Visitors Hit

5130906 Views

 

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hadith mursal?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Mursal adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith lemah atau dhaif yang melibatkan sanad dalam sesebuah hadith.

 

Definisi Hadith Mursal

Terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh para ulama’ berkaitan hadith Mursal ini:

 

Pertama: Hadith Mursal adalah hadith yang gugur daripada sanadnya sahabat. Definisi inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya:

 

وَمُرْسَلٌ مِنْهُ الصَّحَابِيُّ سَقَطَ

Maksudnya: “ Dan [Hadith Mursal] adalah (hadith) pada sanadnya gugurnya (tiada) sahabat”.

 

Kedua: Apa (hadith) yang diriwayatkan oleh Tabi’in terus kepada Nabi SAW. Definisi ini meletakan syarat bahawa hadith Mursal adalah melalui riwayat tabi’in yang terus diriwayatkan kepada Nabi SAW tanpa melalui sahabat. Ini kerana, jika yang meriwayat terus kepada Nabi SAW bukan daripada kalangan tabi’in maka riwayat tersebut tidak dinamakan Mursal bahkan ia dinamakan Munqathi’ sebagaimana yang kami telah jelaskan sebelum daripada ini.

 

Ketiga: Apa (hadith) yang diriwayatkan oleh Tabi’in yang besar terus kepada Nabi SAW. Definisi ini telah  mengeluarkan tabi’in yang kecil seperti Said bin Jubair, Salim bin Abdillah dan lain-lain lagi. Antara contoh tabi’in yang besar ialah seperti Said ibn al-Musayyib tetapi definisi ini tidak masyhur sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Salah bahawa tabi’in kesemuanya sama.

 

Keempat: Mursal adalah hadith yang pada sanadnya terputus walaupun ia terputus sebelum daripada tabi’in.

 

Setelah melihat kepada beberapa definisi di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith Mursal adalah hadith yang pada sanadnya tidak dinyatakan (gugur) sahabat iaitu riwayat tabi’in (samada tabi’in itu besar atau kecil) terus kepada Nabi SAW seperti Said ibn al-Musayyib berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda. Kita ketahui bahawa Said ibn al-Musayyib adalah seorang tabi’in yang tidak bertemu secara terus dengan Rasulullah SAW.

 

Hukum Hadith Mursal

Para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan hukum hadith Mursal ini kepada beberapa pendapat:

 

  • Hadith Mursal Sahih boleh dijadikan hujjah secara mutlak. Ini adalah pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan jumhur pengikut mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah.

 

  • Hadith Mursal adalah dhaif tidak boleh dijadikan hujjah secara mutlak. Ini adalah pendapat jumhur pengkritik daripada kalangan ahli hadith dan ini juga pendapat ramai daripada kalangan ahli Feqah dan ahli Usul.

 

  • Hadith Mursal ini diterima tetapi dengan bersyarat. Ini adalah pendapat Imam al-Syafie. Antara syarat-syarat yang ditetapkan adalah:

 

Pertama: Syarat bagi Perawi:

  • Perawi itu perlulah seorang yang thiqah.
  • Tabi’in tersebut perlulah daripada kalangan tabi’in yang besar.
  • Perawi tersebut perlulah diketahui bahawa perawi tersebut tidak meriwayatkan daripada perawi yang lemah (dhaif) atau majhul.

 

Kedua: Syarat bagi riwayat:

  • Riwayat yang mursal itu perlu disokong oleh riwayat lain yang bersambung sanadnya kepada Rasulullah SAW tanpa terputus walaupun riwayat yang bersambung itu dhaif (lemah).

 

  • Riwayat yang mursal disokong oleh riwayat mursal yang lain dengan syarat riwayat tersebut perlu datang daripada jalur yang berbeza.

 

  • Riwayat yang mursal itu menepati fatwa para sahabat atau fatwa para ulama’.

 

Kesimpulannya, hadith Mursal ini hukumnya adalah dhaif kerana sanadnya terputus dan ini merupakan pendapat ahli hadith seperti Imam Muslim.

 

Contoh Hadith Mursal

Antara contoh hadith Mursal adalah:

  • Telah berkata Said ibn al-Musayyib bahawa Nabi SAW bersabda:

 

نَهَىْ عَنْ بَيْعِ اللَّحَمِ بِالحَيَوَانِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang menjual daging dengan haiwan”. [Lihat: al-Marasil, 198/1]`

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top