Visitors Hit

3345381 Views

Soalan: Apakah status hadith “Siapa yang mengenali dirinya maka dia mengenali Allah” ?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Matan Hadith

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang kenal dirinya maka dia telah mengenal Allah”.

 

Pendapat Ulama Berkaitan Hadith Ini

Antara pendapat para ulama’ berkaitan hadith ini:

  • Imam al-Saghani menyatakan ia bukan daripada Rasulullah SAW. [Lihat: al-Maudhu’at, 35]
  • Imam al-Suyuthi mengatakan hadith ini bathil dan tidak sahih. [Lihat: al-Tadrib al-Rawi, 2/167]
  • Imam al-Zurqani mengatakan ia bukan hadith. [Lihat: Mukhtasar al-Maqasid, 1052]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari menilai hadith ini sebagai tiada asal baginya. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 337]

 

Tarjih

Setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama’ dalam menilai hadith ini, maka kami berpendapat bahawa hadith ini adalah palsu dan tiada asal baginya. Dengan itu, kita sama sekali tidak boleh menyebarkannya kepada orang lain melainkan bagi menyatakan akan kepalsuannya.

 

Akan tetapi di dalam nas ilahi, Allah SWT menuntut hamba-hambanya untuk sentiasa melihat dan berfikir dengan apa yang terdapat pada diri mereka. Ini dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT:

وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Maksudnya: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”. [al-Zariyat:21]

 

Menurut Imam al-Thabari, makna “pada diri kamu” adalah wahai sekalian manusia pada diri kamu itu terdapat tanda dan pengajaran yang menunjukkan akan keesaan (kebesaran) Penciptamu. Selain itu, sesungguhnya tiada Tuhan bagimu selain daripada-Nya dan tidak ada sesuatu yang dapat menandingi ciptaan-Nya sebagaimana kamu (diciptakan). Manakala makna “tidakkah engkau melihatnya” bermaksud tidakkah engkau melihat padanya (penciptaanmu) lalu engkau berfikir akannya maka engkau mengetahui akan hakikat keesaan (kebesaran) Penciptamu iaitu Allah SWT. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 21/519]

 

Selain ayat ini, terdapat banyak lagi ayat-ayat atau nas-nas ilahi yang menceritakan akan tuntutan kita untuk sentiasa berfikir dan mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan. Tambahan pula, Allah SWT mengurniakan kita akal agar kita berfikir serta menggunakannya sebaik-baiknya agar kita tidak termasuk di dalam orang-orang yang kufur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

 

Penutup

Kesimpulannya, antara yang dapat difahami daripada makna hadith ini adalah kita sebagai umat Islam dituntut agar sentiasa berfikir dengan setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Di samping itu juga, kita dituntut agar sentiasa memuji Allah SWT setiap kali melihat kebesaran ciptaan-Nya. Dengan cara itu, ia akan membawa kita kepada mengtauhidkan Allah SWT dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang sentiasa berfikir serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top