Visitors Hit

8477934 Views

Soalan:

Bagaimana untuk berhenti daripada dosa yang sudah lama dibuat ? Sudah berkali-kali azam untuk berhenti namun terjatuh lagi dan lagi ? Adakah ada doa yang boleh saya amalkan atau apakah amalan tertentu yang boleh saya lakukan ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sebagai manusia, seseorang itu sudah pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, dosa, dan maksiat. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Banyak nas-nas yang secara jelas menerangkan berkenaan hakikat ini. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.

Riwayat Ibn Majah (4392)

Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa kesemua anak Adam itu disifatkan sebagai seorang yang berbuat kesalahan. Sekalipun bukan semua kesalahan itu dikira dan dinilai sebagai satu dosa, akan tetapi berdasarkan kepada siyaaq (konteks) hadis secara keseluruhan, perkataan al-khata’ di dalam hadis ini jelas membawa maksud berdosa. Ini kerana, ayat selepasnya menyatakan bahawa sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat. Umum mengetahui bahawa perbuatan dosalah yang berhajat dan memerlukan kepada taubat dan pengampunan Tuhan. Seakan yang ingin disampaikan oleh hadis di atas adalah, semua anak Adam itu berbuat dosa dan sebaik-baik mereka yang berbuat dosa adalah golongan yang bertaubat kepada Allah S.W.T.

Begitulah juga dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ

Maksudnya: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu semua tidak berbuat dosa, nescayalah Allah akan menghilangkan kamu (mematikan) dan Allah akan mendatangkan satu kaum yang berbuat dosa, lalu mereka beristighfar kepada Allah dan Dia akan mengampunkan mereka.

Riwayat Muslim (2749)

Dalam memahami maksud hadis ini dengan lebih baik, supaya tidak terdapat salah faham dari kalangan yang membacanya maka kami nukilkan di sini syarahan dan pandangan oleh Imam al-Mubarakfuri Rahimahullah yang mengulas hadis ini dengan katanya:

Sekiranya kamu - wahai sekalian mukallaf atau wahai orang-orang yang beriman – tidak melakukan dosa, nescayalah Allah S.W.T akan menghilangkan kamu dalam erti kata mematikan kamu lalu Dia mendatangkan kaum yang lain sama ada dari jenis kamu sendiri atau selain kamu yang melakukan dosa. Iaitu mungkin sebahagian dari mereka melakukan dosa kemudian mereka pun beristighfar memohon ampun kepada Allah dalam erti kata bertaubat dan mengharapkan pengampunan secara mutlak dari-Nya. Maka Allah S.W.T pun mengampunkan mereka dengan sebab diri-Nya bersifat dengan sifat al-Ghaffar (Maha Pengampun) dan kerana itulah Allah S.W.T berfirman:

اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّاراً

Maksudnya: Beristighfarlah kamu semua kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia itu Maha Pengampun.

Surah Nuh : 10

Dan menjadi suatu kelaziman akan sifat ilahiyah ini (sifat pengampun) bahawa wujudnya maksiat pada setiap individu manusia. Dan maknanya, sekiranya kamu semua ma’sum seperti para malaikat nescayalah Allah S.W.T akan menghilangkan kamu dan menggantikan kamu dengan kaum yang berbuat dosa supaya tidak akan terabai sifat pengampun dan pemaaf Allah S.W.T. Rujuk Mir’aat al-Mafaatih, Al-Mubarakfuri (8/23).

Kami menambah di sini, bahawa bersifatnya Allah S.W.T dengan sifat al-Ghafur, al-Ghaffar, al-‘Afuww, al-Rahim, dan al-Sittir, jelas menunjukkan bahawa manusia itu sememangnya makhluk yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa.

