Visitors Hit

7892985 Views

 Soalan: Apakah kelebihan menjaga anak yatim serta ancaman bagi orang yang menyakiti mereka?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Gelaran yatim adalah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih sahaja. Ini kerana, ramai daripada kalangan ulama’ terdahulu dan juga masa kini, mereka adalah yatim ketika usia masih kecil. Tambahan pula, junjungan besar kita nabi Muhammad SAW adalah seorang yatim ketika baginda masih dalam kandungan ibunya.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat dua persoalan utama yang diajukan. Pertamanya berkaitan dengan kelebihan orang yang menjaga anak yatim dan yang keduanya berkaitan bala atau ancaman bagi orang yang menyakiti mereka. Bagi menjelaskan persoalan pertama di atas, terdapat beberapa buah hadith yang sahih menceritakan akan kelebihan orang yang menjaga atau memelihara anak yatim ini. Antaranya:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ

Maksud: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jari baginda SAW) di syurga”. [Riwayat Muslim, (2983)]

 

Selain itu, terdapat sebuah lagi hadith yang hampir dengan hadith di atas sebagaimana yang diriwayatkan oleh imam al-Tirmizi di dalam sunannya.

 

  • Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَنَا وَكَافِلُ اليَتِيمِ فِي الجَنَّةِ كَهَاتَيْنِ، وَأَشَارَ بِأُصْبُعَيْهِ يَعْنِي السَّبَّابَةَ وَالوُسْطَى

Maksudnya: “Aku dan orang yang menjaga anak yatim seperti ini di dalam syurga. Baginda SAW mengisyaratkan dengan merapatkan dua jari baginda SAW iaitu jari telunjuk dan jari tengah”. [Riwayat al-Tirmizi, (1918)][Hadith ini dinilai hasan sahih oleh imam al-Tirmizi]

 

Imam al-Nawawi RA mengatakan yang dimaksudkan dengan “له” miliknya adalah ahli keluarga terdekat seperti datuk, ibu, nenek, abang, kakak, bapa saudara, ibu saudara dan ahli keluarga lain yang terdekat. Adapun yang dimaksudkan dengan “لغيره” bukan miliknya adalah orang asing ataupun orang yang tidak mempunyai pertalian keluarga. [Lihat: Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 113/18]

Menurut Syeikh Muhammad Fu’ad  Abd al-Baqi RA ketika menjelaskan makna hadith ini, yang dimaksudkan dengan “كافل اليتيم” orang yang menjaga anak yatim adalah orang yang menjalankan perkara-perkara yang melibatkan perihal anak yatim tersebut seperti nafkahnya, pakaiannya, mengajarnya adab-adab, mengtarbiahnya dan lain-lain lagi. Kelebihan ini akan diperolehi bagi setiap orang yang menjaga anak-anak yatim ini dengan menggunakan harta mereka sendiri atau dengan menggunakan harta anak yatim tersebut dengan wilayah penjagaan. [Lihat: Sahih Muslim yang ditahqiq oleh Syeikh Muhammad Fu’ad, 2287/4]

Berkaitan persoalan yang kedua, terdapat sebuah hadith di dalam adab al-Mufrad karangan imam al-Bukhari RA yang menceritakan akan keburukan bagi orang yang menyakiti anak yatim ini. Hadith tersebut adalah:

 

  • Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

خَيْرُ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ بَيْتٌ فِيهِ يَتِيمٌ يُحْسَنُ إِلَيْهِ، وَشَرُّ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ بَيْتٌ فِيهِ يَتِيمٌ يُسَاءُ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sebaik-baik rumah daripada kaum muslimin adalah rumah yang terdapat di dalamnya anak yatim yang dilayan dengan baik. Manakala seburuk-buruk rumah daripada kaum muslimin adalah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang disakiti akan dia (anak yatim tersebut)”.

[Lihat: Sunan Ibn Majah, (3679), adab al-Mufrad, (137)] [Hadith ini dinilai dhaif oleh ahli ilmu, antara yang menilainya dhaif ialah al-Iraqi ketika mentakhrijkan hadith-hadith di dalam al-Ihya’, 670/1].

 

Walaupun hadith di atas bertaraf dhaif, namun ia tidak bermaksud bahawa kita boleh menganiayai anak yatim atau menyakiti mereka. Ini kerana, di dalam al-Qur’an, Allah SWT menegaskan kepada kita di dalam surah al-Dhuha:

 

  • Firman Allah SWT:

فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadap mereka”. [al-Dhuha:9]

 

Imam Ibn Kathir berkata, ayat ini merupakan dialog kepada rasulullah SAW dengan mengatakan sebagaimana engkau (wahai Muhammad SAW) seorang yang yatim dahulu lalu Allah SWT melindungimu maka janganlah sesekali engkau mengasari anak yatim. Maksud ayat ini juga adalah janganlah kamu menghina, mengasari atau merendahkannya tetapi berlaku baiklah kepada mereka dan berlembutlah dengan mereka. Telah berkata Qatadah: Jadilah kamu kepada anak yatim ini seperti seorang ayah yang penyayang. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 427/8]

