Visitors Hit

4986510 Views

 

Soalan:

Boleh atau tidak seorang yang berada di dalam ihram membalut sebahagian jari kaki kerana ada luka atau kudis?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Seseorang yang berada di dalam keadaan berihram perlulah menjaga larangan-larangan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan sekiranya melanggar larangan-larangan tersebut, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya.

Antara larangan yang perlu dipatuhi adalah dengan tidak memakai pakaian yang berjahit seperti baju, seluar dan juga memakai sesuatu yang menutupi kedua kakinya seperti kasut, but dan sebagainya yang mana menutup bahagian jari kaki dan juga buku lali. Dalam kata lainnya, selipar yang selalu masyarakat Melayu sebutkan dengan ‘selipar Jepun’ itu adalah yang paling ideal untuk dipakai semasa berihram.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma yang mana seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanyakan tentang pakaian apa yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram dan jawab Baginda SAW:

 

لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ

Maknanya: Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).

Riwayat Al-Bukhari (1542)

 

Bagi mereka yang terpaksa membalut kakinya kerana luka atau kudis, kami andaikan sebegini:

  1. Sekiranya luka itu kecil dan memungkinkan untuk tidak dibalut, maka dengan tidak membalutnya adalah lebih baik dan dalam keadaan ini tidak dikenakan fidyah.
  1. Sekiranya dilakukan secara sengaja, iaitu sengaja dibalut kerana keperluan hajat dan balutan itu menutupi keseluruhan kaki ataupun sebahagian besar kaki (seperti seseorang yang cedera dan disimen kakinya) maka dia perlu membayar fidyah al-Aza iaitu boleh dipilih salah satu dari tiga perkara di bawah[1] dan dirinya tidak berdosa:
  • Puasa 3 hari (boleh dilakukan di mana-mana)
  • Memberi makan 6 orang miskin di Mekah yang mana setiap orang itu diberikan 2 cupak makanan ataupun sehidangan makanan mengikut uruf dan kebiasaan.
  • Menyembelih seekor kambing dan dagingnya diagihkan kepada golongan fuqara’ di Mekah.

Dalam hal ini, jika sedikit dan kecil sahaja balutan tersebut, maka ianya tidak dikenakan dam dan fidyah kerana ianya tidak menepati dengan maksud kasut, khuf mahupun stoking.

Semoga dengan penjelasan ini dapat memberikan kemudahan serta keselesaan buat dhuyuf al-Rahman (tetamu Allah al-Rahman) dalam menunaikan haji mahupun umrah di samping menambahkan lagi ilmu kita mengenai manasik haji. Wallahu a’lam.

 

[1] Lihat Mukhtasar al-Fiqh al-Islami fi Dhau’ al-Quran wa al-Sunnah oleh Muhammad bin Ibrahim al-Tuwaijiri. Dar Asda’ al-Mujtama’, hlm. 664-665.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top