Visitors Hit

5779629 Views

Telah berlalu dalam perbahasan-perbahasan yang lepas berkenaan definisi, perkembangan, sumber-sumber hukum dalam Usul Fiqh, kitab-kitab berkaitan serta perbezaannya dengan ‘ilmu fiqh dan Qawa’id Fiqhiyyah. Dalam perbahasan kali ini kami akan bahaskan pula berkenaan dengan satu isu yang amat penting, iaitu tajdid (pembaharuan/penambahbaikan) dalam ‘ilmu Usul Fiqh.

Kepentingan Mempelajari Usul Fiqh dan Kaedah Fiqh

Al-Imam al-Qarafi telah berkata bahawa barangsiapa yang tidak mengetahui Usul Fiqh adalah dilarang daripada mengeluarkan fatwa. Manakala Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula menyatakan bahawa hukum mempelajari ‘ilmu Usul Fiqh adalah fardhu kifayah, sementara hukum mempelajarinya fardhu ‘ain bagi sesiapa yang ingin berijitihad dan berfatwa.[1]

                Maka kita dapat menyimpulkan bahawa ‘ilmu Usul Fiqh merupakan satu keperluan yang harus dimiliki bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang kefatwaan dan pengeluaran hukum. Mempelajari ‘ilmu Usul Fiqh ini penting bagi membentuk minda yang bukan sekadar faqih, tapi juga minda usuliy maqasidiy, iaitu seorang yang faqih dalam hukum-hakam furu’ beserta dengan kemahiran dalam kaedah-kaedah usul dan prinsip-prinsip universal syari’at Islam.

                Apabila minda usuliy dapat dibentuk, ia sebenarnya akan memberi kemudahan dalam mempelajari fiqh. Kata al-Imam al-Qarafi:

وَمَنْ ضَبَطَ الْفِقْهَ بِقَوَاعِدِهِ اسْتَغْنَى عَنْ حِفْظِ أَكْثَرِ الْجُزْئِيَّاتِ [2]

Maksudnya: Barangsiapa yang menguasai ‘ilmu fiqh beserta kaedah-kaedah nya, dia tidak perlu lagi menghafal kebanyakan perkara-perkara furu’ dan juz’iy.

Sesungguhnya permasalahan-permasalahan furu’ adalah terlalu banyak dan akan sentiasa muncul perkara-perkara baru yang tidak pernah dibincangkan dalam kitab-kitab. Maka mempelajari kaedah-kaedah usul dan kaedah-kaedah fiqh adalah satu kemestian bagi mempersiapkan para tholib ‘ilm, faqih dan mufti dalam mendepani permasalahan-permasalahan baru ini.

Keperluan Tajdid Usul Fiqh

Sebagaimana ilmu-ilmu yang lain seperti falsafah dan fiqh, ‘ilmu Usul Fiqh juga melalui zaman kejatuhan dan kemerosotan, apabila para ulama’ zaman ini hanya menghasilkan kitab-kitab usul yang bersifat kompilasi kaedah-kaedah usul sebelumnya, ataupun sekadar saringan, ringkasan,syarah dan ta’liq kepada kitab-kitab terdahulu.[3]

Dr. ‘Ali Jum’ah juga melancarkan kritikan yang sama berkenaan isu ini. Beliau menyatakan perkara yang sama apabila menyifatkan bahawa karya-karya Usul Fiqh yang banyak ini hanya membawa kita semakin jauh daripada tujuan ‘ilmu Usul Fiqh itu sendiri.[4]

Beliau turut mengkritik mereka yang mendalami ‘ilmu Usul Fiqh, dimana ada yang mampu menghafal matan-matan, mengkritik pandangan sebahagian mazhab dan mampu membezakan perkara yang kuat dan lemah; namun gagal dalam mengetahui cara mengambil manfaat darinya, menggunakan dalil dan memahami maksud dari dalil tersebut.[5]

Atas keadaan inilah para ulama’ telah melancarkan usaha pembaharuan ke atas ‘ilmu ini. Terdapat beberapa buah buku yang dikarang oleh para ulama’ kontemporari berkenaan isu tajdid Usul Fiqh ini. Antara karya yang bagus untuk dijadikan rujukan ialah:

  • al-Tajdid wal Mujaddidun fi Usul al-Fiqh karangan ‘Abd as-Salam Muhammad ibn ‘Abdul Karim
  • al-Tajdid al-Usuliy karya beberapa orang ulama’ di bawah seliaan Dr. Ahmad ar-Raysouni
  • Qadhiyyah Tajdid Usul al-Fiqh oleh Dr. ‘Ali Jum’ah

Faktor-faktor dan Aspek-aspek Kejumudan dan Kemandulan ‘Ilmu Usul Fiqh

Kitab At-Tajdid wa al-Mujaddidun telah menyenaraikan beberapa faktor aspek kejumudan dan kemandulan ‘ilmu Usul Fiqh ini. Antara faktor yang terpenting untuk dinyatakan adalah:

