Visitors Hit

2670255 Views
×

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 42

Cabaran Utama Umat Islam Di Malaysia

Cabaran-cabaran ke atas agama Islam, ajaran dan Syariatnya semakin hari semakin hebat. Tetapi pada masa sama Islam juga berkembang di serata pelusuk dunia dengan begitu pesat.  Atas janji Allah dalam Al-Quran bahawa Islam itu agama yang sempurna,

 “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku-redhai Islam itu sebagai agama bagimu”( Al-Maidah : 3). Begitu juga dengan maksud ayat suci yang lain, iaitu, “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam” (Ali-Imran: 19). Sebagai umat Islam kita juga percaya akan kekuasaan Allah dalam pemeliharaan Islam sebagai agama yang diredhai itu.   
Namun, sifat Islam yang sempurna dan jaminan Allah tentang kelangsungan Islam di alam ini sehinggalah datangnya Hari Kiamat tidak bermakna kita umat Islam tidak perlu berusaha untuk menjelaskan tentang Islam dan merealisasikan kesempurnaannya. Keadaan ini juga tidak membenarkan kita umat Islam bertindak pasif dalam menegakkan hukum Syariah serta syiar Islam. Di sinilah munculnya kewajipan untuk setiap kita melakukan dakwah, mengajak ke arah kebaikan dan cara hidup Islam serta menegakkan hukum Allah yang jelas dan nyata.  
Dalam ruangan ini saya cuba membawa kepada pembaca beberapa perkara yang saya fikirkan serius untuk kita sedari tentang cabaran terhadap Islam di negara ini. Perbincangan ini saya tumpukan kepada cabaran ke atas akidah umat Islam, cabaran ke atas institusi pentadbiran Islam, seperti institusi fatwa, termasuk Mufti dan juga agensi pelaksana hukum Syariah, iaitu mahkamah Syariah dan juga badan penguatkuasa. Berkaitan dengan itu, saya juga cuba membawa perhatian pembaca kepada cabaran ke atas kedudukan udang-undang Islam.   

Cabaran Akidah Islam   


Doktrin Salah di sisi Islam dan Cabaran Institusi Fatwa 

 
Di negara kita, antara cabaran utama kepada Islam dan umatnya di negara ini ialah cabaran berkaitan akidah. Perkara yang menjadi fokus semasa ialah berkaitan kebebasan menganut dan mengamal doktrin yang diisytiharkan salah oleh pihak berautoriti agama. Dalam konteks ini Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penyebaran fahaman syiah dan ajaran sesat lain telah dipersoal dan diperjuangkan sebagai satu cabang hak yang hendaklah diserahkan kepada setiap individu untuk  memilih dan mengamal doktrin serta menentukan akidah masingmasing tanpa sebarang peduli atau perhatian dan jagaan daripada pihak berautoriti agama. 

 
Ini adalah fahaman kebebasan liberal yang meletakkan perkara berkaitan agama/akidah sebagai sebahagian daripada hak yang hanya boleh ditentukan oleh individu secara bersendirian tanpa arahan atau kawalan daripada mana-mana pihak, termasuklah pemimpin atau dalam konteks ini pihak berautoriti agama. Perkara ini sudah tentu tidak selaras dengan kefahaman Islam sebenar kerana akidah Islam itu mempunyai paksi tertentu dan tidak boleh diubah. Sementara itu, atas dasar tanggungjawab pemimpin dan negara yang dituntut oleh Islam, umat Islam hendaklah dielakkan daripada tergelincir daripada ajaran sebenar.  
 Kesan daripada gesaan atau fahaman kebebasan dalam menentukan atau memilih akidah bagi orang-orang Islam ini ialah, setiap individu atau kumpulan akan mempunyai kebebasan menentukan doktrin kepercayaan mereka serta juga masih menamakan atau menggelar diri mereka sebagai Muslim/orang Islam tanpa menghiraukan kriteria-kriteria akidah Islam sebenar. Ini bukan sahaja memberikan kebebasan terbuka dan liberal, tetapi juga akan menyebabkan kekeliruan akidah dan seterusnya akan menghakis dan merosakkan akidah umat Islam.  

