Visitors Hit

5130957 Views

Soalan: Mohon ustaz terangkan iddah orang laki. Biasa kita dengar iddah orang perempuan sahaja.

Jawapan:

Sebelum dijelaskan jawapan bagi persoalan ini, dikemukakan terlebih dahulu takrifan bagi iddah dan nas syarak yang berkaitan dengannya.

Pengertian Iddah

Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau  kematian suami di mana dia tidak boleh menikah semula. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya dari mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kamatian suaminya, tempoh iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari (dikira mengikut tahun Hijrah) .

Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh iddah, suami boleh rujuk kembali dengan syarat isteri adalah dalam iddah raj’ie.

Dalil Berkaitan Dengan Iddah

  • Iddah wanita yang masih didatangi haid, diceraikan semasa suami hidup:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci”

(Surah al-Baqarah: 228)

  • Iddah bagi wanita yang masih didatangi haid yang kematian suami:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

  • Iddah bagi wanita hamil yang dicerai semasa suami hidup atau kematian suami:

وَأُولاَتُ الأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.”

(Surah at-Talaq: 4)

Berdasarkan kepada nas al-Quran di atas, ia jelas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menetapkan kepada iddah bagi wanita sesuai dengan keadaannya selepas penceraian. Namun, bagi golongan lelaki pula mereka tidak mempunyai tempoh iddah sepertimana iddahnya wanita. Tetapi dalam hal-hal yang tertentu, lelaki juga mempunyai tempoh untuk dia tidak mengahwini wanita lain atau wujudnya penghalang untuk dia berkahwin. Dalam kitab ada menyebut bahawa ulama fiqh berpandangan bahawa iddah tidak wajib bagi lelaki. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 29/306)

Berikut dibentangkan beberapa keadaan iddah bagi lelaki, antaranya:

  • Lelaki yang mempunyai empat orang isteri.

Apabila dia telah menceraikan salah seorang isterinya maka dia tidak boleh berkahwin lain melainkan selepas isteri yang dicerainya itu habis iddah talak raj'ie (cerai yang masih boleh rujuk).

  • Masih mempunyai pertalian dalam keluarga isteri.

Seorang suami tidak boleh mengahwini kakak isterinya atau ibu saudara isterinya melainkan selepas habis iddah talak raj'ie isterinya.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top