Visitors Hit

4986538 Views

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan Hadith Syaz?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Syaz adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang lemah atau dhaif.

 

Definisi Hadith Syaz

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan Hadith Syaz adalah seperti berikut:

 

وَمَا يُخَالِفُ ثِقَةٌ بِهِ المَلَا * فَالشَّاذُّ

Maksudnya: “Dan (hadith thiqah) apa yang bertentangan dengan yang lebih thiqah (dipercayai), Dinamakan [Hadith Syaz]”.

 

Syaz dari sudut bahasa adalah bersendiri (الإنفراد). Adapun dari sudut istilah, para ulama’ telah berselisih pendapat dalam menentukan maknanya, antaranya adalah:

 

Pertama: Hadith Syaz adalah hadith yang thiqah (boleh dipercayai) yang mana riwayatnya itu bertentangan dengan riwayat orang yang lebih thiqah daripadanya. Ini adalah definisi yang dipilih oleh Imam al-Baiquniy.

 

Berdasarkan definisi ini, terdapat dua ciri yang perlu ada bagi menentukan ia adalah hadith yang syaz. Dua ciri tersebut adalah:

 

  • Bertentangan
  • Riwayat adalah thiqah (boleh dipercayai)

 

Kedua: Riwayatnya orang yang thiqah dalam keadaannya bersendiri (تفرد). Ini merupakan definisi yang dipilih oleh Imam al-Hakim.

 

Ketiga: Riwayat seorang perawi yang bersendiri samada dia seorang yang thiqah ataupun tidak. Ini adalah definisi yang dipilih oleh al-Khalili. Beliau berkata:

 

“Apa yang dipegang atau dipilih oleh para huffaz al-Hadith bahawa Hadith Syaz adalah hadith yang tidak mempunyai melainkan satu sanad sahaja. Dengan itu, ia menjadi Syaz samada ia daripada guru (perawi) yang thiqah atau sebaliknya. Jika ia daripada seorang tidak thiqah maka ia dikira sebagai hadith Matruk dan ia tidak diterima. Adapun jika ia datang daripada perawi yang tidak thiqah maka hukumnya adalah tawaqquf padanya dan ia tidak boleh dijadikan hujjah”.

 

Hukum Hadith Syaz

Hukum hadith Syaz adalah dhaif dan tidak boleh sampai ke tahap hasan lighairihi (حسن لغيره).

 

Contoh Hadith Syaz

Berikut adalah contoh Hadith Syaz pada sanad dan matan:

 

Antara contoh Hadith Syaz pada sanad adalah:

 

Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata:

 

أَنَّ رَجُلًا مَاتَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَدَعْ وَارِثًا إِلَّا عَبْدًا هُوَ أَعْتَقَهُ فَأَعْطَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِيرَاثَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya ada seorang lelaki yang meninggal di zaman Rasulullah SAW dan dia tidak meninggalkan ahli waris kecuali seorang hamba yang dia pernah merdekakan. Maka Rasulullah SAW memberikan semua harta warisan lelaki tersebut kepada hambanya itu”. [Riwayat al-Tirmizi (2106)]

 

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah daripada jalur Sufyan bin Uyainah. Manakala Imam al-Nasa’ie meriwayatkan hadith ini daripada jalur Ibn Juraij. Kedua perawi ini (Sufiyan dan Ibn Juraij) meriwayatkan hadith ini daripada jalur Amr bin Dinar, daripada Aujasah, daripada Ibn Abbas RA. Telah bersepakat kesemua perawi daripada Sufyan dan Ibn Juraij dengan meriwayatkan hadith ini secara muttasil (bersambung) dan marfu’ (bersambung kepada Nabi SAW). Akan tetapi, Hammad bin Zaid meriwayatkan hadith ini secara Mursal iaitu dengan mengatakan:

 

Daripada Amr Dinar, daripada Aujasah berkata: “Sesungguhnya ada seorang lelaki ...”.

 

Berdasarkan riwayat Hammad ini tidak disebut Ibn Abbas dan ini telah bercanggah dengan perawi-perawi thiqah yang lain iaitu dengan meriwayatkan secara Muttasil. Adapun Hammad meriwayatkan hadith ini secara Mursal. Dengan itu, riwayat Hammad ini dinilai Syaz kerana ia bercanggah dengan riwayat perawi-perawi lain yang thiqah.

 

Antara contoh Hadith Syaz pada matan:

 

  • Daripada al-Mughirah bin Syu’bah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَنَّهُ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia (Rasulullah SAW) mengambil wudhu’ lalu menyapu di atas kedua khufnya”. [Riwayat al-Nasa’ie, 118]

 

Hadith ini diriwayatkan oleh sekumpulan sahabat dengan lafaz ini daripada jalur al-Mughirah. Antara yang meriwayatkan hadith ini adalah Urwah, Hamzah, Masruq, al-Zuhri dan sebahagian lagi daripada kalangan sahabat dengan lafaz ini. Akan tetapi terdapat seorang perawi bernama Huzail bin Syurahbil meriwayatkan hadith ini daripada al-Mughirah dengan lafaz yang berbeza daripada perawi-perawi yang lain. Beliau meriwayatkan hadith ini dengan lafaz:

 

أَنَّهُ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia (Rasulullah SAW) mengambil wudhu’ lalu menyapu di atas kedua stoking dan selipar (baginda SAW)”.

 

Dengan itu, riwayat daripada Huzail dihukum sebagai Syaz kerana bertentangan dengan riwayat perawi-perawi yang lain.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

 

Wallahua’lam

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top