Visitors Hit

8445588 Views

 

 

Soalan: Apakah terdapat dalil berkaitan imam yang berpaling selepas solat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukan hal yang sedemikian selepas daripada solat.

 

  • Daripada Samurah bin Jundub RA berkata:

 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى صَلاَةً أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW apabila selesai menunaikan solat, Baginda SAW akan berpaling dengan wajahnya ke arah kami”. [Riwayat al-Bukhari (845)]

 

  • Daripada al-Barra’ RA berkata:

 

كُنَّا إِذَا صَلَّيْنَا خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَحْبَبْنَا أَنْ نَكُونَ عَنْ يَمِينِهِ، يُقْبِلُ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ

Maksudnya: “Adapun kami telah solat di belakang Rasulullah SAW, kami amat suka untuk berada di sebelah kanannya kerana Baginda SAW akan berpaling kepada kami dengan wajahnya”. [Riwayat Muslim (709)]

 

Imam al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan hadith Samurah ini zahirnya menunjukkan bahawa Nabi SAW melazimi hal tersebut. Dikatakan antara hikmah mengadap ke arah makmum adalah untuk mengajar mereka apa yang mereka perlukan kepadanya. Maka hal ini dikhususkan bagi sesiapa yang berada pada keadaan Rasulullah SAW iaitu bagi tujuan mengajar dan memberi peringatan. Selain itu, dikatakan lagi antara hikmahnya adalah agar orang yang berada di dalam masjid mengetahui bahawa solat telah selesai. Jika imam itu kekal dengan kedudukannya (mengadap ke arah kiblat) maka ini akan memberi gambaran (gambaran salah kepada makmum) seakan-akan dia (imam masih lagi di dalam solat) berada di dalam kedudukan tasyahhud. [Lihat: Fath al-Bari, 334/2]

 

Nabi SAW apabila selesai daripada solat lalu Baginda SAW akan duduk selepas daripada itu. Di samping itu, Baginda SAW menyegerakan berpaling daripadanya dan membaca apa yang telah syariatkan kepada umatnya daripada zikir-zikir dan bacaan selepas daripada solat. Nabi SAW membaca istighfar sebanyak tiga kali apabila selesai daripada memberi salam. Setelah itu Baginda SAW membaca:

 

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ، وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau sejahtera (daripada segala keaiban) dan daripada Engkau datangnya kesejahteraan, bertambah-tambah berkat-Mu, Tuhan Yang  Maha Kuasa lagi Maha Mulia”.

 

Baginda SAW tidak akan duduk secara mengadap kiblat melainkan dengan kadar yang disebutkan iaitu kadar zikir di atas. Bahkan Baginda SAW akan segera berpaling kepada makmum dan kadang-kadang Baginda SAW akan berpaling ke kanan dan juga ke kiri Baginda SAW. [Lihat: Zad al-Ma’ad, 285/1]

 

Untuk itu, kami katakan bahawa disunatkan bagi seorang imam itu untuk berpaling kepada makmumnya samada ke kanan, kiri atau mengadap kepada muka-muka makmumnya selepas daripada membaca sebahagian zikir sejurus selepas daripada solat.

 

Tambahan pula, dinyatakan di dalam kitab al-Muktamad bahawa perkara ini penting untuk dilakukan terutamanya pada solat fardhu kerana dibimbangi datang seseorang lalu duduk bersama imam kerana menyangka imam masih lagi di dalam solat. Untuk itu, hal ini akan tercapai apabila imam memalingkan wajahnya ke arah makmum atau dengan berpalingnya imam dan juga berpalingnya seseorang itu daripada kiblat. [Lihat: al-Muktamad fi Fiqh al-Syafie, 316/1]

Penutup

Kesimpulannya, bagi imam perlulah dia berpaling selepas daripada solat kerana ia merupakan satu perkara yang sunat dan Nabi SAW sentiasa melaziminya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kefahaman dalam beramal dengan sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Amin.

 

Wallahua’lam

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top