Visitors Hit

8478231 Views

 

 

Soalan: Adakah sahih kisah pemuda dan anjing?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Bagi menjawab persoalan di atas, kisah ini memang ada disebutkan di dalam hadith Nabi SAW. Antara karya atau kitab yang meriwayatkan kisah ini adalah daripada dua kitab agung yang disepakati akan kesahihan oleh umat Islam iaitu sahih al-Bukhari dan sahih Muslim.

 

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Allah SWT:

 

بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي، فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ العَطَشُ، فَنَزَلَ بِئْرًا، فَشَرِبَ مِنْهَا، ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ العَطَشِ، فَقَالَ: لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي، فَمَلَأَ خُفَّهُ، ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ، ثُمَّ رَقِيَ، فَسَقَى الكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ، فَغَفَرَ لَهُ "، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنَّ لَنَا فِي البَهَائِمِ أَجْرًا؟ قَالَ: فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Maksudnya: “Terdapat seorang lelaki sedang berjalan lalu dia berasa haus maka dia turun ke sebuah perigi dan minum daripadanya. Apabila dia keluar, terdapat seekor anjing yang sedang mengeluarkan lidahnya lalu menjilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: Anjing ini kehausan sepertimana aku alami sebentar tadi. Disebabkan itu, dia memenuhkan kasutnya dengan air dan dia memegang kasutnya (yang diisi dengan air) dengan mulutnya. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan itu, dia bersyukur kepada Allah SWT maka Allah SWT mengampuninya”. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?”. Rasulullah SAW bersabda: “(Berbuat baik) Setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala”. [Riwayat al-Bukhari (2363)]

 

Di dalam sahih Muslim, terdapat sebuah hadith yang menceritakan kisah seorang wanita yang melakukan dosa besar telah diampunkan oleh Allah SWT akibat daripada perbuatannya memberi minum seekor anjing yang kehausan.

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ، قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ، فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا

Maksudnya: “Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum maka telah diampunkan dosanya”. [Riwayat Muslim (2245)]

 

Pengajaran Daripada Kisah Ini

Berdasarkan kepada dua kisah di atas, kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan. Ini kerana, Islam merupakan agama yang rahmat iaitu memberi rahmat kepada seluruh alam termasuklah haiwan dan tumbuhan. Selain itu juga, apabila kita ingin melakukan penyembelihan, kita disunatkan mengasah pisau yang ingin digunakan agar haiwan tersebut tidak merasa sakit. Hadith tersebut adalah:

 

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan kita bersikap baik terhadap setiap sesuatu. Apabila kamu membunuh maka bunuhlah dengan baik. Jika kamu menyembelih maka sembelihlah dengan baik. Hendaklah setiap daripada kamu menajamkan pisaunya kerana ia lebih menyenangkan dan mengurangkan haiwan sembelihan tersebut”. [Riwayat Muslim (1955)]

 

Penutup

Kesimpulannya, kita perlulah berlaku baik kepada haiwan dalam apa jua keadaan sekalipun selagimana ia tidak mengancam nyawa kita. Ini kerana, berbuat baik kepada haiwan adalah salah satu tuntutan daripada agama ini kerana Islam adalah agama yang menitikberatkan soal hubungan sesame manusia dan juga sesame makhluk yang lain seperti haiwan dan tumbuhan. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita akhlak yang terpuji serta memberi kita ganjaran di atas setiap yang kita lakukan. Amin.

 

Wallahua’lam

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top