Namun, perlu juga dinyatakan di sini bahawa dalil-dalil yang kami kongsikan di sini bukanlah sebagai satu galakan atau lesen untuk seseorang itu berterusan melakukan dosa. Ini kerana, seseorang yang melakukan dosa itu tidak boleh berasa dirinya aman dan akan terselamat dari azab Allah S.W.T. Namun dalam masa yang sama, seseorang pendosa tidak boleh juga berputus asa dari rahmat Allah S.W.T.

Berikut kami kongsikan beberapa perkara yang perlu dibuat oleh mereka yang sering melakukan dosa. Juga beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk mengurangkan perbuatan dosa. Di antaranya adalah:

Pertama: Perbanyakkan Istighfar dan Taubat

Seseorang yang banyak melakukan dosa hendaklah sentiasa melazimi istighfar dan taubat. Ini berdasarkan beberapa riwayat hadis dan nas al-Quran yang telah kami kongsikan sebelum ini. Ini kerana, Allah S.W.T berfirman:

فَإِنَّهُ كَانَ لِلْأَوَّابِينَ غَفُورًا

Maksudnya: Sesungguhnya Dia (Allah) itu Maha Pengampun terhadap golongan awwabeen.

Surah Al-Isra’ (25)

Meskipun para ulama berbeza pendapat terhadap siapakah golongan awwabeen yang dimaksudkan dalam ayat di atas, kami tertarik dengan tafsiran yang diberikan oleh tokoh pembesar dari kalangan tabiin iaitu Imam Sa’id Ibn al-Musayyib Rahimahullah dengan katanya:

الَّذِي يُصِيبُ الذَّنْبَ ثُمَّ يَتُوب ثُمَّ يُصِيبُ الذَّنْبَ ثُمَّ يَتُوب

Maksudnya: (Awwabeen) adalah seseorang yang melakukan dosa, kemudian dia bertaubat. Dia melakukan dosa lagi, kemudian dia bertaubat. Lihat Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Katsir (5/68).

Manakala berkata tokoh besar dari kalangan tabiin dan merupakan anak murid kepada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma iaitu al-Imam Mujahid bin Jabr Rahimahullah:

هُو الَّذِي إِذَا ذَكَرَ ذُنُوبَهُ فِي الْخَلَاء فَيَسْتَغْفِرُ اللهَ مِنْهَا

Maksudnya: (Awwabeen) adalah seseorang yang mengingati dosa-dosanya ketika dia sedang bersendirian, lalu diapun meminta keampunan daripada Allah S.W.T terhadap dosa-dosanya itu. Lihat Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Katsir (5/68).

Justeru, berdasarkan kepada kedua tafsiran yang kami kemukakan di atas dapatlah kita memahami bahawa Allah S.W.T itu Maha Pengampun meskipun ke atas mereka yang berulangkali melakukan dosa demi dosa, selama mana pelakunya kembali kepada Tuhan, memuhasabah dan menyesali dosa-dosanya, lalu dia memohon keampunan daripada Allah S.W.T.

Bahkan al-Quran al-Karim turut mensifatkan golongan yang bertakwa dengan ciri mereka itu mengingati Allah S.W.T, beristighfar, serta tidak mengulangi dosa-dosa yang telah mereka lakukan apabila mereka menzalimi diri sendiri atau melakukan perkara yang keji dan mungkar. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ 

Maksudnya: Dan mereka itu (golongan bertakwa) apabila melakukan perbuatan keji atau telah menzalimi diri mereka sendiri, mereka terus mengingati Allah dan beristighfar terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang dapat mengampunkan dosa selain Allah. Serta mereka itu tidak berterusan dalam melakukan apa yang telah mereka kerjakan dalam keadaan mereka mengetahuinya.

Surah Aali Imraan (135)

Kedua: Berkawan Dengan Sahabat Yang Baik

Tidak dinafikan bahawa faktor dengan siapa seseorang itu berkawan turut menjadi penyumbang terhadap baik atau buruknya perwatakan dirinya. Hal ini telah lama dahulu dijelaskan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Maksudnya: Seseorang lelaki itu berada di atas agama sahabatnya. Maka hendaklah salah seseorang daripada kamu meneliti dengan siapa dia berkawan.

