Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
  • Tahniah Dato' Sri
  • Welcome-BM
  • eFatwa-BM
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 419 (31 OKTOBER 2016 M / 30 MUHARRAM 1438 H)

 

SOALAN:

Assalamualaikum admin. Saya ingin bertanya, apakah hukum berkhatan bagi kanak-kanak perempuan, kerana viral baru-baru ini bahawa khatan wanita tidak wajib, bahkan tidak disyariatkan di dalam Islam?

 

JAWAPAN:

 

Waalaikumussalam wbt,

Perbuatan berkhatan bagi wanita sudah menjadi amalan kebiasaan sebahagian masyarakat termasuk masyarakat Arab sejak dahulu kala. Pada zaman Rasulullah SAW, amalan ini berlaku dan Rasulullah SAW mengiktirafnya di samping meletakkan beberapa kaedah. Allah berfirman di dalam al-Quran:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.

Surah al-Nahl, (16:123)

Telah sabit daripada hadis bahawa Nabi Ibrahim melaksanakan khatan seperti mana yang diarahkan oleh Allah. Daripada Abu Hurairah SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالقَدُّومِ
Maksudnya: Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 3356) dan Imam Muslim (no. 2370) dalam al-Sahihain.

Sabitnya pensyariatan khatan ini juga dikuatkan dengan hadis daripada Humaid bin Bilal, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ
Maksudnya: Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.

Hadis riwayat Imam Muslim dalam al-Sahih (no. 349).

Hadis ini menunjukkan bahawa wanita juga berkhatan, dan bukan sahaja lelaki. Dalam mazhab al-Syafie, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat yang masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).
Imam Ahmad turut menyatakan kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan ianya sunat.

Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi

Timbul isu dalam kalangan masyarakat bahawa khatan wanita mencacatkan anggota dan tafsiran bahawa khatan wanita itu tidak disyariatkan di dalam Islam. Sebenarnya kami berpendapat isu ini berpunca daripada pengamalan budaya yang bukan Islam dan kejahilan sebahagian orang yang mengendalikan khatan yang melampau sehingga mencacatkan fungsi kemaluan wanita.

Berkata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan selainnya, dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan.”[1]

Berkata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Berkhatan itu disyariatkan, dan tidak ada pendapat yang boleh menidakkan perkara ini sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Yang penting adalah hendaklah ianya disempurnakan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya.” [2]

Tarjih dan Kaifiat berkhatan

Kami mentarjihkan pendapat bahawa wajib hukumnya berkhatan bagi lelaki dan perempuan. Adapun bahagian yang wajib untuk dibuang ketika berkhatan ialah:

  • Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar).
  • Bagi perempuan, bahagian kulit diatas saluran kencing (klitoris), yang seperti balung ayam jantan.
    Bagi perempuan disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation
    yang mana sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris. Bahkan perbuatan seperti itu diharamkan dalam Islam. Ini berdalilkan hadis daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyyah bahawa perlaksanaan khatan berlaku dalam kalangan kaum perempuan di Madinah, lalu Rasulullah SAW berpesan kepada beliau:

 

لَا تَنْهِكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ، وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ
Maksudnya: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.”

Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan (no. 5271). Beliau mendaifkannya. Ini dipersetujui oleh Syeikh Syuaib al-Arnaut, tetapi disahihkan oleh Syeikh al-Albani.

Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/301-302) oleh Imam al-Nawawi.

Begitulah cara mengkhatan lelaki dan wanita yang betul. Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.

Wallahua’lam.

Nota hujung:
[1] http://www.qaradawi.net/new/Articles-4379
[2] http://www.umatia.org/ftawa12.html


e fatwa
e kiblat
e tauliah

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 953

Minggu Ini : 4536

Bulan Ini : 21622

Keseluruhan : 9967309

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji