Visitors Hit

5779631 Views

 

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

Matan Hadith

Matan hadith yang dimaksudkan adalah:

 

  • Daripada Sahl bin Sa’ad bahawa Nabi SAW bersabda:

 

نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ

Maksudnya: “Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalannya”. [Riwayat al-Thabarani (5942) dalam al -Mu’jam al-Kabir, 185/6]

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menerangkan berkaitan status dan makna hadith di atas. Niat merupakan perkara yang penting kerana ia akan menentukan halatuju perbuatan kita. Ini kerana, niat tidak dapat dipisahkan daripada setiap perbuatan kita. Berdasarkan sebuah hadith yang masyhur dan sering diungkapkan:

 

  • Daripada Umar bin al-Khattab RA, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”. [Riwayat al-Bukhari (1)].

 

Berdasarkan hadith ini, kita maklum bahawa niat merupakan perkara yang amat penting kerana ia yang akan menentukan tujuan amalan tersebut.

 

Definisi Niat

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. [Lihat: al-Mu’jam al-Wasith, 1021] Manakala menurut dewan bahasa dan pustaka pula, niat adalah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. [Lihat: Kemus Dewan Edisi Keempat, 1080]

 

Menurut Istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan:

  • Telah berkata Imam al-Nawawi:

النِّيَّةُ عَزْمُ الْقَلْبِ عَلَى عَمَلِ فَرْضٍ أَوْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Niat adalah keazaman (tekad) di dalam hati di atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya (wajib)”. [Lihat: al-Majmu’, 310/1]

 

  • Telah berkata Ibn Abidin:

قَصْدُ الطَّاعَةِ وَالتَّقَرُّبِ إلَى اللَّهِ تَعَالَى فِي إيجَاد الْفِعْلِ

Maksudnya: “Niat adalah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan perbuatan”. [Lihat: Rad al-Mukhtar, 105/1]

 

Berdasarkan definisi di atas, kami berpendapat bahawa niat adalah lintasan hati dalam ketika ingin melakukan sesuatu perkara. Antara faedah atau fungsi niat adalah:

 

Pertama: Membezakan ibadah daripada ibadah-ibadah yang lain. Contohnya antara puasa yang wajib dengan puasa yang sunat.

 

Kedua: Membezakan ibadah daripada adat. Contohnya, seseorang itu mandi dan diniatkan bahawa ia adalah mandi janabah maka mandi tersebut akan mendapat pahala. Jika seseorang itu mandi untuk menghilangkan kepanasan maka tidak akan mendapat pahala kerana mandiannya itu bukanlah berbentuk ibadah. Daripada inilah, para ulama’ mengeluarkan satu kaedah iaitu:

الأَمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara itu berdasarkan (dinilai) tujuan-tujuannya”.

 

Hukum Hadith

Antara pendapat ulama’ dalam menilai hadith ini adalah:

 

  • Imam al-Haithami berkata bahawa perawi-perawinya dipercayai melainkan Hatim bin Abbad kerana aku tidak pernah melihat sesiapa yang menyebut berkenaan biodatanya. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 61/1]

 

  • Imam al-Iraqi menilai hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: al-Mughni fi Haml al-Asfar, 1171/2]

 

  • Imam Ibn Hajar al-Asqalani juga menilai hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: Fath al-Bari, 219/4]

 

  • Syeikh Mulla Ali Qari mengatakan hadith ini adalah tiada asal baginya (hadith tersebut) atau pada asalnya palsu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 375/1]

 

Setelah melihat penilaian serta pendapat para ulama’ di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith di atas adalah dhaif. Walaupun begitu, terdapat sebahagian ulama’ yang melihat bahawa hadith ini adalah hasan dengan syawahid yang terdapat padanya. Antara yang mengatakan sedemikian adalah Imam al-Sakhawi di dalam al-Maqasid al-Hasanah.

 

Fiqh al-Hadith

Terdapat beberapa fiqh al-Hadith yang boleh dikeluarkan daripada hadith ini:

 

  • Niat memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan halatuju atau tujuan bagi setiap amalan kita.

 

  • Niat yang betul bagi seorang mukmin itu amat penting dalam melaksanakan sesuatu perkara agar setiap yang dilakukan itu mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

 

  • Kadang-kandang amalan kita juga boleh berlaku riak, ujub dan sifat-sifat dicela yang lain. Untuk itu, kita harus berjaga-jaga dengan setiap amalan kita agar terhindar daripada sifat-sifat yang dicela tersebut.

 

  • Niat juga menjadi kayu ukur bagi penerimaan sesuatu amalan.

 

Seruan Melakukan Amalan Soleh

Antara ayat al-Qur’an yang menyeru kita agar sentiasa melakukan amal soleh adalah:

 

  • Firman Allah SWT:

 

فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Maksudnya: “Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia menyekutukan sesiapa pun dalam ibadah kepada Tuhannya”. [al-Kahfi:110]

 

Di dalam ayat ini, Allah SWT menyeru kita agar melakukan amalan yang soleh jika ingin bertemu dengan Allah SWT di hari Akhirat kelak. Untuk itu, para mufassir atau ahli tafsir mengatakan yang dimaksudkan dengan amalan di situ adalah amalan yang tidak dicemari dengan sifat riyak iaitu menunjuk-nunjuk. Antaranya Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya mendatangkan beberapa hadith ketika menafsirkan makna amalan soleh ini, antaranya:

 

  • Daripada Jundub RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ سَمَّعَ سَمَّعَ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ يُرَائِي يُرَائِي اللَّهُ بِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang beramal kerana sum’ah (membuat sesuatu agar orang mendengarnya) maka Allah SWT akan menjadikannya (amalan) sebagai sum’ah dan barangsiapa yang beramal kerana riyak (membuat sesuatu amalan agar orang bercakap mengenainya) maka Allah SWT menjadikannya (amalan) sebagai riyak”. [Riwayat al-Bukhari (6499)]

 

Berdasarkan penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa kita perlu menjauhi amalan kita daripada sikap atau sifat riyak, sum’ah, ujub dan lain-lain lagi. Di samping itu, niat seseorang itu perlulah ikhlas kerana Allah SWT agar amalan tersebut diterima oleh Allah SWT dan diletakkan amalan tersebut pada timbangan atau neraca kebaikan di Akhirat kelak.

 

Kepentingan Ikhlas

Sifat atau niat yang ikhlas kepada Allah SWT adalah amat penting dalam setiap perbuatan dan tingkah laku kita. Ikhlas dari sudut bahasa adalah menyucikan sesuatu. Manakala menurut istilah pula adalah menyucikan amalan dengan niat yang betul iaitu kerana Allah SWT serta menghalang atau menjauhkan amalan tersebut daripada sifat menyekutukan Allah SWT (syirik). Disebabkan itu, Allah SWT berfirman di dalam al-Qur’an bagi menjelaskan akan kepentingan ikhlas ini.

 

  • Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya”. [al-Baniyyah:5]

 

Imam al-Qurthubi menafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu:

 

  • Firman Allah SWT:

قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”. [al-Zumar:11]

 

Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 144/20]

 

Penutup

Kesimpulannya, niat merupakan asas atau kayu ukur bagi sesuatu amalan yang dilakukan dan niat itu perlulah diniatkan hanya kepada Allah SWT. Tambahan pula, niat juga yang akan menentukan sesuatu amalan itu diterima atau ditolak oleh Allah SWT. Kami akhiri perbincangan ini dengan sebuah hadith yang sahih:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW:

 

إِنَّ اللَّهَ لا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu”. [Riwayat Muslim (2564)]

 

Semoga Allah SWT menyucikan niat dan amalan kita daripada sifat-sifat yang boleh menyebabkan amalan tertolak serta menjauhkan kita daripada sifat riyak, ujub, sum’ah dan lain-lain lagi. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top