Visitors Hit

8478201 Views

Soalan:

Apakah hukum solat Jumaat bagi pekerja luar pantai yang bekerja melebihi 3 minggu berturut-turut dan tidak mencukupi bilangan 40 orang pada satu masa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tidak dinafikan tuntutan mencari nafkah dalam kehidupan membuatkan manusia terpaksa bekerja jauh dari keluarga selama beberapa waktu. Ini seperti yang berlaku kepada pekerja-pekerja yang terpaksa bertugas di pelantar minyak demi mencari nafkah buat keluarga.

Antara persoalan yang timbul adalah isu solat Jumaat mereka yang berada di pelantar minyak yang mana sesetengahnya bertugas berbulan lamanya di sana. Adakah mereka perlu mendirikan solat Jumaat ataupun gugur kewajipan ke atas mereka kerana tidak mencukupi syarat sah solat Jumaat?

Perlu diingatkan bahawa solat Jumaat fardhu ‘ain hukumnya ke atas mereka yang memenuhi syarat-syaratnya. Solat Jumaat di pelantar minyak tidak memenuhi syarat yang berkaitan dengan tempat dan permastautinan.

Pelantar minyak bukanlah bandar atau perkampungan yang mana berkumpulnya manusia untuk melakukan solat seperti satu bangunan yang boleh menghimpunkan komuniti setempat sama ada diperbuat dari simen, batu, kayu, tanah liat atau selainnya. Ini berdasarkan qaul mu’tamad di dalam kitab fiqh mazhab Syafi’e.[1]

Begitu juga timbulnya isu bilangan jemaah yang mana di dalam mazhab al-Syafie, untuk menjadikan solat Jumaat itu sah perlulah tidak kurang dari 40 orang yang mana terdiri dari ahli Jumaah iaitu mereka itu mestilah lelaki, baligh dan bermastautin di tempat tersebut. Orang yang bermukim tetapi tidak bermastautin, tidak dikira sebagai sebahagian daripada 40 orang yang menjadi syarat sah solat Jumaat.[2] Begitulah juga keadaan mereka yang bekerja di pelantar minyak kerana mereka bukanlah dikira sebagai golongan yang bermastautin.

 

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami menyatakan bahawa bagi mereka yang bekerja di pelantar minyak dalam tempoh yang lama, maka gugur hukum untuk mereka melakukan solat Jumaat kerana tidak memenuhi syarat sah solat Jumaat.

Meskipun gugur hukum menunaikan solat Jumaat, namun mereka perlulah untuk melakukan solat Zuhur bagi menggantikan solat Jumaat yang tidak dapat dijalankan kerana tidak mencukupi syarat sah solat Jumaat. Wallahu a’lam.

 

[1] Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, (1/502-504)

[2] Ibid.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top