Visitors Hit

8452613 Views

Soalan: Apakah kelebihan-kelebihan hari Arafah?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

               

Memandangkan kita akan menyambut hari raya Aidiladha dan juga hari Arafah, maka Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membicarakan berkaitan beberapa kelebihan hari Arafah sebagaimana yang disebut di dalam hadith Nabi SAW.

 

Kelebihan-Kelebihan hari Arafah

Antara kelebihan-kelebihannya adalah:

 

Pertama: Hari Arafah adalah rukun daripada haji.

 

  • Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)]

 

Kedua: Hari Arafah adalah hari di mana agama ini telah sempurna.

 

  • Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepadanya:

 

يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَقْرَءُونَهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: "اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا" [المائدة: 3] قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالمَكَانَ الَّذِي نَزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ

Maksudnya: “Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”. [Riwayat al-Bukhari  (43) dan Muslim (5334)]

 

Ketiga: Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam.

 

  • Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”. [Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]

 

Keempat: Hari Arafah adalah hari Penyaksian.         

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

اليَوْمُ المَوْعُودُ يَوْمُ القِيَامَةِ، وَاليَوْمُ المَشْهُودُ يَوْمُ عَرَفَةَ، وَالشَّاهِدُ يَوْمُ الجُمُعَةِ

Maksudnya: “Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari  Mayshud adalah hari Arafah serta  al-Syahid adalah hari Jumaat”. [Riwayat al-Tirmizi (3262)]

 

Kelima: Kebesaran berdoa di hari Arafah.

 

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (3509)]

 

Keenam: Puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

 

  • Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

 

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

 

Ketujuh: Hari keampunan dan pelepasan dari api neraka.         

 

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”.  [Riwayat Muslim (2402)]

 

Penutup

Kesimpulannya, hari Arafah adalah satu hari yang istimewa sebagaimana bulan Zulhijjah juga sebagaimana yang kami nyatakan sebelum daripada ini akan kelebihan bulan Zulhijjah. Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah merebut peluang dan kesempatan ini agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufik dan hidayah dalam melaksanakan setiap amalan yang dilakukan.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top