Visitors Hit

2670337 Views

 

Soalan: Apakah sahih dengan membaca ayat al-Kursi akan ditarik lembut nyawanya ketika sakaratul maut?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak menemui hadith yang sahih berkaitan kelebihan yang dinyatakan seperti di atas. Walaupun begitu, terdapat juga kelebihan lain bagi sesiapa yang membaca atau mengamalkan ayat al-Kursi ini sebagaimana yang disebut di dalam hadith. Antaranya:

 

  • Daripada Abi Umamah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati”. [Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (7532)] [Riwayat al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (9848)][Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban]

 

Komentar Berkaitan Hukum Hadith

Antara pendapat ulama’ berkaitan hadith ini adalah:

 

وَقَدْ رُوِيَ هَذَا الْحَدِيثُ مِنْ حَدِيثِ أبي أمامة، وَعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ، وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، وَالْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ، وَجَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، وَأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، وَفِيهَا كُلِّهَا ضَعْفٌ، وَلَكِنْ إِذَا انْضَمَّ بَعْضُهَا إِلَى بَعْضٍ مَعَ تَبَايُنِ طُرُقِهَا وَاخْتِلَافِ مَخَارِجِهَا، دَلَّتْ عَلَى أَنَّ الْحَدِيثَ لَهُ أَصْلٌ وَلَيْسَ بِمَوْضُوعٍ

Maksudnya: “Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan hadith ini diriwayatkan oleh Abi Umamah, Ali bin Abi Thalib, Abdullah bin Umar, al-Mughirah bin Syu’bah, Jabir bin Abdillah dan Anas bin Malik. Padanya kesemuanya (riwayat-riwayat tersebut )terdapat keleMahan. Akan tetapi, jika dihimpunkan kesemua riwayat-riwayat ini dengan menjelaskan jalur-jalur dan perbezaan asal setiap satu daripadanya. Ini telah menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal dan ia bukanlah hadith yang palsu”. [Lihat: Zad al-Ma’ad, 294/1]

 

Persoalan

Mengapakah ayat al-Kursi ini begitu istimewa?

 

Jawapan: Bagi menjawab persoalan di atas, kami datangkan jawapan yang diberikan oleh Imam al-San’ani ?

 

وَاخْتَصَّتْ آيَةُ الْكُرْسِيِّ بِذَلِكَ لِمَا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ مِنْ أُصُولِ الْأَسْمَاءِ وَالصِّفَاتِ الْإِلَهِيَّةِ، وَبِالْوَحْدَانِيَّةِ، وَالْحَيَاةِ، وَالْقَيُّومِيَّةِ، وَالْعِلْمِ، وَالْمُلْكِ، وَالْقُدْرَةِ، وَالْإِرَادَةِ

Maksudnya: “Kelebihan ayat ini Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak)”. [Lihat: Subul al-Salam, 297/1]

 

Penutup

Kesimpulannya, membaca ayat al-Kursi mempunyai kelebihannya yang tersendiri sebagaimana yang disebut di dalam hadith Abi Umamah di atas iaitu kita disunatkan membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas menunaikan solat fardhu berdasarkan nas atau hadith di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dan kekuatan dalam mengamalkan sunnah-sunnah Nabi SAW dalam kehidupan seharian kita. Amin.

 

Wallhua’lam

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top