Visitors Hit

7511211 Views

 

Soalan:

Mohon pencerahan dan penjelasan berkenaan dengan hadis daripada Abu Umamah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

“Siapa yang pergi ke masjid yang ia inginkan hanyalah untuk belajar kebaikan atau mengajarkan kebaikan, ia akan mendapatkan pahala haji yang sempurna hajinya.” (HR. Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir)

 Adakah dimaksudkan Nabi termasuk juga mendengar khutbah Jumaat?

Jawapan:

Kami dapati lafaz hadis yang dinyatakan adalah masyhur. Antaranya seperti berikut:

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ , عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يرِيدُ إِلَّا أَنْ يَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يُعَلِّمَهُ كَانَ لَهُ كَأَجْرِ حَاجٍّ تَامٍّ حَجُّهُ»

Maksudnya: Siapa yang pergi ke masjid yang ia inginkan hanyalah untuk belajar kebaikan atau mengajarkan kebaikan, ia akan mendapatkan pahala haji yang sempurna hajinya.”

Takhrij Hadis

Kami dapati hadis ini diriwayatkan oleh:

  • Al-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir, no. 7473.
  • Al-Jurjani dalam Tartib al-Amali, 2/74.
  • Al-Asfahani dalam Hilyah al-Auliya’, 6/97.
  • Begitu juga riwayat al-Hakim (no. 311) dan beliau mensahihkannya. Beliau berkata, “Hadis ini dihujahkan oleh Imam al-Bukhari dengan Thaur bin Yazid.” Ia dipersetujui Imam al-Zahabi.
  • Ibn Asakir, 16/456.
  • Hadis ini juga dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam syawahid.
  • Syaikh Al-Albani dalam Shahih At-Targhib wa At-Tarhib, no. 86 menyatakan bahwa hadits ini hasan shahih

Syarah Hadis

Hadis ini secara zahirnya menunjukkan pergi ke masjid untuk pergi mencari dan mempelajari kebaikan atau mengajarnya. Ini bermakna, pergi ke masjid untuk mendapatkan ilmu serta mengamalkannya. Justeru, Imam al-Sindi berkata dalam syarahnya, “Kalam ini bermaksud bukan dia datang untuk solat. Jika tidak, maka datang untuk solat adalah asal yang dituntut untuk ke masjid. Ia seperti mujahid yang berjihad di mana ada kesamaan dengan menuntut ilmu. Ini kerana kedua-duanya dalam mencari keredhaan Allah untuk menghidupkan agama, menghina syaitan, berpenat lelah serta memecahkan kelazatan hidup semata-mata untuk mencapai matlamat tersebut iaitu meraih keredhaan Allah.”

Justeru, kami katakan bahawa mendengar khutbah Jumaat juga termasuk. Tetapi, yang lebih utama lagi adalah mencari ilmu di masjid melalui halaqah ilmu atau majlisnya untuk diamalkannya. Ini kerana, ditempat kita khutbah lebih bersifat pemberitahuan serta galakan untuk beramal dan menjauhkan daripada larangan. Ia bersifat mau’izah dan ghalibnya waktu khutbah adalah terbatas dan maklumat adalah terhad pada setiap minggu dengan pelbagai isu.

Semoga jawapan ini memberi kefahaman kepada kita, Amin.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top