Visitors Hit

2670251 Views

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI #485: HUKUM MEMAKAI WANGIAN YANG DIHASILKAN DARIPADA DARAH KIJANG/ANTELOP

5 DISEMBER 2016 BERSAMAAN 5 RABI' AL-AWWAL 1438 H.

 

Soalan:

Apakah hukum memakai wangian yang dihasilkan daripada darah rusa, kijang ataupun antelop?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Haruman atau wangian yang terhasil dari darah rusa, kijang ataupun antelop dikenali dengan wangian kasturi. Di dalam Bahasa Arab ianya disebut dengan al-Misk (الْمِسْكُ).

Dari sudut istilahnya, telah berkata al-Bunani yang menaqalkannya daripada al-Hafiz Ibn Hajar bahawa al-Misk itu adalah darah yang terkumpul pada bahagian pusat rusa/kijang/gazelle/antelop pada satu masa yang diketahui daripada tahun tertentu. Apabila terkumpulnya darah tersebut, maka ianya akan membengkak maka rusa akan berasa sakit sehingga membawa kepada gugurnya gumpalan tersebut. [Lihat Hasyiah al-Bunani ‘ala Hamisy al-Zurqani, 1/27]

 

Halal & Bersihnya Kasturi (al-Misk)

Telah berpendapat para ulama’ bahawa kasturi itu halal lagi bersih. Dibolehkan untuk memakannya dan mengambil manfaat daripadanya dalam apa keadaan sama ada dalam bentuk makanan dan juga perubatan sama ada darurat ataupun tidak. Ini kerana seseungguhnya darah yang pada asalnya telah bertukar (berlaku proses istihalah) kepada sesuatu yang baik dan menjadi bersih. Dalam sebuah hadith Nabi SAW:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَكَرَ امْرَأَةً مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ حَشَتْ خَاتَمَهَا مِسْكًا وَالْمِسْكُ أَطْيَبُ الطِّيبِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menyebut mengenai wanita daripada Bani Israel yang mengisi cincinnya dengan kasturi dan kasturi adalah wangian yang sangat harum.

Riwayat Muslim (2252)

 

Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:

أَطْيَبُ الطِّيبِ الْمِسْكُ

Maksudnya: Wangian yang paling harum baunya adalah al-Misk (kasturi).

Riwayat Al-Tirmizi (991). Telah berkata Abu Isa al-Tirmizi bahawa hadith ini Hasan Sahih.

 

Al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah di dalam kitabnya Ikmal al-Mu’lim bi Fawaid Muslim iaitu syarah kepada Sahih Muslim mengatakan bahawa hadith di atas menjadi dalil akan bersihnya kasturi dan dibolehkan untuk menggunakannya. [Lihat Ikmal al-Mu’lim bi Fawaid Muslim. Dar al-Wafa’, 7/193]

Di dalam fiqh al-Syafi’e pula, al-Imam Khatib al-Syarbini Rahimahullah di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj turut mengatakan bahawa kasturi itu bersih juga berdasarkan hadith di atas. [Lihat Mughni al-Muhtaj. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1/233]

 

Kesimpulan

Berdasarkan hadith serta kenyataan para ulama’, kami nyatakan di sini bahawa penggunaan minyak kasturi sebagai wangian adalah dibenarkan dan dihukum sebagai suci kasturi tersebut. Ini kerana terdapat dalil yang sahih mengenai kesucian kasturi. Al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya yang lain, al-Iqna’ mengatakan adanya hadith Muslim menjadikan hukumnya suci. Wallahu a’lam.

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top