Visitors Hit

8912195 Views

 

 

Soalan: Siapakah Yahya bin Ma’in?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menceritakan secara ringkas berkaitan seorang lagi tokoh hebat dalam bidang hadith dan nama beliau ini tidak asing lagi dalam kalangan penuntut ilmu hadith. Nama beliau ialah Yahya bin Ma’in bin ‘Aun bin Ziyad bin Bisthom dan kunniyyah beliau ialah Abu Zakariyya al-Murriy. Dilahirkan pada tahun 158 Hijrah.

 

  • Telah berkata Ali bin al-Madini:

“Aku tidak mengetahui seseorang yang menulis hadith sepertimana Yahya bin Ma’in (menulis hadith). Ayahnya Ma’in telah meninggalkannya seratus lima puluh ribu dirham. Namun, beliau telah menginfaqkan keseluruhannya pada hadith (ilmu) sehinggakan tidak ada yang tinggal baginya termasuklah selipar untuk dipakainya.” [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 157/2]

 

Guru-Guru Beliau

Beliau telah mendengar hadith daripada Ibn al-Mubarak, Husyaim, Ismail bin ‘Iyash, Abbad bin Abbad, Yahya bin Zakariyya bin Abi Zaidah, Mu’ta,ir bin Sulaiman, Sufyan bin Uyainah, Abi Mu’awiyah, Hatim bin Ismail, Abd al-Razzaq, Waqi’, Yahya al-Qaththan, Ibn Mahdi dan ramai lagi daripada al-Iraq, al-Hijaz, al-Jazirah, al-Syam dan Mesir. [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 72/11]

 

Murid-Murid Beliau

Antara yang mendengar hadith daripada beliau ialah Ahmad bin Hanbal, Muhammad bin Sa’ad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Annas al-Duri, Uthman bin Said al-Darimi, Abu Zur’ah, Abu Hatim, Muhammad bin Uthman bin Abi Syaibah, Abu Zur’ah al-Nashriy, Abu Ya’la al-Mushiliy dan ramai lagi. [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 72-73/11]

 

Pujian Kepada Beliau

Berikut adalah di antara pujian-pujian kepada Yahya bin Ma’in:

 

  • Kata Abd al-Rahman bin Abi Hatim:

“Ayahku ditanya berkenaan Yahya bin Ma’in? Beliau menjawab: Beliau ialah seorang imam.”

 

  • Kata al-Nasa’ie:

“Abu Zakariyya adalah salah seorang imam di dalam hadith, thiqah (diperayai) dan amanah.”

 

  • Kata Ahmad bin Hanbal:

“Setiap hadith yang tidak diketahui oleh Yahya bin Ma’in maka itu bukanlah hadith.”

 

  • Kata Ahmad bin Hanbal lagi:

“Mendengar (hadith) daripada Yahya bin Ma’in adalah penawar bagi hati.”

 

  • Kata Ahmad bin Uqbah:

“Aku telah bertanya Yahya bin Ma’in. Berapa buah hadith telah kamu tulis? Beliau menjawab: Aku telah menulis dengan tanganku ini 600 ratus ribu buah hadith.”

 

  • Kata Abu Hatim al-Razi:

“Jika kamu melihat seorang yang berasal dari al-Bagdad kasih kepada Ahmad bin Hanbal maka ketahuilah bahawa dia seorang yang suka kepada sunnah. Jika kamu melihat seseorang itu benci kepada Yahya bin Ma’in, maka ketahuilah dia seorang pendusta.”

 

Kewafatan Beliau

Para ulama’ bersepakat bahawa beliau wafat di Madinah Rasulullah SAW dan dimandikan di atas katil yang dimandikan Rasulullah. Lalu jenazahnya dibawa dengan menggunakan katil yang dibawa jenazah Rasulullah. Ketika itu, dikatakan: “Ini adalah jenazah Yahya bin Ma’in, pembela daripada pendustaan ke atas Rasulullah SAW.” Orang ramai menangis dan manusia yang berkumpul pada jenazahnya tidak boleh dihitung bilangannya. Beliau dikebumikan di perkuburan al-Baqi’.

 

  • Telah berkata Ibrahim bin al-Munzir:

“Seorang lelaki telah bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan juga sahabat-sahabat Baginda SAW dalam keadaan sedang berkumpul. Maka lelaki ini berkata: Mengapa kamu semua berkumpul? Nabi SAW menjawab: Aku datang disebabkan lelaki ini (iaitu Yahya bin Ma’in) dan aku ingin solat ke atasnya (solat jenazah). Ini kerana, beliau telah membela segala pendustaan terhadap ucapanku.” [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 157-158/2]

 

  • Telah berkata al-Bukhari:

“Yahya bin Ma’in telah wafat di Madinah pada tahun 233 Hijrah dan umurnya pada ketika itu adalah 77 tahun kurang 10 hari.” [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 159/2]

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam mengenali salah seorang ilmuan atau tokoh dalam ilmu hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top