Visitors Hit

8478196 Views

SOALAN:

Assalamualaikum,

Apakah hukum bekas suami keluar masuk rumah bekas isterinya?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wrm wbt,

Jawapan bagi soalan ini ditulis dengan beberapa situasi:

 

Situasi Pertama

Bahawa isteri berkenaan masih lagi dalam tempoh iddah, maka wajib bagi suami untuk memberikannya tempat tinggal bagi isteri tersebut sepanjang waktu iddah berupa rumah yang dia diceraikan di dalamnya.

Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ ۖ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ ۚ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَٰلِكَ أَمْرًا

Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).

Surah al-Talaq, (65:1)

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

Surah al-Talaq, (65:6)

Tidak boleh lelaki tersebut tinggal sekali di dalam rumah tersebut melainkan jika terdapat mahram bagi wanita tersebut, atau isteri lain bagi lelaki itu, atau terdapat penghalang seperti bilik berbeza dan tingkat yang berbeza.

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/266-268)

Situasi Kedua

Bahawa isteri berkenaan sudah tamat tempoh iddah dan dia tinggal di rumahnya sendiri beserta anak-anaknya. Dalam hal ini harus bekas suaminya memasuki rumahnya dengan tujuan menziarahi anak-anaknya dan memberikan nafkah untuk memenuhi keperluan mereka. Begitu juga jika bekas isteri tinggal bersama mahramnya. Hukum harus ini tertakluk kepada keizinan pihak bekas isteri. Sekiranga bekas suami ingin menziarahi anak-anak dan memberikan nafkah tetapi bekas isteri tidak membenarkan dia masuk ke dalam rumah, atau ke dalam bilik-bilik tertentu di dalam rumah, maka haram baginya masuk ke tempat yang dilarang kerana dia sudah dianggap sebagai orang asing. Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).

(Surah al-Nur: 27)

 

Situasi Ketiga

Bahawa isteri berkenaan sudah tamat tempoh iddah dan dia tinggal bersendirian dan tiada penghalang antara dia dan bekas suaminya itu daripada berlakunya khalwat dan zina, apatahlagi dalam keadaan wanita itu sudah berkahwin lain, maka hukumnya adalah haram kerana berkhalwat. Bolehlah dilaporkan aduan kepada Jabatan Agama Islam yang berkuasa di tempat berkenaan untuk menghalang berlakunya perkara-perkara kerosakan yang tidak diingini.

Kesimpulannya, adalah penting untuk kita mengetahui keadaan sebenar mengapa bekas suami itu keluar masuk rumah bekas isteri sebelum kita menjatuh tuduhan yang bukan-bukan. Ini sebagai mengelakkan kemungkaran seperti tersebarnya umpatan dan juga fitnah yang merosakkan masyarakat. Namun begitu jika ia berasal daripada sifat prihatin dan dilakukan semata-mata kerana Allah, bukan kerana hawa nafsu dan hasad dengki, ditambah lagi dengan risiko kerosakan yang nyata, maka bolehlah dinasihati orang berkenaan, atau meminta mereka yang dihormati seperti Imam masjid untuk menasihati, dan dilaporkan kepada pihak berkuasa jika tiada perubahan.

Wallahua’lam.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top