Visitors Hit

8445969 Views

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Ibadah korban merupakan salah satu daripada syiar-syiar Islam yang perlu dihidupkan oleh setiap umat Islam. Tambahan pula, korban merupakan sunat kifayah yang mana apabila salah seorang daripada ahli keluarga melaksanakannya maka kesemua keluarga tersebut mendapat pahala sunat korban. [Lihat: al-Muktamad, 2/478]. Untuk itu, di sana terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan akan kelebihan berkorban ini. Antaranya:

 

  • Daripada Imran RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

يَا فَاطِمَةُ قَوْمِي فَاشْهَدَيِ أُضْحِيَّتَكِ، فَإِنَّهُ يُغْفَرُ لَكِ بِكُلِّ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا كُلُّ ذَنْبٍ عَمِلْتِيهِ، وَقُولِي: إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ، فَقَالَ عِمْرَانُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَكَ وَلِأَهْلِ بَيْتِكَ خَاصَّةً، فَأَهْلُ ذَلِكَ أَنْتُمْ، أَمْ لِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً

Maksudnya: “Wahai Fatimah, bangunlah dan lihatlah korbanmu. Sesungguhnya ia mengampunkanmu kerana setiap titis daripada darahnya mewakili setiap dosa yang telah kamu lakukan. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal (berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” Maka telah berkata Imran: “Wahai Rasulullah, ini khusus hanya untuk kamu dan ahli keluarga kamu, kerana ahli dalam perkara ini adalah kamu (keluarga Rasulullah SAW) atau ia untuk umat Islam keseluruhannya?.” Rasulullah SAW menjawab: “Bahkan, ia untuk umat Islam keseluruhannya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Awsath (2509)][Hadith ini dihukum dhaif oleh Ibn Mulaqqin]

 

Makna Hadith

Berdasarkan hadith di atas, kita dapat memahami bahawa antara kelebihan orang yang melaksanakan ibadah korban adalah dosanya akan diampunkan oleh Allah SWT sehingga diumpamakan dosa dengan setiap titis darah yang keluar daripada binatang korban tersebut. Di samping itu juga, hadith ini memberi isyarat bahawa sunat bagi seseorang yang melakukan korban untuk melihat sembelihannya. Akan tetapi, jika dia mampu untuk menyembelihnya dengan sendiri itu adalah lebih baik kerana terdapat hadith yang mengisyaratkan sedemikian sebagaimana hadith di atas dan ia juga diriwayatkan oleh Abi Said al-Khudri. [Lihat: al-Muktamad, 2/488]

 

Penutup

Kesimpulannya, kita digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban bagi sesiapa yang berkemampuan kerana ia merupakan salah satu daripada syiar agama yang mulia ini. Di samping itu, kita juga perlulah mempelajari sedikit sebanyak berkaitan perkara-perkara yang perlu dilakukan sebagai langkah persediaan. Semoga Allah SWT memurahkan rezeki kita agar kita dapat melaksanakan ibadah korban ini pada setiap kali tiba hari raya Aidiladha. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top