Kerosakan akidah adalah sebesar-besar cabaran kepada umat Islam. Kita maklum bahawa akidah adalah sumber atau perkara pokok yang menjadi pasak kepada segala ajaran dan perintah atau syariat Islam. Sekiranya keputusan fatwa atau keputusan pihak berautoriti agama berkaitan akidah ini dipersoal maka itulah juga petanda kepada kemusnahan bukan sahaja akidah, bahkan juga kepada syariah dan syiar Islam – total failure or collapse of Islam.   
Kebebasan Mengembangkan Doktrin Bukan Islam  


 Berkaitan dengan kedudukan dan cabaran akidah, ketika ini kita juga mendengar jeritan pihak-pihak tertentu untuk memansuhkan sekatan yang boleh dikenakan ke atas penyebaran doktrin bukan Islam di kalangan orang Islam. Alasannya ialah kebebasan beragama. Namun begitu, sekatan penyebaran doktrin ini adalah suatu hak orang Islam yang dimaterai dan diiktiraf  Perlembagaan Negara. Kita maklum tentang objektif penyebaran doktrin bukan Islam ini; tidak lain dan tidak bukan untuk mengajak umat Islam meninggalkan agamanya yang benar. Persoalan sama ada berkesan atau tidak ajakan tersebut atau sama ada kuat atau lemah iman dan akidah orang Islam tidak begitu penting dalam keadaan perundangan ini. Sebab kepada wujudnya peruntukan ini pada asal ketika proses membuat Perlembagaan ialah bagi menjaga akidah umat Islam daripada diresapi atau terbuka kepada fahaman komunis yang sedang mengambil pengaruh di Tanah Melayu. Dalam konteks umum, ia bertujuan menjaga akidah umat Islam.   


Cabaran ke atas Institusi Islam  


Mahkamah Syariah   Berkaitan juga dalam perbincangan ini ialah tuntutan kebebasan menukar agama. Perjuangan sesetengah kelompok pejuang hak asasi untuk membolehkan seorang Islam menukar agamanya sudah tidak asing lagi dalam ruang khalayak kita. Berkaitan juga, pihak terbabit cuba menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan agama umat Islam. Daripada aspek perundangan, pihak ini sebenarnya telah tidak mengambil berat kepada keputusan Mahkamah dalam kes Azlina Jailani.  Keputusan kes Azlina Jailani antara lain menyatakan bahawa seseorang yang mahu menukar status agama Islam kepada agama lain hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama. Keputusan ini dibuat oleh mahkamah sivil; bidang kuasa itu bukan ditegaskan oleh mahkamah Syariah, tetapi oleh mahkamah Sivil. Dengan kata lain, institusi mahkamah Syariah mempunyai kerangka atau asas perundangan yang kukuh untuk memelihara aqidah orang Islam.  


Institusi Fatwa dan Mufti  


Dalam perbincangan di atas, mengenai cabaran akidah umat Islam, cabaran ke atas institusi fatwa, termasuk kedudukan Mufti, juga agak jelas. Seringkali kita dengar komen dan ulasan tentang kedudukan fatwa dan kewibawaan para mufti. Fatwa merupakan sumber hukum Islam. Antara cabarannya setakat ini ialah fatwa dianggap sebagai satu bentuk undang-undang yang dibuat oleh golongan ‘elite’ agama. Fatwa dianggap sebagai penegasan kuasa Mufti yang membuat hukum tidak melalui proses demokrasi sebagaimana kehendak sistem perundangan.    Hujah saya mengenai perkara ini ialah, fatwa menjadi sumber hukum dalam perundangan Islam. Kedudukannya juga terpahat jelas dalam sejarah pentadbiran dan perundangan Islam negara. Dengan pengenalan sistem berperlembagaan, sistem pentadbiran agama Islam yang meletakkan urusan pentadbiran agama Islam termasuk perundangannya kepada institusi agama tersebut.  Perkara utama ialah fatwa melibatkan proses membuat hukum untuk diterima pakai oleh umat Islam. Proses pengeluarannya juga telah begitu mantap diperbahas dan diputuskan mengikut kehendak hukum dan prosedur Syarak. Oleh itu persoalan bahawa fatwa tidak diluluskan melalui proses demokrasi tidak boleh dianggap sebagai satu kelemahan kedudukan fatwa. Ini kerana persoalan hukum hakam Syariah ini hendaklah dilaksana mengikut kehendak hukum Syarak juga.    Perkara yang kita tidak boleh terlepas pandang ialah walaupun fatwa ini dibuat oleh Mufti, ia bukanlah semata-mata keputusan mufti, tetapi proses mengeluarkan fatwa itu melibatkan banyak pihak, terutamanya pihak-pihak yang bersangkutan dengan perkara mahu difatwakan. Setelah itu, fatwa juga hendaklah diwartakan sebelum ia diterima pakai.  

