Visitors Hit

3849186 Views

 

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan Hadith Matruk?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Matruk adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan status sesebuah hadith samada ia diterima atau ditolak.

 

Definisi Hadith Matruk

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Matruk adalah seperti berikut:

مَتْرُوكُهُ مَا وَاحِدٌ بِهِ انْفَرَدْ * وَأَجْمَعُوا لِضَعْفِهِ فَهْوَ كَرَدّ

Maksudnya: “[Hadith Matruk] apa (hadith) yang diriwayatkan oleh seorang perawi secara menyendiri, dan telah bersepakat (ulama hadith) akan kedhaifannya maka ia (riwayatnya) tertolak”.

Hadith Matruk adalah salah satu daripada kategori hadith Dhaif tetapi ia ditahap yang tersangat lemah. Menurut bahasa matruk bererti yang ditinggalkan. Manakala, menurut istilah pula terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh para ulama’. Antaranya adalah yang disebut oleh Imam al-Baiquniy iaitu:

 

  • Pertama: “Hadith yang perawinya bersendiri dalam meriwayatkan hadith dan para ulama’ bersepakat akan kedhaifannya”.

 

  • Kedua: “Hadith yang di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang dituduh berdusta dan tidak diketahui jalur yang lain melainkan daripadanya sahaja”. Ini adalah definisi yang diberikan oleh Imam Ibn Hajar di dalam Nuzhah al-Nazhor.

 

  • Ketiga: “Hadith yang di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang dituduh berdusta walaupun ia tidak berdusta di dalam hadith, atau seorang yang terlalu fasiq, lalai dan banyak melakukan kesalahan dalam meriwayatkan hadith”. Ini definisi yang diberikan oleh Imam al-Suyuthi di dalam al-Fiyahnya.

 

Di dalam Tadrib al-Rawi, dinyatakan “apabila para ulama hadith mengatakan perawi ini seorang matruk al-hadith atau ragu-ragu (wahiyah) atau kazzab (penipu) maka dia (perawi) gugur dan tidak ditulis hadithnya”.

 

Sebab-Sebab Seorang Perawi Dituduh Berdusta

Terdapat dua sebab utama, iaitu:

  • Hadith tersebut hanya diriwayatkan daripada jalurnya sahaja dan hadith tersebut juga menyelisihi kaedah-kaedah yang yang sudah dimaklumi, iaitu kaedah-kaedah umum yang telah dihimpunkan oleh para ulama’ hadith.

 

  • Perawi tersebut dikenali sebagai seorang perawi yang suka berdusta dalam berkata-kata tetapi tidak diketahui akan kedustaannya dalam meriwayatkan hadith.

 

Hukum Hadith

Para ulama’ mengatakan hadith matruk hukumnya adalah teramat dhaif dan sebahagian para ulama’ hadith menamakannya sebagai hadith yang bathil atau al-wahi (الواهي).

 

Contoh Hadith Matruk

Antara contoh hadith Matruk adalah:

  • Hadith daripada Amr bin Syamr al-Ju’fiy, daripada Jabir, daripada Abi Thufail, daripada Ali dan Ammar RA, mereka berkata:

 

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَقْنُتُ فِيْ الفَجْرِ ، وَيُكَبِّرُ يَوْمَ عَرَفَةَ مِنْ صَلَاةِ الغَدَاةِ ، وَيَقْطَعُ صَلَاةَ العَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَشْرِيْقِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca qunut pada solat fajar, bertakbir pada hari Arafah dari solat subuh dan berhenti pada waktu solat asar pada hari terakhir daripada hari tasyrik”. [Lihat: Mizan al-‘Itidal, 3/268]

 

Imam al-Nasa’ie, al-Daraquthni dan para imam yang lain mengatakan bahawa Amr bin Syamr seorang yang Matruk al-Hadith iaitu hadithnya ditinggalkan.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam ilmu Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top