Visitors Hit

6403907 Views

 

 

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hadith Musnad?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Musnad adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan sanad sesebuah hadith samada ia bersambung atau tidak.

 

Definisi Hadith Musnad

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Musnad adalah seperti berikut:

 

والمُسْنَدُ المُتَّصِلُ الإِسْنَادِ مِنْ * رَاوِيْهِ حَتَّى المُصْطَفَى ولَمْ يَبِنْ

Maksudnya: “Dan [Musnad] adalah yang bersambung sanadnya daripada, perawinya sampai kepada al-Mustafa (Nabi SAW) tanpa terputus”.

 

Musnad bermaksud “yang disandarkan”, adapun pengertian atau definisi hadith Musnad adalah setiap hadith yang disandarkan kepada Nabi SAW tanpa terputus sanadnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Baiquniy.

 

Berdasarkan definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa terdapat dua syarat yang diperlukan untuk mengatakan bahawa hadith tersebut adalah hadith Musnad, iaitu:

 

  • Sanadnya bersambung dan tidak terputus.
  • Hadith tersebut hendaklah disandarkan kepada Nabi SAW.

 

Walaupun begitu, para ahli hadith telah berselisih pendapat dalam memberi definisi terhadap jenis hadith ini kepada beberapa definisi, antaranya:

 

  • Pertama: Pendapat al-Sam’aniy, al-Hakim dan juga Ibn Hajar:

“Setiap jalan atau jalur yang menyampaikan kita kepada Nabi SAW dalam keadaan bersambung”.

 

  • Kedua: Pendapat Ibn Abd al-Bar:

“Apa yang diangkat kepada Nabi SAW atau setiap hadith yang diriwayatkan dengan sanad kepada Nabi SAW adalah Musnad walaupun ia tidak bersambung”.

 

  • Ketiga: Pendapat Ibn Salah:

“Musnad adalah setiap jalur atau jalan yang menyampaikan kita kepada hadith itu Marfu’ atau Mawquf”.

 

Persoalan: Apakah perbezaan antara hadith Musnad dan juga hadith Marfu’?

Jawapan: Hadith Marfu’ tidak disyaratkan sanadnya bersambung, adapun hadith Musnah disyaratkan sanadnya bersambung.

 

Persoalan: Adakah semua hadith Musnad itu sahih?

Jawapan: Tidak, walaupun sanadnya bersambung tetapi sebahagian perawi yang berada di dalam sanad tersebut lemah atau tidak dikenali maka ia akan memberi kesan pada status hadith tersebut.

 

Contoh hadith Musnad

Antara contoh hadith Musnad adalah:

 

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا شَرِبَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf daripada Malik daripada Abu al-Zinad daripada al-A’raj daripada Abu Hurairah RA berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Jika anjing minum (menjilat) daripada bekas salah seorang daripada kalian, maka hendaklah dia mencucinya sebanyak tujuh kali”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 167]

 

Ini adalah hadith Musnad kerana sanadnya bersambung daripada Imam al-Bukhari sampai kepada Nabi SAW. Tambahan pula, hadith ini marfu’ kerana dihujung sanadnya adalah Nabi SAW yang akan dijelaskan pada irsyad al-Hadith yang akan datang.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

 

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top