Agensi Penguat Kuasa  

Selain daripada dua institusi Islam yang saya sebutkan di atas, target of attack juga telah ditujukan kepada agensi penguatkuasa undang-undang Islam. Para penguatkuasa undang-undang Islam dilabelkan sebagai polis moral yang bertugas untuk melihat kemoralan masyarakat. Pada mereka kemoralan adalah hal peribadi yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa dan tidak boleh dikawal oleh sesiapa. Maka kemoralan itu tidak perlu dikawal atau diselia. Walhal, perkara berkaitan kemoralan merupakan satu elemen penting dalam ajaran Islam dan kemoralan atau akhlak ini bukan semata-mata cara hidup, tetapi sebahagian daripada keimanan dan Syariat Islam.    Dalam aspek perundangan Negara, isu kemoralan ini jelas dalam kerangka perundangan yang diiktiraf oleh sistem perundangan Malaysia. Dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara ada dimaktubkan bahawa Parlimen boleh membuat undang-undang bagi membuat sekatan atas prinsip moral ke atas kebebasan bersuara (perkara 10(2)(a)), kebebasan berpersatuan (Perkara 10(2)(c)) dan kebebasan beragama (perkara 11(5)). Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidaklah menyebut mengenai kemoralan berdasarkan agama Islam, tetapi hakikat umum ialah para penganut agama menyandarkan kemoralan kepada prinsip dalam agama mereka. Dan, dalam konteks sosial dan budaya negara, kemoralan itu tidak dapat tidak sentiasa diikat dengan prinsip dan nilai agama. Jika bukan prinsip dan nilai agama yang diletak sebagai penanda aras kemoralan, keadaan akan menjadi celaru dan keliru. Keadaan ini menjadikan khalayak berbeza pendapat tentang apa itu kemoralan atau nilai moral. Keadaan perbezaan ini berpotensi menjadi penyebab kepada hujah bahawa apa yang bermoral kepada seseorang mungkin tidak bermoral pada pandangan orang lain, dan apa yang tidak bermoral pada seseorang mungkin dianggap bermoral pada pandangan orang lain. Sekiranya perkara seperti hujah ini berterusan, maka kecelaruan dalam masyarakat akan menjadi-jadi dan seterusnya kekeliruan akan berlaku, membawa kepada ketakaturan dan seterusnya kecelaruan dalam cara hidup dan sosial masyarakat. Berbalik kepada isu cabaran kepada institusi penguatkuasa undang-undang jenayah Syariah, saya melihat istilah atau gelaran ‘polis moral’ itu merupakan satu sindiran tajam kerana moral pada kelompok ini adalah urusan peribadi individu. Maka ‘polis moral’ ini dianggap sebagai ‘penyibuk’ yang ‘menjaga tepi kain orang lain’ tanpa usul periksa, bahkan menceroboh ke atas hak privasi individu. Ekoran itu, penguatkuasaan undang-undang jenayah Syariah sentiasa menjadi target kritikan. Kritikan-kritikan tersebut tidak terhenti setakat modus, tatacara prosedur penguatkuasaan, bahkan perbahasan diheret sehingga mencapai tahap mencadangkan supaya undang-undang jenayah Syariah dihapuskan. Oleh itu penguatkuasaan undang-undang jenayah Syariah akan diperhati dan dinilai menerusi lensa hak asasi dan bukannya konteks amar makruf nahi munkar sebagaimana prinsip dan nilai Islam.  Dalam konteks cara hidup pihak berkuasa menggalas tanggungjawab dan kewajipan untuk melaksanakan tuntutan al-amr bil ma'ruf  wa al-nahy ‘an al-munkar. Bahkan label ‘polis moral’ itu menggambarkan pemikiran fahaman kebebasan liberal yang meletakkan kemoralan sebagai hak individu yang tidak boleh dikacau atau disentuh oleh pihak berkuasa.   


Ulasan Penutup  


Setelah dilihat kepada apa yang saya sebut di atas, cabaran yang dihadapi oleh agama Islam dan masyarakat Islam negara kita ketika ini bersangkutan dengan perkara paling penting, iaitu cabaran terhadap akidah. Berhubungan dengan itu, secara langsung atau tidak langsung, cabaran yang dihadapi ialah juga cabaran ke atas kedudukan dan status institusi Islam. 

