Visitors Hit

6423349 Views

 Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hadith Mubham?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Mubham adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan sanad dan juga matan dalam sesebuah hadith.

 

Definisi Hadith Mubham

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Mubham adalah seperti berikut:

وَمُبْهَمٌ مَا فِيْهِ رَاوٍ لَمْ يُسَمّْ

Maksudnya:  “[Hadith Mubham] ialah hadis yang ada di dalamnya (sanad) perawi yang tidak diberi nama”.

 

Berdasarkan kata-kata Imam al-Baiquniy di atas, hadith Mubham adalah hadith yang di dalamnya terdapat perawi yang tidak disebut atau diketahui akan namanya dengan jelas samada di dalam sanad atau matan.

 

Jenis-Jenis Hadith Mubham

Hadith Mubham terbahagi kepada dua iaitu pada sanad dan juga matan:

  • Contoh Mubham Di Dalam Sanad

Antara contoh Mubham di dalam sanad adalah:

حَدَّثَنِيْ سُفْيَان عَنْ رَجُلٍ

Maksudnya: “Telah berkata kepadaku Sufiyan daripada seorang lelaki”.

Di dalam sanad ini, Sufiyan telah meriwayatkan sebuah hadith daripada seorang lelaki yang tidak dikenali atau tidak disembunyikan namanya.

  • Contoh Mubham Di Dalam Matan

Antara contoh Mubham di dalam matan adalah, daripada Aisyah RA, beliau berkata:

أَنَّ امْرَأَةً سَأَلَتْ النَّبِيَّ صَلَّىْ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ غُسْلِهَا مِنَ المَحِيْضِ

Maksudnya: “Seorang wanita telah bertanya kepada Nabi SAW tentang cara mandinya daripada haid”. [Riwayat al-Bukhari (303)]

 

Di dalam matan ini, Aisyah RA tidak menamakan wanita yang berjumpa dengan Nabi SAW untuk bertanyakan akan cara mandi daripada hadas besar iaitu haid.

 

Hukum Hadith Mubham

Hukum hadith Mubham pada sanad adalah dhaif jika ia tidak mempunyai jalur lain, yang mana jalur tersebut menyebut dengan jelas nama perawi yang tidak disebut atau disembunyikan itu. Adapun Mubham pada matan, ia tidak memberi mudharat terhadap hukum hadith samada ia sahih atau dhaif.

 

Faedah Hadith Mubham

  • Hadith Mubham pada sanad, asalnya ia tidak diterima sehingga diketahui siapa perawi yang meriwayatkan hadith tersebut.
  • Apabila perawi yang tidak dikenali atau tidak dinamakan adalah daripada kalangan sahabat Nabi SAW maka hadithnya diterima, kerana seluruh sahabat adalah adil dan thiqah berdasarkan persaksian Allah SWT di dalam al-Qur’an.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top