Visitors Hit

3345321 Views

Soalan: Seekor ayam telah mati, budak-budak bermain bangkai ayam tersebut, kemudian terkeluar sebiji telur, ada kah boleh dimakan telur tersebut ?

Jawapan:

Bangkai dalam bahasa Arab disebut al-mayyitah iaitu yang mati tanpa disembelih (Lihat al-Qamus al-Muhit) Sedangkan menurut pengertian para ulama, bangkai adalah haiwan yang mati tanpa sembelihan syar’i, dengan cara mati sendiri tanpa sebab campur tangan manusia. Ada juga dengan sebab perbuatan manusia, jika dilakukan tidak sesuai dengan cara penyembelihan yang diperbolehkan [Lihat al-Ath’imah wa Ahkaam al Soid wa al-Zaba’ih oleh Syeikh Soleh bin Abdullah al-Fauzan). Ia juga didefinisikan oleh al-Jashshah sebagai nama yang diberikan kepada haiwan yang mati selain melalui penyembelihan. [Ahkam al-Quran, 1/112]

Para ulama juga menambahkan pengertian bangkai adalah potongan tubuh haiwan yang terlepas dari badannya, seperti kaki, paha, telinga dan lainnya, sementara haiwan itu masih dalam keadaan hidup. Hal ini secara khusus disebutkan oleh Rasulullah SAW :

 مَا قُطِعَ مِنَ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ، فَهِيَ مَيْتَةٌ
Semua yang terpotong daripada haiwan ternak yang masih hidup, maka potongan itu termasuk bangkai
(Riwayat Ahmad, no. 21904; Abu Daud, no. 2858; al-Tirmizi, no. 1480)

Berdasarkan keterangan ini, dapat disimpulkan bahawa bangkai adalah:

  • Haiwan yang mati tanpa disembelih, seperti lembu yang mati dilanggar kereta.
  • Haiwan yang disembelih dengan sembelihan tidak syar’i, seperti ayam yang disembelih orang kafir.
  • Haiwan yang tidak menjadi halal dengan disembelih, seperti babi disembelih seorang muslim walaupun sesuai syarat penyembelihan syar’i.

Adapun telur binatang yang telah mati, hukumnya suci dan boleh dimakan dengan syarat kulitnya telah keras. Adapun jika kulit telur itu belum keras maka hukumnya najis dan tidak boleh dimakan. Hal ini dijelaskan oleh Syeikh Zainuddin Ahmad bin Abdul Aziz al-Malibari dalam Fath al-Mu'in, hlm. 73:

وبيض الميتة إن تصلب طاهر وإلا فنجس
Telur bangkai jika masih keras maka ia suci, dan jika tidak keras maka ia najis.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top