Visitors Hit

2670198 Views

 Soalan:

Apakah sebab wurud hadith “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi”?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Matan Hadith

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

اُنْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُوْمًا

Maksudnya: “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2263, 2264 dan 2438]

 

Sebab Wurud Hadith

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim daripada Jabir bin Abdillah, beliau berkata: Telah bergaduh atau berkelahi dua orang budak. Seorang daripada al-Muhajirin dan seorang lagi daripada al-Ansar. Telah berkata budak daripada al-Muhajirin: “Pembelaan untuk Muhajirin”, manakala telah berkata budak daripada al-Ansar: Pembelaan untuk al-Ansar”. Lalu Rasulullah SAW keluar dan bersabda: “Tidak, melainkan jika dua hamba ini memukul pada yang lain”. Rasulullah SAW bersabda lagi: “Tidak mengapa, bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi. Adapun yang zalim itu, bantulah dia dengan cara menegahnya dan yang dizalimi pula bantulah dia (daripada kezaliman)”. [Lihat: al-Luma’ fi Asbab Wurud al-Hadith, 121]

 

Makna Hadith

Di dalam Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa orang pertama yang menyebut ungkapan seperti ini ialah Jundub bin al-Anbar yang kemudiannya ia menjadi satu prinsip kepada masyarakat jahiliah. Mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam membantu kaum mereka di atas nama perkauman yang mana mereka bukan sahaja ketika mereka menjadi mangsa kezaliman tetapi juga apabila kaum atau bangsa mereka melakukan kezaliman. [Lihat: Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari, 5/98]

Bangsa Arab memberi definisi terhadap perkataan al-Nashr (النصر) dengan makna al-I’anah dan al-Ta’yid, keduanya mempunyai pengertian yang serupa, iaitu menolong atau membantu. Rasulullah SAW telah menafsirkan atau menjelaskan makna hadith ini di atas dengan menolong orang yang melakukan kezaliman di sini adalah dengan cara mencegahnya daripada perbuatan yang zalim. Ini kerana, jika dibiarkan begitu saja, ia akan terus melakukan kezaliman tersebut. [Lihat: Syarah Sahih al-Bukhari li Ibn Baththal, 6/572]

Tambahan pula, di dalam hadith ini juga membawa maksud bahawa kita juga perlu membantu saudara kita yang dizalimi sekadar yang termampu. Ini kerana, Allah SWT tidak menyukai akan kezaliman atau orang-orang yang melakukan kezaliman. Selain itu, ini juga menunjukkan akan keindahan Islam yang sentiasa menginginkan setiap daripada agar menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah SWT dalam setiap keadaan.

 

Penutup

Kesimpulannya, Islam sangat menentang sebarang jenis kezaliman samada ia daripada diri sendiri atau terhadap orang lain. Selain itu juga, tidak semua hadith mempunyai asbab wurud atau sebab turunnya sesebuah hadith. Ini kerana, sebahagian hadith diungkapkan atau diucapkan disebabkan soalan yang ditanya atau peristiwa yang berlaku. Akhirnya, semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita dalam agama ini. Amin.

Wallahua’lam

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top