Tambahan pula, Syeikh Ali Sobuni di dalam tafsirnya menyatakan maksud ayat ini adalah janganlah sesekali kita berlaku kasar kepada mereka ataupun mengambil harta mereka. Telah berkata Mujahid: Maksud ayat ini adalah jangan berlaku kasar. Adapun telah berkata Sufiyan: Janganlah sesekali kamu menzalimi mereka dengan mengambil harta mereka. [Lihat: Safwah al-Tafasir, 546/3]

 

Antara ancaman atau hukuman bagi orang yang memakan harta anak yatim

Terdapat beberapa ancaman daripada Allah SWT berkaitan orang yang memakan atau tidak menguruskan harta anak yatim dengan amanah. Antaranya:

 

  • Allah SWT memerintahkan kita agar berjaga-jaga dengan harta anak yatim melainkan bagi tujuan yang baik.

 

Firman Allah SWT:

 

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya)”. [al-Isra’:34]

 

  • Memakan, menggunakan dan mencampurkan harta anak yatim dengan harta sendiri secara salah adalah berdosa besar.

Firman Allah SWT:

 

وَآتُوا الْيَتَامَىٰ أَمْوَالَهُمْ ۖ وَلَا تَتَبَدَّلُوا الْخَبِيثَ بِالطَّيِّبِ ۖ وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَهُمْ إِلَىٰ أَمْوَالِكُمْ ۚ إِنَّهُ كَانَ حُوبًا كَبِيرًا

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka dan janganlah kamu tukar atau gantikan yang baik dengan yang buruk dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar”. [al-Nisa’:2]

Selain itu terdapat sebuah hadith yang menceritakan bahawa memakan harta anak yatim termasuk di dalam dosa-dosa yang besar. Hadith tersebut, diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan juga imam Muslim.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang  membinasakan). Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”. [Riwayat al-Bukhari (2766) (6857) dan Muslim (145)]

  • Orang yang memakan harta anak yatim secara zalim seperti memasukkan api ke dalam perut dan akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan dimasukkan ke dalam api neraka yang menyala-nyala”. [al-Nisa’:10]

 

  • Orang yang menindas anak yatim digelar sebagai orang yang mendustakan agama.

Firman Allah SWT:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ ﴿١﴾ فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ

Maksudnya: “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? (1) Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim”. [al-Ma’un:1 dan 2]

 

Setelah melihat ayat-ayat di atas, maka kita mengetahui dan mengakui bahawa Allah SWT melarang keras kita melakukan perkara yang tidak baik atau berlaku kasar kepada anak yatim ini, apatah lagi memakan harta mereka dengan cara yang tidak baik adalah sangat-sangat ditegah di dalam agama. Ini juga menunjukkan akan kemulian anak yatim ini sehinggakan Allah SWT dan rasulullah SAW memerintahkan umatnya agar sentiasa berlaku baik kepada mereka dan janganlah sesekali menyakiti atau menghina mereka.

 

Penutup

Kesimpulannya, setelah kita mengetahui akan besarnya ganjaran atau kelebihan bagi orang-orang yang menjaga anak yatim ini maka seharusnya kita menjaga mereka dengan penuh kasih sayang. Ini kerana, mereka juga adalah manusia seperti kita yang mengharapkan dan menginginkan kasih sayang daripada seorang ayah mahupun seorang ibu. Janganlah sesekali kita menganiayai mereka atau menyakiti hati mereka. Ini kerana, mereka telah diuji ketika usia mereka masih kecil lagi. Sedangkan Allah SWT telah memberi kita nikmat untuk merasa kasih sayang seorang ayah dan ibu sehingga kita dewasa tetapi mereka tidak mendapat nikmat tersebut sepertimana kita. Percayalah bahawa setiap amalan, kebaikan dan pengorbanan yang telah kita lakukan untuk mereka pasti akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah SWT. Di kesempatan ini, marilah sama-sama kita menjaga amanah ini apabila kita dipilih oleh Allah SWT untuk menjaga atau memelihara mereka. Berlaku baiklah kepada mereka dan layanilah mereka sepertimana anak kita sendiri. Selain itu juga, jagalah harta-harta mereka dan janganlah sesekali kita mengambil atau memakannya dengan cara yang haram kerana itu bukan hak kita dan kita hanyalah seorang yang diamanahkan untuk menjaganya buat sementara waktu. Akhirnya, diharapkan dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit kesedaran dan pengajaran kepada kita agar sentiasa mengasihi dan menyayangi anak-anak ini. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara anak-anak ini dan juga memelihara kita semua daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti, menganiayai dan menzalimi anak-anak ini. Amin.

 

Wallahua’lam

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top