Riwayat Al-Tirmizi (4833)

Perkataan deen di dalam hadis tersebut pada zahirnya boleh diterjemahkan sebagai cara hidup. Bahkah makna tersebut adalah tepat kerana seseorang itu kebiasaannya akan mudah terpengaruh dengan cara hidup manusia yang berada di sekelilingnya dan termasuklah sahabat-sahabatnya. Jika seseorang itu berkawan dengan rakan-rakan yang baik lagi soleh, nescaya perwatakan dirinya akan jadi baik. Manakala seseorang yang memilih untuk berkawan dengan mereka yang buruk akhlaknya, ia pasti akan menatijahkan kesan negatif pada perwatakan diri sendiri akhirnya. Sambutlah seruan Allah S.W.T melalui firman-Nya yang berikut:

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

Maksudnya: Dan sabarkanlah dirimu bersama-sama dengan mereka yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang dengan mengharapkan redha daripada Allah.

Surah Al-Kahfi (28)

Berkata Imam al-Thabari Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Bersabarlah kamu wahai Muhammad agar bersama dengan para sahabatmu yang mana mereka itu sentiasa berzikir kepada Allah S.W.T dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil, berdoa, serta melakukan amalan-amalan soleh seperti solat fardhu dan selainnya semata-mata mengharapkan wajah Allah S.W.T. dan tidak mengharapkan habuan dunia dari perbuatan tersebut. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (18/5).

Meskipun ayat di atas ditujukan kepada Nabi Muhammad S.A.W, namun mesej dan seruan tersebut turut terpakai kepada keseluruhan umat baginda S.A.W. Ini kerana, ibrah (pengajaran) itu adalah pada keumuman lafaz dan bukan pada khususnya sebab tertentu sebagaimana yang disebutkan di dalam kaedah yang masyhur.

Justeru, perbanyakkanlah sahabat-sahabat yang soleh lagi mendekatkan kita kepada Allah S.W.T. Bahkan adalah lebih baik sekiranya seseorang itu memperbanyakkan suhbah (mendekatkan diri) dengan para alim ulama dan majlis-majlis ilmu, supaya iman itu sentiasa diperbaharui dengan ilmu dan hikmah mereka.

Ketiga: Perbanyakkan Doa

Selain dari memperbanyakkan istigfar dan taubat, serta memilih rakan-rakan yang baik dalam kehidupan, seseorang itu juga dituntut untuk memperbanyakkan doa supaya dirinya kekal dalam keadaan yang tetap di atas agama Allah S.W.T dan kepatuhan pada-Nya. Ini sebagaimana sebuah doa yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W dengan sabdanya:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ 

Maksudnya: Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.

Riwayat Al-Tirmizi (3522)

Doa di atas ini disifatkan oleh Ummul Mu’minin Ummu Salamah R.anha sebagai doa yang paling banyak dibaca oleh Rasulullah S.A.W. Ini kerana, hati manusia itu senantiasa berbolak balik dan sering terpengaruh dengan hasutan dan bisikan syaitan. Hanya dengan meminta bantuan dan pertolongan Allah S.W.T sahajalah yang dapat menetapkan diri kita ini di atas agama-Nya serta  teguh dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya untuk menjauhi perbuatan dosa dan maksiat.

Kesimpulan

Akhir kalam, beberapa solusi yang kami sebutkan di atas hanyalah sebahagian kecil sahaja cara untuk seseorang itu kembali kepada Allah S.W.T setelah dia menzalimi dirinya dengan dosa dan maksiat. Selebihnya, ia kembali kepada kehendak dan keazaman yang jitu oleh diri setiap individu itu sendiri untuk berusaha meninggalkan maksiat dan dosa. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua, mengampunkan dosa-dosa kita, seterusnya menjadikan setiap kita sebagai hamba yang tulus lagi tsabat dalam beribadah kepada-Nya. Ameen.

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top