Visitors Hit

3849087 Views

 Soalan: Apakah status anak-anak yang belum baligh akan memberi syafaat dan menunggu ibubapa mereka di pintu syurga ?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tidak terdapat ayat al-Qur’an yang menceritakan tentang syafaat seorang kanak-kanak yang belum baligh kepada ibubapa mereka dan menunggu mereka di pintu syurga secara jelas tetapi terdapat beberapa ayat yang menceritakan  tentang keadaan di dalam syurga kelak, bahawa Allah SWT akan mengumpulkan anak dan ibubapa mereka jika mereka berlainan darjat di dalam syurga. Antaranya :

  • Firman Allah SWT :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannyaa”. [Al-Thur:21]

Di dalam hadith pula, terdapat beberapa hadith yang menceritakan tentang syafaat seorang kanak-kanak atau bayi belum baligh kepada ibubapa mereka. Antaranya :

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda kepada salah seorang wanita ansar :

لَا يَمُوتُ لِإِحْدَاكُنَّ ثَلَاثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ فَتَحْتَسِبَهُ، إِلَّا دَخَلَتِ الْجَنَّةَ» فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ: أَوِ اثْنَيْنِ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: أَوِ اثْنَيْنِ

Maksudnya: “Tidaklah ada daripada kamu seorang perempuan yang mati tiga orang anaknya, maka kamu mengharapkan keampunan ke atas anaknya serta menghadapinya dengan sabar. Demikian itu, kamu akan memasuki syurga. Seorang perempuan telah bertanya “ sekiranya dua orang ?” sabda Rasulullah SAW lagi: “walaupun 2 orang”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 151]

Berdasarkan ayat al-Qur’an dan al-Hadith yang diberikan, ini menunujukkan bahawa kanak-kanak yang meninggal sebelum baligh mampu memberi syafaat kepada kedua ibubapanya tetapi apa yang kita perlu faham bahawa Allah SWT mampu memberi syafaat kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Manakala berkaitan hadith yang menceritakan tentang kanak-kanak yang belum baligh akan menunggu ibubapa mereka di pintu syurga disebut oleh Imam al-Thabarani di dalam mu’jamnya yang diriwayatkan oleh Habibah RA, beliau berkata:

حَدَّثَتْنِي حَبِيبَةُ، أَنَّهَا: كَانَتْ عِنْدَ عَائِشَةَ، فَجَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى دَخَلَ عَلَيْهَا فَقَالَ: «مَا مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَمُوتُ لَهُمَا ثَلَاثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ لَمْ يَبْلُغُوا الْحِنْثَ إِلَّا جِيءَ بِهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُوقَفُوا عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ فَيُقَالُ لَهُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ فَيَقُولُونَ حَتَّى يَدْخُلَ آبَاؤُنَا فَيُقَالُ لَهُمِ ادْخُلُوا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Aku berada bersama Aisyah RA maka telah datang Nabi SAW sehingga baginda SAW masuk lalu bersabda: Tidaklah dua orang muslim meninggal dunia, di antara keduanya ada tiga orang anak (mereka adalah tiga bersaudara) yang belum berusia dewasa (baligh) kecuali Allah akan datangkan mereka pada hari Kiamat sehingga didirikan pada pintu-pintu syurga lalu dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam Syurga. Mereka menjawab: Sehingga dimasukkan ibubapa kami. Maka dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu dan juga ibubapa kamu ke dalam Syurga”. [Lihat: Mu’jam al-Kabir, no. hadith 571, 24/225] [Imam al-Haithami mengatakan perawi-perawinya thiqah di dalam Majma’ al-Zawaid dan al-Albani menghukum hadith ini sahih sebagaimana di dalam sahih al-Targhib]

 

Definisi Syafaat

Syafaat dari sudut bahasa adalah lawan bagi witir iaitu menjadikan sesuatu yang ganjil kepada genap. Manakala dari sudut istilah pula adalah menjadi perantara bagi orang lain dengan memberikan manfaat kepadanya atau menolak mudharat iaitu pemberi syafaat akan memberikan manfaat kepada orang yang diberi syafaat atau menolak mudharat untuknya. Dalam erti kata lain, syafaat juga bermaksud memohon perlindungan bagi orang lain. [Lihat: Mukhtasar al-fiqh al-Islami, 1/767]

 

Pembahagian Syafaat

Syafaat pada hari Kiamat terbahagi kepada dua secara umumnya:

  • Syafaat khusus

Syafaat khusus yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dan ia termasuk syafaat al-‘Uzhma (terbesar) yang terjadi pada hari Kiamat kelak. Hal ini, dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya, sebagai tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. [al-Isra’:79]

  • Syafaat umum

Allah mengizinkan kepada hamba-hamba-Nya yang soleh untuk memberikan syafaat kepada orang-orang yang diperkenankan untuk diberikan syafaat. Syafaat ini diberikan kepada Nabi Muhammad SAW, nabi-nabi yang lain, orang-orang yang jujur, para syuhada’ serta orang-orang soleh. Contohnya mereka akan memberikan syafaat kepada penghuni Neraka daripada kalangan orang-orang beriman agar mereka keluar dari Neraka.

Penutup

Kesimpulannya, kita sebagai seorang insan dan manusia biasa perlulah sentiasa memohon dan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan syafaat di hari Akhirat kelak kerana kita tidak akan terselamat daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Kita juga sebagai seorang yang beriman, perlulah mengakui akan wujudnya syafaat di hari akhirat kelak yang akan diberikan oleh Allah SWT kepada sesiapa sahaja daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya. Semoga kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang diizinkan oleh Allah SWT untuk memperolehi syafaat dan juga seterusnya mendapat syafaat Nabi SAW di hari Akhirat nanti. Amin.

Wallahua’lam

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top