Visitors Hit

6404014 Views

 

كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا

MUKADIMAH

Alhamdulilah, kita umat islam pada hari ini baru sahaja selesai melakukan ibadah puasa dan kita sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh rasa kesyukuran. Ramai di kalangan kita begitu bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah pada bulan Ramadhan tetapi selepas daripada itu, ibadah telah diperlahankan seolah-olah ia hanyalah untuk bulan Ramadhan sahaja dan bukanlah untuk bulan-bulan yang lain.

Bulan Ramadhan tanpa dinafikan kelebihan sepatutnya menjadi muntalaq atau titik tolak untuk terus memacu kesungguhan dalam beribadat. Justeru, biarlah mukhayyam tarbawi Ramadhan menambahkan lagi kesungguhan kita untuk terus melaksananakan ibadat. Tatkala kita berdoa dengan doa yang diajarkan Nabi SAW:

Daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

اللَّهمَّ إنَّكَ عفوٌّ تحبُّ العفوَ فاعفُ عنِّي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan Engkau sukakan pengampunan, maka ampunilah aku”.

Hadis riwayat al-Tirmizi (no.205). Beliau menyatakan hadis ini hasan sahih.

Perkataan “العفوَ” adalah salah satu daripada nama-nama Allah dan dia (keampunannya) melebihi keburukan-keburukan hambaNya dan Maha Menghapus kesan-kesan keburukan itu. Dia suka akan kemaafan dan sangat suka memaafkan hambaNya. Allah suka akan hambaNya yang saling memaafkan sesame mereka. Ketika seorang hamba memaafkan hamba yang lain, Allah akan memaafkan hamba itu dengan kemaafanNya kerana kemaafanNya mendahului murkaNya.

Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan redhaMu daripada kemarahanMu dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada kemurkaanMu.”

Riwayat Muslim (no. 486) 

Yahya bin Mu’az berkata, kalaulah kemaafan tidak menjadi hal yang paling disukai Allah SWT, nescaya tidak akan terputus dosa sekalipun pada semulia-mulia manusia. Ini menunjukan bahawa Allah SWT telah menguji para wali dan hamba-hamba yang dikasihiNya dengan dosa agar Allah SWT dapat menyantuni mereka dengan kemaafanNya bahkan Allah SWT sangat menyukai kemaafan.

Sebahagian salafussoleh berkata: “Kalaulah aku tahu amalan yang paling disukai oleh Allah pasti aku akan bersungguh-sungguh untuk beramal dengannya.” Lalu seorang berkata kepadanya di dalam mimpi: “Sesunguhnya engkau menginginkan sesuatu yang tidak akan terjadi. Sesungguhnya Allah amat suka memaafkan dan mengampuni hambaNya. Perkara yang Allah paling suka apabila semua hambaNya berada di bawah naungan kemaafanNya.”

Dalam sebuah hadith marfu’, daripada Ibn Abbas, sesungguhnya pada malam al-Qadr, Allah SWT melihat kepada para hamba-hambanya yang mukmin daripada umat Nabi Muhammad SAW, lalu Allah memaafkan mereka dan merahmati mereka kecuali empat golongan iaitu penagih arak, penderhaka kepada ibu bapa, kaki pukul dan pemutus silaturrahim.

Saat orang-orang yang sedar menyedari, betapa agungnya kemaafan Allah, mereka akan segera tunduk memperhambakan diri  kepadaNya. Demikian juga kepada para pendosa, saat mengetahui besarnya kemaafan Allah SWT, mereka akan berlumba-lumba mendapatkan kemaafan tersebut. Tidak akan ada pilihan kepada kita selaku hamba kepada Allah SWT melainkan hanya kemaafan Allah SWT atau nerakaNya.

Kalaulah para pendosa tidak berusaha untuk mengejar kemaafan ketika itu, pasti jiwa mereka akan merana kekesalan dan putus harap daripada rahmat Allah. Namun, ketika mengingat damainya kemaafan Allah mereka akan tenang dengannya.

Sebahagian ulama terdahulu membaca doa ini:

اَللَّهُمَّ إِنَّ ذُنُوْبِيْ قَدْ عَظُمَتْ وَجَلَّتْ عَنِ الصِّفَةِ، وَإِنَّهَا صَغِيرَةٌ فِي جَنْبِ عَفْوِكَ، فَاعْفُ عَنِّي.

Maksudnya: “Ya Allah, dosa-dosaku terlalu banyak tidak terkira. Tidak mampu aku sifatkan, namun ia terlalu kecil di sisi kemaafanMu, ampunilah aku”.

Sebahagian yang lain berdoa:

جُرْمِي عَظِيمٌ، وَعَفْوُكَ كَثِيرٌ، فَاجْمَعْ بَيْنَ جُرْمِي وَعَفْوِكَ يَا كَرِيمُ.

Maksudnya: “Kesalahanku amat besar dan keampunanMu amat banyak, kumpulkanlah antara kesalahan-kesalahanku dan kemaafanMu wahai Yang Maha Mulia.”

Seterusnya, kita mengharapkan dengan puasa yang kita lakukan dan ibadat yang kita lakukan itu akan sentiasa memberi kesan yang besar dalam kehidupan kita dengan penghapusan dosa yang tidak berlaku dalam bulan yang lain.

