Visitors Hit

7511323 Views

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hadith Marfu’?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Marfu’ adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan sanad dan juga matan dalam sesebuah hadith.

 

Definisi Hadith Marfu’

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Marfu’ adalah seperti berikut:

وَمَا أُضِيْفَ لِلنَّبِيِّ المَرْفُوعُ

Maksudnya:  “Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW dinamakan [Hadith Marfu’]”.

 

Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Imam al-Baiquniy, kita memahami bahawa hadith Marfu’ adalah setiap hadith yang disandarkan kepada Nabi SAW samada dari sudut perkataan, perbuatan, ikrar dan juga sifat Nabi SAW. Tambahan pula, tidak menjadi syarat bahawa hadith Marfu’ ini sanadnya perlulah bersambung.

 

Pembahagian Hadith Marfu’

Hadith Marfu’ terbahagi pada dua bahagian sebagaimana yang terdapat di dalam kitab mustholah al-Hadith:

 

Pertama: al-Marfu’ al-Shorih (المرفوع الصريح)

Al-Marfu’ al-Shorih bermaksud apa yang disandarkan secara terus atau jelas kepada Nabi SAW daripada perkataan perkataan, perbuatan, ikrar dan juga sifat Nabi SAW. Contohnya seperti:

سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ كَذَا

Maksudnya: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda…”.

 

Kedua   : al-Marfu’ al-Hukmi (المرفوع الحكمي)

Manakala, al-Marfu’ al-Hukmi pula bermaksud, hadith tersebut diungkapkan oleh para sahabat RA tanpa disandarkan kepada Nabi SAW secara jelas. Contohnya adalah:

 

أُمِرْنَا بِكَذَا أَوْ نُهِيْنَا بِكَذَا

Maksudnya: “Kami diperintahkan dengan sesuatu atau kami ditegah dengan sesuatu”.

 

Hukum Hadith Marfu’ al-Hukmi

Para ulama’ telah berbeza pendapat dalam meletakkan hukum bagi hadith Marfu’ hukmi ini kepada beberapa pendapat:

  • Hukumya adalah marfu’ dan ini adalah pendapat jumhur ulama’.
  • Hukumya adalah tidak marfu’. Ini adalah salah satu pendapat dalam mazhab al-Zhahiriyyah dan juga pendapat imam al-Haramain.
  • Hukumnya adalah tawaqquf dan ini adalah pendapat imam al-Sam’ani.
  • Hukumnya adalah marfu’ jika ia datang daripada sahabat yang besar. Manakala, jika ia datang daripada selain daripada sahabat-sahabat yang besar maka hukumnya perlu dilihat.

 

Hukum Hadith Marfu’

Hukum hadith Marfu’ boleh menjadi sahih, hasan, dhaif atau maudhu’ (palsu) bergantung pada sanad dan matannya.

 

Persoalan

Apakah hukum apabila tabi’in mengucapkan “kami diperintahkan dengan sesuatu atau kami ditegah dengan sesuatu” sepertimana hadith Marfu’ Hukmi tetapi ia daripada tabi’in?

 

Ini adalah masalah yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama’ dalam menentukan hukum hadith tersebut. Akan tetapi, pendapat jumhur ulama’ dalam kalangan ahli hadith, hukumnya adalah mursal sebagaimana yang diplih oleh Ibn Salah RA.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top