Visitors Hit

2647516 Views

Soalan :

Adakah semasa membasuh muka untuk berwudhuk, perlu untuk diratakan air sehingga ke bahagian tengkuk ?

Jawapan :

Para ulama Syafi'eyyah mempunyai beberapa pendapat di dalam isu ini. Hal ini dinyatakan oleh Imam Al Nawawi Rahimahullah dengan katanya: Para ulama Syafieyyah berbeza pendapat dalam isu menyapu tengkuk/leher semasa berwudhuk. Kesimpulannya ia terbahagi kepada empat pendapat :

Pertama: Disunatkan menyapu tengkuk dengan air yang baharu. Ini merupakan pendapat Imam Abu al-Qasim al-Furani al-Syafie. Pandangan ini hampir sama dengan pendapat Al-Qadhi Husain cuma beliau berpendapat bahawa disapu leher atau tengkuk itu dengan air basuhan kedua telinga.

Kedua: Digalakkan dan tidak disebut yang ianya disunatkan. Inilah pendapat yang dipegang oleh Syeikh al-Mutawalli al-Syafie.

Ketiga: Digalakkan menyapunya dengan lebihan air basuhan kepala dan telinga. Ini adalah pendapat Imam al-Baghawi Rahimahullah.

Keempat: Perbuatan ini tidak disunatkan dan tidak pula digalakkan. Antara tokoh Syafieyyah yang berpegang dengan pendapat ini adalah Imam Al-Mawardi Rahimahullah.

Pendapat yang keempat ini adalah yang tepat. Oleh kerana itulah ia tidak disebutkan oleh Imam al Syafie Rahimahullah dan juga tidak disebutkan oleh para ashab kami yang terdahulu. Bahkan amalan tersebut tidak sabit dari Nabi S.A.W. Lihat Al Majmu ' Syarh al Muhazzab, Al Nawawi (1/464).

Kata Imam Ibn Qayyim al Jauziyyah Rahimahullah : Tidak sahih dari Nabi S.A.W satu hadis pun berkenaan menyapu leher. Rujuk Zaad al Ma'ad, Ibn al Qayyim (1/195).

 

Manakala para ulama yang mengatakan sunat menyapu tengkuk semasa berwudhuk berhujah dengan sebuah hadis yang berbunyi:

مَسْحُ الرَّقَبَةِ أَمَانٌ مِنْ الْغُلِّ

Maksudnya: Menyapu tengkuk itu dapat menyelamatkan ia dari dirantai/dibelenggu (pada hari kiamat).

Hadis ini walaubagaimanapun tidak terlepas dari kritikan para ulama hadis. Kami senaraikan beberapa kenyataan para ulama hadis berkenaan hadis di atas:

Kata Imam Ibn Solah: Hadis ini tidak diketahui datangnya dari Nabi S.A.W.

Kata Imam Al-Nawawi: Hadis ini palsu dan bukan dari ucapan Nabi S.A.W. Lihat Al-Talkhis Al-Habir, Ibn Hajar Al-Asqalani (1/162).

Mereka juga berhujah dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Talhah bin Musarrif daripada datuknya beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَمْسَحُ رَأْسَهُ مَرَّةً وَاحِدَةً حَتَّى بَلَغَ الْقَذَالَ - وَهُوَ أَوَّلُ الْقَفَا

Maksudnya: Aku melihat Rasulullah S.A.W menyapu kepala baginda sebanyak satu kali sehingga sampai ke bahagian al-Qazal iaitu bahagian awal leher.

Riwayat Abu Daud (132)

 

Hadis ini juga turut dikritik oleh beberapa ulama hadis seperti Imam Sufyan bin Uyainah yang mengatakan hadis ini munkar. Begitu juga Imam al-Syaukani mengatakan hadis ini dhaif disebabkan terdapatnya seorang perawi yang bernama Laith bin Abi Sulaim yang dinilai dhaif. Begitu juga Ibn Hibban mengatakan bahawa Laith ini suka mengubah-ubah sanad hadis serta memarfu’kan hadis-hadis yang mursal. Lihat Nayl al-Authar, Al-Syaukani (1/206).

Manakala Imam Al-Nawawi Rahimahullah juga mengatakan hadis ini telah sepakat para ulama akan kedhaifannya. Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Imam Ibn Al-Qayyim yang mengatakan tidak ada satu pun hadis yang sahih berkenaan isu menyapu leher semasa berwudhuk ini.

Kesimpulan

Setelah meneliti beberapa pendapat di atas, kami cenderung mengatakan bahawa perbuatan menyapu tengkuk/leher semasa berwudhuk bukan suatu yang disunnahkan. Kami tidak menafikan bahawa terdapat para ulama dari kalangan mazhab Hanafi dan mazhab Al-Syafie yang mengatakan hukumnya sunat. Pun begitu, jumhur ulama mengatakan bahawa ianya tidak disunatkan sebagaimana yang ditarjihkan oleh Imam Al-Nawawi. Wallahu A’lam.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top