Visitors Hit

6865224 Views

 Soalan: Apakah terdapat sanjungan ulama’ terdahulu terhadap fiqh ahli hadith?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami menjawab atau menyatakan beberapa sanjungan ulama’ terhadap ahli hadith, suka bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu maksud atau definisi bagi ahli hadith.

 

Definisi Ahli Hadith

Di dalam kitab al-Aqidah al-Ashfahaniyyah yang dikarang oleh syeikh al-Islam berkata, yang dimaksudkan dengan ahli hadith adalah mereka yang mengikut para sahabat RA  kerana mereka melihat para sahabat adalah rujukan tertinggi (selepas nabi SAW) dalam semua perkara. Kemudian orang-orang yang mengikut mereka (sahabat RA) daripada kalangan ahli athar (آثار) atau peninggalan nabi SAW, mereka itu adalah ahli hadith dan sunnah. Mereka juga mengetahui jalan para sahabat RA. Bukan itu sahaja, bahkan mereka juga mengikutinya. Kerana itu, mereka adalah ahli ilmu berkaitan kitab (al-Qur’an) dan al-Sunnah pada setiap masa dan zaman. [Lihat: al-Aqidah al-Ashfahaniyyah, 165]

Selain itu juga, ahli hadith ini digelar sebagai kumpulan yang berjaya (الناجية). Ini berdasarkan beberapa buah hadith yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari, imam Muslim dan juga imam al-Tirmizi di dalam kitab mereka. Antaranya:

  • Daripada Tsauban RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الحَقِّ ظَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ يَخْذُلُهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ

Maksudnya: “Sekumpulan daripada umatku terus berada di atas kebenaran, dan tidak akan ada yang boleh memudharatkan mereka oleh sesiapa yang menghina mereka sehingga datangnya perintah Allah SWT”. [Lihat: Sunan al-Tirmizi, 504/4] [Hadith ini dinilai hasan sahih oleh imam al-Tirmizi]

Imam al-Tirmizi menyambung lagi bahawa dia mendengar Muhammad bin Ismail iaitu imam al-Bukhari berkata: Aku mendengar Ali bin al-Madini berkata: beliau membaca hadith ini lalu beliau berkata: mereka adalah ahli hadith (kumpulan di atas kebenaran ini).

Walaubagaimanapun, imam al- Nawawi RA ketika mensyarahkan hadith yang sama seperti di atas. Beliau berkata: “Barangsiapa yang mengatakan bahawa kumpulan yang dimaksudkan di dalam hadith adalah ahli hadith, aku mengatakan berkemungkinan yang dimaksudkan dengan kumpulan di atas adalah kumpulan orang-orang yang beriman daripada bermacam jenis. Antara mereka ada yang berani berjuang (di medan perang), terdapat sebahagian daripada mereka yang faqih (alim dalam fiqh), ada juga yang mahir dalam bidang hadith, ada juga sebahagian mereka yang zuhud, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada keburukan. Selain itu juga, terdapat juga sebahagian daripada  mereka yang melakukan perkara-perkara lain berkaitan kebaikan dan tidak semestinya mereka ini terhimpun di dalam satu kumpulan sahaja tetapi hakikatnya mereka ini bertebaran di seluruh dunia”. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 67/13]

Berdasarkan kedua pendapat di atas, kita memahami bahawa para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan kumpulan yang dimaksudkan di dalam hadith ini. Walaubagaimanapun, kumpulan yang akan selamat pada setiap masa atau zaman adalah kumpulan yang sentiasa menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai rujukan mereka.

 

Sanjungan Para Ulama’

Antara sanjungan para ulama’ terhadap ahli hadith adalah:

  • Pertama: Khatib al-Baghdadi

“Allah SWT menjadikan ahli hadith sebagai rukun-rukun syariat dan penghapus segala bidaah yang keji. Mereka merupakan pemegang amanah Allah SWT daripada kalangan para makhluk-NYA, perantara di antara Nabi SAW dengan umatnya dan golongan yang sentiasa berusaha keras menjaga agama. Sinaran cahaya mereka bergemerlapan dan kelebihan-kelebihan mereka sentiasa berjalan. Tanda-tanda mereka sentiasa cemerlang, mazhab-mazhab mereka sentiasa menang dan hujah-hujah mereka sentiasa kukuh”. [Lihat: Syaraf Ashab al-Hadith, 9]

  • Kedua: Ibn Qutaibah

“Golongan ahli hadith adalah golongan yang mencari kebenaran daripada arah yang betul dan mengikuti sumber yang sebenar. Mereka mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW dan mencari peninggalan-peninggalan dan berita-berita yang diberitahu oleh baginda SAW baik di daratan mahupun di lautan, di timur mahupun di barat. Ada di antara mereka yang sanggup menempuh perjalanan yang jauh, semata-mata untuk mencari sebuah hadith atau sunnah dan mengambil sunnah itu daripada guru mereka secara musyafahah (berdepan), kemudian meneliti dan mengkajinya sehingga mereka dapat memahami mana yang sahih dan mana yang cacat”. [Lihat: Ta’wil Mukhtalaf Hadith, 127]

  • Ketiga: Al-Sam’ani

Golongan ahli hadith adalah golongan yang benar. Antara yang membuktikan golongan ini adalah golongan yang benar adalah apabila melihat atau mentelaah karya-karya mereka daripada awal sehingga akhir, yang dahulu mahupun kini, walaupun berbeza negara dan jarak yang jauh di antara negara-negara dan juga berada di benua yang berlainan. Didapati penjelasan mereka berkaitan dengan I’tiqad (pegangan) berada pada satu landasan dan bentuk sahaja. Mereka menggunakan satu pendekatan dan tidak berganjak daripadanya. Perkataan dan perbuatan mereka tidak pernah bercanggah di antara satu sama lain. Punca persepakatan pendekatan ahli hadith ini ialah mereka mengambil agama mereka daripada al-Kitab (al-Qur’an) dan juga al-Sunnah (al-Hadith) kerana itu mereka mewariskan persepakatan dan perpaduan ini”. [Lihat: al-Intisar li Ashab al-Hadith, 45]

 

Penutup

Kesimpulannya, berdasarkan beberapa sanjungan daripada para ulama’ di atas, kita mengetahui bahawa ahli hadith memainkan peranan yang cukup besar dan penting dalam memastikan ketulenan agama ini. Selain itu juga, mereka merupakan orang yang alim dalam bidang fiqh sehinggakan sebahagian daripada mereka mempunyai mazhab mereka sendiri dan juga pendapat mereka sendiri dalam sesuatu masalah. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam meneladani sikap dan kesungguhan mereka dalam memastikan agama ini terjaga dan terpelihara. Amin.

 

Wallahua’lam

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top