Visitors Hit

7490673 Views

 

Soalan: Mohon penjelasan tentang hadith larangan membuat halaqah dalam masjid pada hari Jumaat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang menceritakan berkaitan larangan membuat halaqah di dalam masjid pada hari Jumaat. Antaranya:

 

  • Daripada Abdullah bin Amr RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ التَّحَلُّقِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ قَبْلَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ فِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW melarang membuat halaqah pada hari Jumaat sebelum solat dan berjual beli di dalam masjid”. [Riwayat al-Nasa’ie (714)]

 

وَنَهَى عَنِ التَّحَلُّقِ قَبْلَ الصَّلَاةِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang membuat halaqah sebelum solat pada hari Jumaat”. [Riwayat Abu Daud (1079)] [Syeikh al-Arna’outh menghukum sanad bagi hadith ini sebagai hasan di dalam Sunan Abi Daud]

 

Maksud Hadith

Telah berkata al-Khattabi bahawa sesungguhnya yang dimakruhkan berhimpun sebelum solat bagi tujuan ilmu dan muzakarah adalah disebabkan pada waktu itu dituntut untuk menyibukkan diri dengan bersolat, diam untuk mendengar khutbah dan juga berzikir. Maka dengan itu, berhimpun dan melakukan halaqah perlulah dilakukan selepas daripada kesemua itu. Selain itu, Imam al-Thahawi berkata bahawa larangan membuat halaqah di dalam masjid sebelum solat jika meliputi masjid dan memenuhi ruang masjid maka ia adalah makruh. Jika selain daripada itu, maka ia tidak menjadi masalah. Imam al-Iraqi berkata pendapat ini dipegang oleh ashab kami dan ia juga merupakan pendapat jumhur bahawa perkara tersebut makruh kerana berkemungkinan ia memutuskan saf dan mereka dituntut untuk datang awal ke masjid pada hari Jumaat serta meluruskan dan memenuhkan saf yang di hadapan. [Lihat: Aun al-Ma’bud, 294/3]

 

Pendapat Kami

Di dalam isu ini, kami berpendapat bahawa larangan di dalam hadith ini adalah disebabkan perbuatan membuat halaqah di dalam masjid pada hari Jumaat akan menyebabkan saf-saf terputus serta mengganggu para jemaah yang hadir. Ini kerana, ia akan menyukarkan para jemaah yang hadir ke masjid untuk menunaikan solat dan melakukan perkara-perkara lain seperti berzikir, membaca al-Quran dan lain-lain lagi. Tambahan pula, kita juga dituntut untuk hadir awal ke masjid pada hari Jumaat. Walaupun begitu, isu memberi tazkirah sebelum daripada solat Jumaat di masjid-masjid adalah dibolehkan kerana jemaah yang hadir berada di dalam saf dan bukannya di dalam bentuk halaqah (bulatan). Untuk itu, isu terputusnya saf tidak lagi timbul. Ini juga berdasarkan amalan para salaf sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Hurairah RA yang dinyatakan di dalam al-Mustadrak oleh Imam al-Hakim bahawa beliau mengajar para sahabat RA sehinggalah imam keluar dan setelah itu barulah beliau duduk. [Lihat: al-Mustadrak, 585/3]. Selain Abu Hurairah, ramai lagi daripada kalangan para sahabat RA yang melakukan hal sedemikian seperti Ibn Umar, al-Saib bin Yazid dan Abdullah bin Busr. Diriwayatkan juga di dalam Mushannaf Ibn Abi Syaibah (5547) bahawa Muawiyah bin Qurrah meriwayatkan bahawa beliau sempat bersama 30 orang sahabat Nabi SAW dan mereka pada hari Jumaat mengajarkan ilmu.

 

Penutup

Kesimpulannya dibolehkan memberi tazkirah sebelum daripada solat Jumaat terutamanya apabila perkara tersebut dilakukan kerana ahli jemaah berhajat kepadanya agar berhimpunnya mereka itu dengan tujuan mempelajari ilmu. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta memberi kita taufik dan hidayah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Amin.

 

Wallahua’lam

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top