  • Fatwa sebahagian ulama’ mazhab bahawa pintu ijtihad sudah tertutup
  • Perubahan makna ‘fiqh’ dalam kalangan ulama’ mutaakhirin (Para ulama’ sebelumnya memahami makna fiqh sebagai ‘ilmu berkenaan hukum-hakam syari’ah yang dikeluarkan dari dalil-dali syara’ melalui kaedah istinbath; manakala ulama’ mutaakhirin memahaminya sebagai menghafal furu’-furu’ fiqh melalui cara naqal, bukannya istinbath atau istidlal).
  • Dominasi mazhab-mazhab terhadap para ulama’ mutaakhirin
  • Keadaan politik yang kucar kacir
  • Meluasnya perbahasan ‘ilmu kalam
  • Kemunculan ‘ilmu-ilmu falsafah dan fahaman rasionalisme

Antara aspek yang terpenting untuk disebutkan adalah:

  • Terputusnya hubungan dan kesinambungan antara kitab usul fiqh mutaakhirin dan kitab sebelumnya
  • Tersebarnya taqlid dalam permasalahan Usul Fiqh
  • Kurangnya minat dan perhatian terhadap bidang ini
  • Ilmu Usul Fiqh dan Fiqh dipisahkan antara satu sama lain, menjadi ‘ilmu yang berasingan
  • Kurangnya proses istidlal menggunakan Qawa’id Usuliyyah
  • Terlalu banyak penekanan dari sudut teori berbanding praktikal
  • Terlalu banyak pengulangan dan nukilan pendapat
  • ‘Ilmu Usul Fiqh menjadi terlalu kompleks dan sukar difahami

Tokoh Mujaddid Dalam Usul Fiqh

Dalam al-Tajdid wal Mujaddidun fi Usul al-Fiqh karangan Abd as-Salam Muhammad ibn ‘Abdul Karim, kita dapati beliau telah menyenaraikan beberapa orang ulama’ yang telah mengemukakan gagasan tajdid Usul Fiqh dalam karya-karya mereka:

  • Ibn Hazm al-Andalusiy (al-Ihkam fi Usul al-Ahkam)
  • Imamul Haramayn al-Juwayni (al-Burhan fi Usul al-Fiqh)
  • Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazzaliy (al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul)
  • al-Imam al-‘Izz ibn ‘Abd as-Salam (Qawa’idul Ahkam fi Masalih al-Anam)
  • al-Imam Taqiyuddin Ibn Taimiyyah
  • al-Imam Abu Ishaq as-Syathibi (al-Muwafaqat fi Usul as-Syari’ah)

Manakala dalam buku at-Tajdid al-Usuliy karangan Dr. Ahmad ar-Raysouni pula kita dapati pengarang menambah beberapa lagi para ulama’ yang turut melakukan tajdid dalam bidang ini:

  • al-Imam Syihabuddin al-Qarafi (al-Furuq)
  • al-Imam Badruddin az-Zarkasyi
  • al-Imam Ibnul Qayyim (I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabbil ‘Alamin)
  • Syah Waliyullah ad-Dahlawi
  • al-Imam as-Syaukani (Irsyad al-Fuhul ila Tahqiq al-Haqq min ‘Ilm al-Usul)
  • Syeikh Muhammad Musthafa Syalbi
  • ‘Ali Hasbullah (Uusl at-Tasyri’ al-Islamiy)
  • ‘Allamah Muhammad Thahir ibn ‘Asyur
  • Syeikh ‘Allal al-Fasi
  • Syeikh Muhammad Ma’ruf ad-Dawalibiy

Selain itu, Dr. ‘Ali Jum’ah pula telah meneliti karya-karya Usul Fiqh karangan ulama’ pada kurun ke-20, dan menyenaraikan nama-nama yang terlibat dalam gagasan tajdid Usul Fiqh:

  • Syeikh Muhammad al-Khudhari Bik (Usul al-Fiqh)
  • Syeikh ‘Abdul Wahhab Khallaf (Usul al-Fiqh)
  • Syeikh Muhammad Abu Zahrah (Usul al-Fiqh)
  • Hassan at-Turabiy (Qadhaya at-Tajdid: Nahwa Manhaj Usuliy)
  • Syeikh Muhammad al-Ghazzaliy
  • Syeikh Yusof al-Qaradhawi
  • Taha Jabir al-‘Ulwani
  • Jamaluddin ‘Athiyyah
  • Muhammad Salim al-‘Ewa

Dalam siri-siri yang akan datang, kami akan terangkan lebih lanjut beberapa pemikiran penting dalam isu tajdid Usul Fiqh ini, inshaAllah.

 

 

[1] ‘Ali Jum’ah, 2004, Aaliyat al-ijtihad, Dar ar-Risalah, Cetakan Pertama, hal. 56

[2] Shihabuddin al-Qarafi, al-Furuq, 1/3

[3] Ahmad ar-Raysouni et al, 2014, al-Tajdid al-Usuliy, International Institute of Islamic Thought, Cetakan Pertama, hal. 48

[4] ‘Ali Jum’ah, hal 61.

[5] ibid. hal. 48

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top