Disebutkan dalam al-Musnad dan Sahih Ibnu Hibban, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، وَعَرَفَ حُدُودَهُ، وَتَحَفَّظَ مِمَّا يَنْبَغِي لَهُ أَنْ يَتَحَفَّظَ فِيهِ، كَفَّرَ مَا قَبْلَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian mengetahui batasan-batasannya, memelihara apa yang perlu dipelihara maka hal itu menjadi penebus dosa-dosanya yang terdahulu.”

Hadis riwayat Ibn Hibban (no. 3433)

Majoriti ulama berpendapat bahawa, hal yang dimaksudkan ini dapat menghapuskan dosa-dosa kecil. Berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya: “Solat lima waktu dan Jumaat hingga Jumaat, Ramadhan hingga Ramadhan akan menghapuskan dosa-dosa antara kedua-duanya selama menjauhi dosa-dosa besar”.

Hadis riwayat Muslim (no. 233)

Dalam takwilnya, terdapat dua pendapat:

Pertama: Syarat penghapusan dosa-dosa itu ialah menjauhi dosa-dosa besar. Sesiapa yang tidak menjauhi dosa-dosa besar, dosa-dosanya tidak akan dihapuskan samada dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil.

Kedua: Semua kewajipan itu akan menghapuskan dosa-dosa kecil sahaja dalam setiap keadaan samada ia menjauhi dosa-dosa besar ataupun tidak. Sesungguhnya, dosa-dosa besar tidak akan terhapus dalam apa jua keadaan (kecuali bertaubat).

Ibnu al-Munzir telah menyatakan tentang solat pada malam Lailatul Qadar bahawa diharapkan supaya dengannya dapat memberikan keampunan terhadap dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil. Malah, ulama lain turut menyatakan perkara yang sama. Jumhur ulama melihat bahawa sesungguhnya dosa-dosa besar tidak dapat tidak harus ditebus dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benarnya).

Hadith Abu Hurairah R.A menunjukkan bahawa ketiga-tiga sebab ini setiap satunya akan menghapuskan dosa-dosa yang terdahulu iaitu ibadah melalui puasa Ramadhan dan mendirikan malam Lailatul Qadar.

Mendirikan malam Lailatul Qadar akan menghapuskan dosa mereka yang berjaya mendapatkannya sebagaimana disebut dalam hadith Ubadah bin al-Shamit. Sama ada ketika sepuluh malam pertama, sepuluh malam pertengahan atau sepuluh malam yang terakhir. Samada yang disedari ataupun tidak. Penghapusan dosa tidak dilewatkan (ditangguhkan) sehingga Ramadhan berakhir.

Adapun puasa Ramadhan dan solat malam terhenti penghapusan dosa apabila Ramdhan telah berakhir (sempurna sebulan). Apabila sempurna sebulan (Ramadhan), maka telah sempurna bagi seorang mukmin itu akan puasa dan qiamnya. Oleh itu, dia akan memperolehi keampunan bagi dosa-dosanya yang terdahulu dengan sempurnanya dua sebab iaitu puasa Ramadhan dan mendirikan solat malam.

Dikatakan juga bahawa mereka mendapat keampunan ketika menyempurnakan solat pada akhir malam bulan Ramadhan dengan menghidupkan bulan Ramadhan sebelum sempurna siangnya. Dilambatkan pengampunan dosa-dosa melalui ibadah puasa yang dilakukan sehingga sempurna siangnya dengan ibadah puasa, seterusnya mereka mendapat keampunan pada akhir puasa pada malam Aidilfitri.

Semoga ibadah yang kita lakukan sentiasa diterima oleh Allah SWT dan mendapat keampunan daripadaNya serta keredhaanNya dalam kehidupan kita. Hendaklah kita pastikan ganjaran pahala yang dijanjikan pada hari ini yang merupakan penganugerahan menjadi milik kita. Maka, berpuasa enam hari pada bulan Syawal perlu kita teruskan bagi melambangkan rasa kesyukuran kita kepada Yang Maha Esa.

Tiada nikmat yang lebih besar selain daripada nikmat keampunan Allah SWT yang kita harapkan selaku hambaNya di atas muka bumi ini untuk meraih ganjaran syurga yang dijanjikanNya di akhirat kelak. Justeru, jadilah kita selaku hamba Allah SWT yang Rabbani, dan bukan terhenti sebaik sahaja habis sahaja bulan Ramadhan sepertimana kata-kata:

 “كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا”.

Marilah kita terus melangkahkan kaki menuju ke masjid, ke majlis-majlis ilmu dan majlis zikrullah serta membasahkan lidah dengan membaca al-quran, berzikir, bertasbih, bertahmid, dan bertakbir membesarkan Allah SWT. Begitu juga kita terus melaksanakan ibadah solat termasuklah ibadah solat sunat dan solat-solat malam (qiamullail) pada secara berterusan.

Akhir kata, semoga Allah SWT menjadikan kita termasuk dalam kalangan hambaNya yang bersyukur dan mendapat keampunan secara berterusan daripadaNya.

 

Akhukum Fillah,


SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
30 Jun 2017M bersamaan 6 Syawal 1438H

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top