Visitors Hit

7511265 Views

Soalan:

Apakah hukum membuang uri bayi setelah dilahirkan? Adakah wajib ditanam atau dibuang dan dibuang sahaja dengan cara yang sesuai? Jika situasinya saya pekerja di hospital bersalin, bolehkah uri yang tidak dituntut sama ada milik orang Muslim atau bukan Islam, kami lupuskan dengan cara yang sama?

Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada-Nya atas pelbagai kurniaan nikmat yang tak terhitung. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah hingga Hari Kesudahan.

 

Mukadimah

Telah menjadi adat kebiasaan dikalangan masyarakat Melayu khususnya, menanam uri setelah anak dilahirkan. Uri tersebut akan dibasuh dan dibungkus lalu ditanam. Sebelum dijelaskan hukum-hakam berkaitan penanaman uri, di sini diterangkan terlebih dahulu definisi uri.

Merujuk dalam kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, uri diistilahkan sebagai tembuni. Tembuni ialah uri yang keluar sesudah bayi dilahirkan. Dinamakan juga sebagai sampul tian (bahagian perut tempat bayi berada semasa dalam kandungan) atau disebut sebagai kakak anak. Tembuni kecil pula bermaksud uri yang bersambung dengan tali pusat.

Oleh itu secara ringkasnya dapatlah disimpulkan bahawa tembuni ialah uri yang membaluti bayi di dalam kandungan, manakala tembuni kecil adalah uri yang bersambung dengan tali pusat.

Dalam penggunaan kalimah bahasa Arab tembuni atau uri disebut sebagai  المشيمة (al-masyimah) manakala tembuni kecil disebut sebagai الخلاص (al-khalas).

 

Beberapa pandangan para ulama berkaitan dengan tembuni (uri)

1) As-Syeikh Muhammad ash-Syarbini al-Khatib Rahimahullahu Taala pengarang kitab Mughni Muhtaj (1/80) ada menyatakan: “Dan bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup dan juga masyimah (uri iaitu pembalut anak) hukumnya sama seperti matinya iaitu jika haiwan tersebut suci waktu hidupnya maka ia dihukum suci, manakala sekiranya ia najis maka dihukumkan sebagai najis. Ini kerana berdasarkan sepotong hadis “ apa-apa yang terpotong daripada yang hidup maka ia dihukumkan seperti matinya. HR Al-Hakim dan telah ditashihkan oleh syarat Bukhari dan Muslim. Maka bahagian yang terpisah daripada manusia atau ikan atau belalang maka ia adalah suci, manakala selainnya (selain manusia, ikan dan belalang) adalah najis. Sama juga hukumnya dengan uri iaitu pembalut anak, uri manusia … Adapun anggota yang terpisah daripadanya setelah mati maka hukumnya adalah mengikut hukum matinya dengan tiada syak.”

Pengarang menyatakan lagi (1/349): “Adapun sesuatu yang terpisah daripada sesuatu yang hidup atau ragu tentang kematiannya seperti tangan pencuri yang dipotong, kuku, rambut, darah (alaqah), darah bekam dan seumpamanya maka sunat ditanam kerana memuliakan tuannya. Disunatkan juga membungkus tangan dan seumpamanya dengan kain seperti mana yang telah dijelaskan oleh syeikh al-Mutawalli rahimahullahu Taala.”

2) Merujuk kepada kitab Hasyiah Qalyubi wa Umairah (1/395), telah berkata pengarang: “Tembuni (uri) yang dinamakan sebagai al-Khalas (tembuni kecil) adalah seperti anggota (anak) kerana ia diputus daripada anak tersebut. Maka ia sebahagian darinya. Adapun tembuni yang di dalamnya anak (pembalut anak) maka ia bukan sebahagian daripada ibu dan bukan juga sebahagian daripada anak.”

3) Begitu juga di dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi (1/101): “Maka bahagian daripada anggota manusia dan daripada tembuni (uri) yang membaluti anak maka ia dihukumkan sebagai suci daripada manusia dan najis selain darinya.

4) Penyataan dalam kitab Hasyiah as-Syabramalisi (3/197):Dan daripada tembuni (uri) yang membaluti anak maka ia dihukumkan sebagai suci daripada manusia dan najis selain darinya.”

5) Keterangan yang sama juga boleh dilihat di dalam kitab Nihayatul Muhtaj: (1/245): “Dan daripada tembuni (uri) yang membaluti anak maka ia dihukumkan sebagai suci daripada manusia dan najis selain darinya Adapun anggota yang terpisah daripadanya  setelah mati maka hukumnya adalah mengikut hukum matinya dengan tiada sebarang perselisihan ulama.

6) Menurut pengarang kitab Hasyiah as-Syirwani  (2/676): “Dan disunatkan menanam apa yang terpisah daripada anggota manusia seperti rambut, kuku dan darah.

Oleh yang demikian, dapatlah dirumuskan bahawa tembuni dan tembuni kecil yang dipisahkan daripada anak itu adalah suci bukannya najis. Maka tembuni dan tembuni kecil jika ia dipisahkan ketika anak tersebut hidup maka sunat dibungkus dengan kain atau yang bersesuaian dengannya sama ada ia dibasuh atau tidak, seterusnya ditanam ke dalam tanah yang suci sebagai suatu penghormatan kepada tuaannya. Walaubagaimanapun, jika ia terpisah ketika anak tersebut telah meninggal dunia, maka penyempurnaannya mengikut seperti mana pengurusan jenazah.

Para ulama juga ada menyatakan bahawa penanaman tembuni (uri) tersebut diqiyaskan seperti mana disunatkan menanam anggota yang terpisah daripada manusia yang hidup seperti kuku, rambut dan sebagainya. Justeru samalah hukumnya berkaitan penanaman tembuni (uri). Perkara ini bersandarkan sebuah athar daripada sahabat Nabi daripada Ibnu Umar Radiyallahu anhu pernah menanam kuku dan rambut yang terpisah daripada anggota badannya.

Ibnu Qudamah dalam kitab beliau Syarah al-Kabir (1/104--105): "Disunatkan menanam apa yang terpotong daripada kuku, atau yang tercabut daripada rambut tuannya”. Bertanya Muhanna kepada Imam Ahmad:”Adakah anggota daripada manusia seperti kuku dan rambut ditanam atau dibuang. Maka Imam Ahmad Rahimahullahu Taala menjawab ia ditanam. Lalu ditanya lagi apakah telah sampai kepada Engkau wahai Imam dalil atau keterangan bagi perkara tersebut. Maka Imam menjawab, sesungguhnya Ibnu Umar radiyallahu anhu telah menanamnya”.

Namun sekiranya tembuni (uri) ini dibuang tanpa ditanam maka perbuatan tersebut tidaklah berdosa.

 

Kesimpulan

Berkaitan mengadakan tempat khas bagi penanaman tembuni (uri) maka kami melihat ianya tidak bercanggah dengan syarak kerana keterangan dan penjelasan daripada para ulama dan juga melihat antara hikmah disebalik penanaman tembuni atau anggota-anggota manusia yang lain, sekiranya terpisah daripada tuannya ketika hidup, ia dapat mengelakkan daripada berlakunya perbuatan sihir.

Dinasihatkan agar sebaiknya diasingkan antara uri warga Islam dan bukan Islam demi menjaga kepentingan umum dan mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan di kalangan masyarakat.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberi manfaat bersama-sama dalam memahami dengan baik isu dan permasalahan yang diajukan. Wallahua`lam.

 

 

 

                               

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top