Visitors Hit

7928557 Views

 

 

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan Sebab Wurud al-Hadith?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Definisi Asbab Wurud al-Hadith

Antara definisi yang diberikan oleh ulama’ terdahulu adalah:

 

  • Imam al-Bulqini pula berkata: “Sebab wurud al-Hadith adalah sebab hadith itu diucapkan oleh Rasulullah SAW dan ia hanya berlaku pada hadith-hadith berbentuk qauliyyah (perkataan) sahaja”. [Lihat: Mahasin al-Istilah, 365]

 

  • Imam Ibn Hamzah al-Husainiy pula berkata: “Sebab wurud al-Hadith adalah apa yang berlaku pada zaman Nabi SAW atau selepas daripadanya (zaman Nabi SAW) atau keduanya sekali”. [Lihat: al-Bayan wa al-Ta’rif fi Asbab Wurud al-Hadith al-Syarif, 1:34]

 

  • Imam al-Suyuthi berkata: “Sesuatu (berupa peristiwa-peristiwa atau pertanyaan-pertanyaan) yang terjadi pada waktu hadith itu disampaikan oleh Nabi SAW”. [Lihat: Asbab Wurud al-Hadith, 36]

 

Antara definisi yang diberikan oleh ulama’ kontemporari pula adalah:

 

  • Abu Syahbah berkata: “Ilmu asbab wurud al-Hadith sebagai satu ilmu yang membincangkan berkaitan sebab-sebab yang menyebabkan Rasulullah SAW melafazkankan hadith tersebut. Antara sebab-sebab ini adalah berbentuk soalan, cerita dan juga peristiwa yang berlaku lalu Rasulullah SAW mengucapkan hadith tersebut”. [Lihat: al-Wasit fi Ulum Wa Mustalah al-Hadith, 467]

 

  • Abu Laith juga berkata: “Asbab wurud al-Hadith adalah apa yang menjadi sebab hadith itu dilafazkan pada zaman berlakunya”. [Lihat: Ulum al-Hadith Asiluh wa Mu‘asiruh, 301]

 

  • Syeikh Sayyid Abd al-Majid al-Ghauri berkata: “Asbab wurud al-Hadith adalah hadith yang diucapkan oleh Rasulullah SAW pada waktu ia berlaku”. [Lihat: Mu’jam al-Mustholahat al-Hadithiyyah, 90]

 

Berdasarkan definisi ini, kita dapat simpulkan bahawa asbab wurud al-Hadith adalah ilmu yang membicarakan berkaitan sebab-sebab sesuatu hadith itu diucapkan atau diungkapkan oleh Rasulullah SAW samada ia berbentuk pertanyaan, penceritaan dan juga peristiwa atau hal keadaan mengapa hadith itu diucapkan.

 

Perbezaan Antara Asbab Wurud al-Hadith Dan Juga Asbab Irad al-Hadith

Asbab wurud al-Hadith adalah seperti apa yang telah diterangkan pada definisi iaitu ucapan tersebut daripada Rasulullah SAW. Manakala asbab irad al-Hadith (أسباب إيراد الحديث) adalah meletakkan atau mengucapkan sesuatu hadith pada keadaan atau peristiwa tertentu selepas daripada zaman Nabi SAW (setelah Nabi SAW wafat).

 

Perbezaan Antara Asbab Wurud al-Hadith Dan Asbab al-Nuzul (al-Qur’an)

Asbab wurud al-Hadith melibatkan sebab-sebab hadith Nabi SAW itu diucapkan, adapun asbab al-Nuzul pula melibatkan sebab-sebab ayat al-Qur’an itu diturunkan kepada Nabi SAW melalui perantaraan Jibril AS.

 

Faedah Mempelajari Ilmu Asbab Wurud al-Hadith

Antara faedah mengentahui atau mempelajari ilmu ini:

  • Menentukan pemgkhususan hadith yang bersifat umum.
  • Membatasi pengertian hadith yang masih bersifat mutlak
  • Memerincikan hadith-hadith yang masih bersifat mujmal.
  • Menentukan hadith Nasikh dan Mansukh.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam ilmu Sebab Wurud al-Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top