Visitors Hit

4302070 Views

Soalan: Apakah makna hadith Munkar?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Munkar adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang lemah atau dhaif.

 

Definisi Hadith Munkar

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Munkar adalah seperti berikut:

وَالمُنْكَرُ الْفَرْدُ بِهِ رَاوٍ غَدَا * تَعْدِيلُهُ لا يَحْمِلُ التَّفَرُّدَا

Maksudnya: “[Hadith Munkar] adalah apa (hadith) yang diriwayatkan oleh seorang perawi,  

Yang tidak diterima ta’dilannya (keadilannya) dalam keadaan perawi tersebut menyendiri”.

 

Di dalam manzhumah di atas, kita memahami bahawa imam al-Baiquniy memberi gambaran kepada kita bahawa hadith Munkar adalah hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang lemah dan riwayatnya tidak diterima jika bersendirian.

 

Definisi Hadith Munkar

Para ulama’ hadith telah memberikan beberapa definisi berkaitan hadith munkar, antaranya:

  • Pertama: Hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang kurang tahap kepercayaannya (ثقة) dan riwayatnya itu tidak diterima jika bersendirian. Ini adalah definisi yang dipilih oleh imam al-Baiquniy.
  • Kedua: Hadith yang diriwayatkan oleh seseorang yang dhaif bertentangan dengan riwayat perawi yang thiqah. Ini adalah pendapat yang rajih (kuat) sebagaimana yang dipilih oleh al-Hafiz ibn Hajar.

 

Sebab-Sebab Perawi Ditolak

Antara sebab-sebab seseorang perawi itu ditolak, boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

 

Pertama: Sebab-sebab yang menyebabkan celaan pada keadilan seorang perawi. Antaranya:

  • Dituduh menipu.
  • Fasiq (membuat dosa).
  • Melakukan bid’ah.

 

Kedua: Sebab-sebab yang menyebabkan celaan pada kedhabitan (hafalan dan tulisan) seorang perawi. Antaranya:

  • Melakukan kesalahan yang banyak ketika meriwayatkan hadith.
  • Tersalah dalam meriwayatkan hadith.
  • Bercanggah dengan riwayat perawi yang thiqah.

 

Contoh Hadith Munkar

Berikut adalah contoh hadith Munkar:

Telah berkata imam Abu Hatim bahawa hadith daripada jalur atau jalan Hubaib bin Habib, daripada Abi Ishak, daripada al-‘Aizar bin Huraith, daripada Ibn Abbas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ أَقَامَ الصَّلاَةَ، وَآتَى الزَّكَاةَ، وَحَجَّ البَيْتَ، وَصَامَ رَمَضَانَ، وَقَرَى الضَّيْفَ؛ دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, berpuasa di bulan Ramadhan, melayan tetamu akan masuk syurga”.

 

Telah berkata Abu Zur’ah, hadith ini adalah munkar. [Lihat: ‘Ilal al-Hadith, 359/5] Ini kerana, perawi lain yang thiqah (dipercayai)  meriwayatkan hadith ini selain daripada Hubaib melalui jalur atau jalan Ibn Abbas RA adalah mawquf.

Antara contoh lain, sebagaimana yang diriwayatkan oleh ibn Majah daripada riwayat Abi Zukair Yahya bin Muhammad bin Qais, daripada Hisyam bin ‘Urwah. daripada ayahnya, daripada Aisyah berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

كُلُوا الْبَلَحَ بِالتَّمْرِ، كُلُوا الْخَلَقَ بِالْجَدِيدِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَغْضَبُ

Maksudnya: “Makanlah dengan kurma yang belum masak dengan kurma yang masak, makanlah juga kurma yang lama dengan kurma yang baru, sesungguhnya syaitan akan marah”. [Riwayat Ibn Majah (3330)]

 

Telah berkata imam al-Nasa’ie bahawa hadith ini adalah munkar kerana Abu Zakaria bersendiri dalam meriwayatkan hadith ini dan riwayatnya tidak diterima jika bersendiri.

 

Hukum Hadith Munkar

Hadith Munkar adalah termasuk di dalam hadith yang ditolak atau tidak diterima. Tambahan pula, hadith Munkar tidak boleh sampai ke tahap hasan li ghairi (حسن لغيره).

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top