Visitors Hit

2647441 Views

 

Mukadimah

Seringkali kita mendengar dakwaan ijma’ berlaku pada satu-satu permasalahan. Sesiapa yang tidak bersetuju akan dianggap sebagai menyelisihi ijma’ yang merupakan salah satu dari empat sumber hukum yang disepakati. Perkara asas yang perlu kita jelas, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ijma’ dan perkara-perkara yang berkaitannya. Justeru, Irsyad Usul al-Fiqh siri ini akan mengupas isu ini dengan lebih lanjut.

Definisi Ijma’ Di Sisi Fuqaha

Imam al-Ghazali Rahimahullah mentakrifkan ijma’ dengan katanya: Persepakatan umat Muhammad S.A.W ke atas suatu perkara dari perkara-perkara agama. Lihat Syarah Mukhtasar Ibn Hajib, Mahmud bin Abd al-Rahman al-Asbahani (1/520).

Imam al-Thusi pula memberikan pendefinisian yang sedikit berbeza dengan katanya: (Ijma’ ialah) persepakatan para mujtahid pada suatu zaman dari kalangan umat ini di dalam perkara agama. Rujuk Syarah Mukhtasar al-Raudhah, Sulaiman al-Thusi (3/5).

Manakala Imam al-Zarkasyi Rahimahullah mengatakan: Ijma’ ialah kesepakatan para mujtahid umat Muhammad S.A.W setelah kewafatan baginda pada sesuatu kejadian di atas suatu perkara dari perkara-perkara di dalam satu-satu zaman. Lihat Bahrul Muhith, al-Zarkasyi (6/379-380).

Huraian Takrif Imam al-Zarkasyi

Berdasarkan definisi yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi di atas, terdapat beberapa isi penting yang boleh dikeluarkan seperti berikut:

  • Kesepakatan orang awam di dalam sesuatu isu tidak dianggap sebagai ijma’ kerana mereka bukan mujtahid.
  • Demikian juga kesepakatan sebahagian para mujtahid tidak dikira sebagai ijma’.
  • Kesepakatan umat sebelum Nabi Muhammad S.A.W tidak termasuk dalam ijma’ kerana ia berlaku sebelum baginda.
  • Ijma’ berlaku meliputi perkara-perkara syarak, ‘aqliyyat, ‘uruf, dan juga bahasa.
  • Kesepakatan para mujtahid itu berlaku di dalam satu zaman yang sama.
  • Yang dimaksudkan dengan zaman di situ: Sesiapa yang ada kelayakan berijtihad di dalam masa berlakunya sesuatu kejadian, maka dia merupakan ahli pada zaman tersebut.

Siapakah Yang Diambil Kira Ucapan Mereka Di Dalam Isu Ijma’ ?

Terdapat golongan yang diambil kira ucapan mereka dalam penentuan isu ijma’ dan juga golongan yang tidak diterima ucapan mereka. Sebagai contohnya, jika ijma’ itu berlaku di dalam permasalahan feqh maka yang diambil kira adalah ucapan atau pendapat keseluruhan fuqaha. Manakala jika isu tersebut merupakan isu usuluddin, maka ia memerlukan kesepakatan seluruh ulama usul. Jika isu yang dibincang merupakan isu nahu maka ia memerlukan kesepakatan dari keseluruhan ulama nahu untuk menjadi ijma’. Rujuk al-Bahrul Muhith, al-Zarkasyi (6/415).

Kitab-Kitab Berkenaan Permasalahan Yang Berlaku Ijma’ Padanya

Setelah diteliti, tidak banyak kitab yang ditulis berkenaan hal ini. Hanya terdapat beberapa buah sahaja dan di antara yang masyhur adalah:

  • Kitab Al-Ijma’ karya Imam Ibn al-Munzir.
  • Maratib al-Ijma’ karya Imam Ibn Hazm al-Zahiri (w. 456 h.)
  • Kitab Tasynif al-Asma’ Bi Masail al-Ijma’ karya Imam al-Suyuthi (w. 911 h.)

Para ulama di antaranya Syeikh Fuad Abdul Mun’im telah membuat muqaranah (perbandingan) di antara kitab Ijma’ yang ditulis oleh Ibn al-Munzir dengan Maratib al-Ijma’ karya Ibn Hazm dengan kesimpulannya seperti berikut:

  • Permasalahan yang disebutkan oleh Ibn al-Munzir sebagai ijma’ tidak terkesan sekiranya terdapat satu ataupun dua pendapat yang menyelisihinya. Ini kerana, yang difahami sebagai ijma’ di sisi beliau adalah kesepakatan majority ahli ilmu. Manakala Ibn Hazm meletakkan permasalahan-permasalahan yang beliau yakin tidak ada sebarang khilaf padanya di sisi para ulama.
  • Imam Ibn al-Munzir hanya meletakkan permasalahan yang berlaku ijmak di dalam bab ibadah dan mu’amalat. Manakala Ibn Hazm memasukkan ijma’ bukan sekadar dalam bab ibadah dan muamalat bahkan turut dimasukkan ijma’ dalam bab aqidah.
  • Kitab al-Ijma’ karya Ibn al-Munzir dianggap sebagai kitab paling terpercaya yang ditulis di dalam bidang tersebut. Manakala kitab Maratib al-Ijma’ menjadi medan kritikan para ulama yang datang terkemudian. Lihat Al-Ijma’, Ibn al-Munzir. Tahqiq Fuad Abdul Mun’im Ahmad.

Kesimpulan

Akhir kalam, kami menyatakan bahawa takrif yang terpilih di sisi kami dalam mendefinisikan ijma’ adalah : Persepakatan seluruh mujtahid dari kalangan umat Nabi Muhammad S.A.W ke atas satu permasalahan dari isu-isu agama dan berlaku pada satu zaman dari zaman-zaman tertentu. Inilah sebagaimana yang dipilih oleh Imam al-Thusi sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam menekuni isu ini. Ameen.

 

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top