 
Dalam aspek pentadbiran Islam, kita maklum institusi-institusi ini adalah institusi penting bagi kelangsungan perundangan Islam; institusi fatwa sebagai institusi berkaitan hukum hakam Islam dan Mahkamah Syariah ialah institusi wajib dalam pentadbiran Islam yang melaksanakan Syariah atau hukum Syarak. Maka cabaran kepada kedua-dua institusi ini sudah tentu akan memberikan impak yang sangat serius ke atas agama Islam serta pelaksanaan ajaran Islam dan juga kedudukan umat Islam secara keseluruhannya.

   
Sebagai rumusannya, mempersoal atau tindakan mahu mengenepikan autoriti bertanggungjawab yang dilantik kerajaan untuk menguruskan hal berkaitan agama Islam ini kesannya bukan kecil. Sekiranya ini berlaku, bahaya yang lebih besar akan menimpa institusi agama, seperti institusi fatwa dan Mufti. Institusi ini akan dipersenda dan seterusnya akan menyebabkan semua keputusan berkaitan agama akan dipersoal dan tidak dihormati. Keadaan ini akan menjatuhkan institusi agama tersebut. Keadaan ini menjadi cabaran, bahkan juga satu bentuk ancaman kepada agama Islam, terutamanya dalam keadaan semasa, yang mana di peringkat global sekalipun, persepsi buruk terhadap autoriti agama ini sudah berleluasa.   

Saya bukan bermaksud menyatakan kemaksuman pihak berkuasa agama sehingga tidak boleh ditegur atau tidak boleh dipersoal. Pada pemerhatian saya, prosedur dan perbincangan atau bersemuka perlu dilakukan dengan pihak berkuasa agama kerana kita mempunyai undang-undang prosedur yang agak sempurna dan kaedah penguatkuasaan yang agak komprehensif. Selain daripada mengambil pendekatan perbincangan, sekiranya keadaan memaksa, maka semakan di mahkamah juga boleh menjadi pilihan. Semakan mahkamah adalah jauh lebih baik daripada ‘perbicaraan di media’ dengan menggunakan pendekatan sentimen dalam kalangan orang awam.   

Kesan daripada ‘perbicaraan di media’ dan mempergunakan sentimen khalayak akan seterunya membawa padah kepada perundangan Islam oleh kerana terdapat kemungkinan besar bahawa hal berkaitan perundangan Islam itu diserahkan kepada kepada mereka yang tidak tahu tentang perundangan Islam. Secara objektif, saya tidak menolak kemungkinan berlakunya ketidakteraturan dalam penguatkuasaan jenayah. Sekiranya ketidakteraturan itu berlaku, ia adalah masalah yang juga berlaku dalam proses penguatkuasaan undang-undang lain juga. Kritikan kepada polis juga sentiasa kita dengar dan maklum. Tetapi kritikan ke atas ketidakteraturan tersebut tidaklah sampai kepada satu tahap mencadangkan pemansuhan undang-undang jenayah berkaitan.   
Apabila bercakap mengenai jenayah, kita hendaklah faham tentang tujuan undang-undang tersebut diperkenal. Misalnya undang-undang khalwat. Kesalahan khalwat boleh mengundang permasalahan sosial yang lebih serius; saya bukan merujuk kerana perbuatan itu diharamkan oleh Islam sahaja. Khalwat dijadikan kesalahan kerana perbuatan itu mempunyai kecenderungan yang munasabah untuk mencipta satu jenayah lain yang seterusnya akan menyebabkan kecelaruan sosial.
 
Jika diperhatikan tuntutan kebebasan atau hak privasi dalam hal ini bercanggah dengan kemahuan masyarakat untuk menangani masalah sosial. Sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah sosial seperti ini sekiranya kita tidak mengambil perhatian kepada nilai moral yang dikuatkuasa melalui undangundang. Benar jika dikatakan nilai moral itu harus dibentuk dan ditanam dalam diri dan syakhsiah ahli masyarakat, tetapi gandingan antara pendidikan dan pembentukan nilai diri dan satu bentuk peringatan adalah juga perlu dan juga penting. 

 


Oleh :  
Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti A. Aziz Panel Jawatankuasa Pemikir Isu Islam Semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Rate this item
(0 votes)

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top