Visitors Hit

7893198 Views

Soalan:

Assalamualaikum Dr. Saya nak bertanya berkenaan hukum merotan anak secara melampau sehingga anak mengalami kecederaan sedangkan anak hanya melakukan kesalahan kecil dan tidak layak dihukum sebegitu.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam diucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan ke atas setiap ibubapa yang beragama Islam untuk mendidik anak-anak mereka. Pendidikan kepada anak-anak itu berlaku dalam erti kata menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada melakukan keburukan. Di antara contoh nas yang memerintahkan kepada kedua ibubapa supaya memberikan didikan kepada anak-anak mereka adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru bin Al- ‘Ash R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya: Perintahkanlah kepada anak-anak kamu untuk mengerjakan solat semasa mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka untuk sekiranya mereka solat ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkanlah mereka daripada tempat tidur kamu.

Riwayat Abu Daud (495)

Di dalam hadis di atas, perintah daripada syarak adalah ditujukan kepada ibubapa untuk memberi didikan kepada anak-anak mereka terutamanya dalam melaksanakan ibadah solat. Zahir daripada hadis di atas adalah, kedua ibubapa boleh untuk memukul anak-anak mereka sekiranya anak-anak itu meninggalkan solat semasa berumur sepuluh tahun.

Imam al-Nawawi Rahimahullah ada mensyarahkan hadis ini ketika beliau mengulas kenyataan pemilik kitab al-Muhazzab yang berkata: Dan tidaklah diperintahkan solat ke atas seseorang yang tidak wajib ke atas dirinya untuk menunaikan solat kecuali kepada kanak-kanak. Ini kerana, kanak-kanak diperintahkan (oleh ibubapa) untuk mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan dipukul jika mereka meninggalkannya ketika berusia sepuluh tahun.

Beliau kemudiannya menukilkan kata-kata Imam al-Syafie Rahimahullah yang mengatakan: Menjadi tanggungjawab ke atas para ibu dan bapa untuk mendidik anak-anak mereka, serta mengajarkan ilmu berkaitan taharah, solat, dan memukul anak-anaknya sekiranya mereka meninggalkannya semasa telah sampai umur berakal (mumayyiz). Demikian juga Imam al-Rafi’e Rahimahullah berkata: Wajib ke atas para ibu dan bapa untuk mengajarkan anak-anak mereka itu tentang taharah, solat, dan syariat-syariat apabila anak-anak mereka telah berumur tujuh tahun dan memukul anak-anak itu jika mereka meninggalkannya setelah mereka berumur sepuluh tahun. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/11).

Kaedah Mendidik Anak-Anak

Berkenaan dengan kaedah pendidikan kepada anak-anak, di sana terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh pihak ibubapa untuk dikenakan kepada anak-anak setelah nasihat dengan lidah, teguran dengan lemah lembut, dan selainnya iaitu dua cara yang berikut:

Pertama: Merotan.

Kedua: Memukul

Perkara paling asas yang perlu kita fahami adalah, konsep merotan dan pukulan kepada anak-anak di dalam Islam adalah lebih kepada proses pendidikan dan membentuk adab, dan bukannya bersifat menjatuhkan hukuman. Justeru, syarak meletakkan beberapa dhawabit (kriteria) dalam menjalankan kedua-dua proses tersebut. Kami ringkaskannya seperti berikut:

  • Dalam merotan anak-anak, sebatan tidak boleh dilakukan dengan melebihi 10 kali. Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Burdah al-Ansari R.anh bahawa Nabi S.A.W bersabda:

 

لَا يُجْلَدُ فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْوَاطٍ إِلَّا فِي حَدِّ مِنْ حُدُودِ اَللَّهِ

 

Maksudnya: Tidak disebat seseorang itu melebihi sepuluh kali sebatan kecuali pada (hukuman) had daripada hudud-hudud Allah S.W.T.

Riwayat al-Bukhari (6456)

 

  • Rotan pula hendaklah dengan niat untuk mendidik anak-anak serta membentuk peribadi mulia pada diri mereka dan bukannya untuk menghukum anak-anak dan mencederakan mereka.

 

  • Berkenaan dengan memukul pula, ibubapa dilarang untuk memukul ke bahagian muka anak-anak. Ini kerana, terdapat larangan daripada Nabi S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah anh bahawa baginda bersabda:

 

إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ

 

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bergaduh maka hendaklah dia menjauhi (dari memukul) muka.

Riwayat Muslim (2612)

 

Hal yang demikian itu kerana, muka seseorang itu adalah tempat yang lembut dan menghimpunkan keseluruhan keindahan. Bahagian anggota padanya juga lembut dan boleh rosak apabila dipukul.

 

  • Memukul juga tidak boleh menyebabkan kerosakan dan kemudaratan pada tubuh badan anak-anak. Ini sebagaimana yang kami nyatakan, tujuan dipukul adalah bersifat ta’dibi (memberi pendidikan) dan bukannya ta’qibi (memberi hukuman dan seksaan).

 

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa merotan anak dengan cara yang melampau dan menyebabkan kecederaan adalah haram. Ini kerana Islam menolak sebarang bentuk kekerasan sekalipun dalam perkara kebaikan dan melarang kepada perbuatan yang memberi mudarat. Ketahuilah bahawa anak-anak adalah satu amanah daripada Allah S.W.T untuk dipelihara dan diberi didikan sebaik mungkin oleh ibubapa dan setiap ibubapa akan dipersoal di akhirat kelak terhadap apa yang telah mereka lakukan kepada anak-anak mereka. Dalam memberi didikan, ia bukanlah sekadar dengan merotan atau memukul. Sebaliknya, lakukanlah gabungan di antara al-Targhib (memberi ransangan atau anjuran) dan juga al-Tarhib (memberikan amaran dan ancaman) dalam membentuk peribadi anak-anak. Semoga Allah S.W.T memberikan kepada kita kefahaman dalam agama serta hikmah dalam setiap tindakan yang dilakukan. Ameen.

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top