Visitors Hit

5779457 Views

Soalan: Benarkah nama malaikat maut adalah Izra’il?

Jawapan:

Al-Qur’an dan al-Hadith tidak menyebut nama Izra’il ini. Ia hanya dikenali sebagai Malaikat Maut sahaja di dalam al-Qur’an dan al-Hadith. Firman Allah SWT:

قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
Katakanlah: "Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan”.
(Surah al-Sajdah: 11)

Ibn Kathir menyebutkan: “Adapun nama Malaikat Maut tidak disebutkan secara jelas di dalam al Qur’an, dan juga hadith yang sahih. Namun penamaan Izra’il tertera di dalam beberapa athar.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/47)

Antara kitab tafsir yang menyebutkan bahawa nama Malaikat Maut adalah Izra’il adalah:

  • Tafsir al-Sam’ani (4/245) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Fath al-Qadir (4/289) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Fath al-Bayan fi Maqasid al-Qur’an (11/20) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir al-Sya’rawi (4/2574) ketika mentafsirkan Surah al-Nisa’ ayat 97.
  • Tafsir al-Muqatil (3/450) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah (9/5754) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Ibn ‘Atiyyah (4/360) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Ibn Juzay (2/142) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir al-Bahr al-Muhit (8/434) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Adhwa’ al-Bayan (6/184) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir al-Wasit (8/119) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Mafatih al-Ghaib (2/386) ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30.
  • Tafsir al-Samarqandi (3/542) ketika mentafsirkan Surah al-Nazi’at ayat 14.

Selain itu, ia juga ditemukan dalam Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali (Lihat Ihya’ Ulumiddin, 4/467) yang mengambil riwayat daripada Asy’ath (hadis maqtu’) beliau berkata:

سَأَلَ إِبْرَاهِيمُ صَلَّى اللَّهُ عَلَى نَبِيِّنَا وَعَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيمًا مَلَكَ الْمَوْتِ عَلَيْهِ السَّلَامُ وَاسْمُهُ عِزْرَائِيلُ، وَلَهُ عَيْنَانِ عَيْنٌ فِي وَجْهِهِ وَعَيْنٌ فِي قَفَاهُ، فَقَالَ: يَا مَلَكَ الْمَوْتِ، مَا تَصْنَعُ إِذَا كَانَتْ نَفْسٌ بِالْمَشْرِقِ وَنَفَسٌ بِالْمَغْرِبِ، وَوَقَعَ الْوَبَاءُ بِأَرْضٍ، وَالْتَقَى الزَّحْفَانِ كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: أَدْعُو الْأَرْوَاحَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فَتَكُونُ بَيْنَ أُصْبُعَيَّ هَاتَيْنِ. قَالَ: وَدُحِيَتْ لَهُ الْأَرْضُ فَتُرِكَتْ مِثْلَ الطَّسْتِ يَتَنَاوَلُ مِنْهَا حَيْثُ شَاءَ. قَالَ: وَهُوَ الَّذِي بَشَّرَهُ بِأَنَّهُ خَلِيلُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: Nabi Ibrahim bertanya kepada Malaikat Maut dan namanya adalah Izra’il. Padanya dua mata; satu di wajahnya, satu di belakang lehernya. Ibrahim bersabda: ‘Wahai Malaikat Maut. Apa yang kamu buat sekiranya satu nyawa di Timur dan satu nyawa lagi di Barat dan berlaku waba’ di mukabumi serta berkumpul dua kerisauan ini. Bagaimana kamu akan lakukannya?” Jawabnya: “Aku akan menyeru roh-roh dengan izin Allah SWT, maka jadilah ia berada antara dua jari aku. (al-‘Uzmah, 3/908)

Al-Qadhi ‘Iyadh juga menyebutkan tentang Izra’il dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif al-Huquq al-Mustafa. (Lihat al-Syifa bi Ta’rif al-Huquq al-Mustafa, 2/303). Malah, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah juga menamakan Malaikat Maut sebagai Iz’rail ketika membahaskan persoalan samada semua makhluk termasuk malaikat akan mati atau tidak. Kebanyakan kitab-kitab seperti di atas memang menukilkan sahaja tanpa ditanyakan sanad yang marfu’ dan sahih tentang penamaan ini.  

Pada pandangan kami, perkataan Izra’il kemungkinan besar berasal daripada Bahasa Ibrani. Dalam Tanakh (salah satu daripada kitab suci agama Yahudi), perkataan Azrael ada disebutkan dan digambarkan sebagai Malaikat Maut. (Lihat A Dictionary of Angels: Including The Fallen Angels, hlm. 64-65) Maka, nama Izra’il ini secara jelasnya adalah riwayat Isra’iliyyat.

Kaedah bagi umat Islam ketika berinteraksi dengan riwayat Israiliyyat dibahagikan kepada tiga:

  • Riwayat yang selari dengan syariat dan Al-Quran. Maka kisah-kisah sebegini berfungsi sebagai sokongan kepada apa yang telah disebutkan oleh keduanya.
  • Riwayat yang bertentangan dengan syariat dan Al-Quran. Ini ditolak dengan sepakat para ulama’.
  • Riwayat yang tidak terdapat dalam syariat dan Al-Quran samada selari atau bertentangan. Prinsipnya adalah tidak menerima dengan yakin dan tidak pula melarangnya.

Kesimpulannya, penamaan Malaikat Maut sebagai Izra’il ini termasuk dalam kategori ketiga dan kita tidak diperbolehkan untuk menafikannya, begitu juga mengiakannya secara pasti. Maka, tidak ada masalah untuk menggunakannya walaupun ianya tidak ditemui dalam al-Qur’an dan Hadith, asalkan kita tidak meyakini secara pasti bahawa ianya adalah nama bagi Malaikat Maut.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top