Visitors Hit

6865321 Views

Soalan: Adakah batal puasa pesakit buasir yang memasukkan air dalam dubur bagi memudahkan dia membuang air besar?

Jawapan:

Menurut Mazhab Syafie, antara perkara yang membatalkan puasa adalah apabila sampai al-‘ain kepada jauf daripada rongga yang terbuka. Al-‘ain adalah sesuatu yang zahir dapat dilihat walaupun kecil seperti bijan, tidak boleh dimakan secara adatnya seperti batu kecil dan benang. Berbeza dengan sesuatu yang meninggalkan kesan seperti kentut yang dikesan dengan bau, kepanasan dan kesejukan air yang dikesan dengan rasaan, maka ia tidak dikira.

Al-Jauf di sisi mazhab Syafie adalah apa yang melepasi kerongkong hingga ke perut dan usus dalam, berbeza dengan apa yang sampai tanpa melalui jauf seperti ubat untuk luka pada daging betis atau peha, walaupun sampai ubat itu ke dalam otak atau daging, begitu juga jika dimasukkan besi ke dalamnya, tidak batal puasa. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/181).

Ini termasuklah mana-mana saluran yang membawa sesuatu hingga ke bahagian dalaman tubuh seperti mulut. Ulama mazhab Syafi‘e umumnya menetapkan mulut, hidung, telinga, kemaluan dan dubur sebagai rongga terbuka yang menjadi saluran yang membawa kepada Maka apa sahaja yang dimasukkan hingga melepasi rongga tersebut sampai ke dalam membatalkan.

Antara 10 perkara yang membatalkan puasa menurut Mazhab Syafie adalah memasukkan ubat atau selainnya melalui salah satu daripada kedua-dua jalan samada depan atau belakang. (Lihat al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, 1/237). Jika dikiaskan dalam hal memasukkan air ke dalam dubur seperti soalan di atas, maka ia juga membatalkan puasa di sisi mazhab Syafie.

Walaubagaimanapun, hal ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas iaitu:

  1. Kami melihat hukum menahan diri (imsak) daripada makan dan minum itu dari perspektif ta’lil iaitu hukum tersebut boleh dikaji justifikasi ‘illah dan hikmahnya. Sebab pensyariatan di sebalik imsak itu adalah sifat makanan yang memberi kekuatan kepada tubuh, manakala air yang masuk ke dalam dubur itu tidak memberi kekuatan kepada tubuh badan.
  2. Rongga zahir bagi pesakit buasir adalah berbeza dengan orang biasa. Maka had al-jauf juga pastinya adalah berbeza.
  3. Masih terdapat perbezaan pandangan para ulama’ dalam menetapkan had al-jauf.
  4. Keperluan untuk sedaya upaya memelihara puasa pesakit memandangkan beliau sudah di tahap kronik dan memberatkan beliau untuk menggantikan puasanya. Sementelahan, beliau masih mampu untuk berpuasa.
  5. Air yang dimasukkan tidak akan sampai kepada usus dalam dan kemungkinan hanya sampai ke kawasan hujung rectum sahaja.

Maka, kami berpendapat bahawa memasukkan air ke dalam dubur bagi memudahkan najis keluar bagi pesakit buasir, adalah tidak membatalkan puasa. Kami kiaskan isu ini dengan kenyataan sebahagian ulama’ Malikiah, ulama’ Zahiriah dan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah yang menghukumkan bahawa suntikan ke rongga dubur adalah tidak membatalkan puasa. (Lihat Mawahib al-Jalil, 2/424; al-Muhalla, 6/203; Haqiqat al-Siyam, hlm 37, 55) Ini juga pendapat ulama masa kini seperti Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil dan Dr. Abdullah bin Hammad al-Sakakir.

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan hukum menyuntik ubat bagi pesakit buasir seperti yang terdapat dalam Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Merujuk kepada bab Penggunaan Ubat Dan Alat-Alat Perubatan Ketika Berpuasa pada poin ke 15, antara perkara yang tidak membatalkan puasa adalah: “Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.” (Lihat Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, hlm. 5)

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top