (14/265).

Kesimpulan

Setelah kami menekuni beberapa hujah dan dalil di atas, kami berpandangan bahawa hukum mencabut uban adalah makruh. Namun perlu juga dijelaskan supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan, bahawa jika seseorang yang beruban itu memotong rambutnya maka hukumnya adalah harus kerana itu tidak dianggap sebagai mencabut uban. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top