Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

Soalan: Saya mendengar kenyataan “Al-Ghazali kata kalau kamu letakkan kapas pada api, kapas itu terbakar bukan kerana api tetapi kerana Allah mahu ia terbakar”. Beliau menegaskan bahawa hal ini tidak rasional kerana semuanya meletakkan kepada Tuhan semata-mata. Apakah pemahaman sebenar dalam konsep sebab-akibat ini?

Jawapan:

Pemahaman dalam konsep sebab-akibat ini sangat berkaitan dengan perilaku seharian sebagai seorang manusia yang normal. Isu sebab-akibat ini adalah isu asas dalam akidah Asya’irah. Dalam hal ini, individu berkenaan mungkin merujuk kepada kenyataan Imam al-Ghazali dalam kitabnya Tahafut al-Falasifah yang menegaskan bahawa Allah mampu membuat apa sahaja. Kuda tidak wajib baginya diciptakan daripada air mani, pokok tidak wajib diciptakan daripada biji benih. Kenyataan Imam al-Ghazali ini tidak wajar dibaca dengan meninggalkan perbahasan sepenuhnya dalam Tahafut al-Falasifah. Hal ini juga ada dibahaskan dalam subjek Mekanik Kuantum oleh saintis moden.

Perbincangan ini pada asasnya tidak lari daripada hukum adat disisi Asyai`rah sebagaimana dikupas dalam al-Muqaddimat oleh Imam al-Sanusi:

  1. Kaitan antara wujud dengan wujud; Seseorang itu kenyang kerana dia makan.
  2. Kaitan antara tidak wujud dengan tidak wujud; Seseorang tidak kenyang kerana tidak makan.
  3. Kaitan antara wujud dengan tidak wujud; Seseorang itu lapar kerana dia tidak makan.
  4. Kaitan antara tidak wujud dengan wujud; Seseorang itu tidak lapar kerana dia makan.

Hakikatnya, samada wajib, mustahil dan harus di sisi adat, kesemuanya adalah harus di sisi akal (boleh berlaku) yang juga termasuk dalam perkara yang mumkinat di sisi Allah SWT. Imam al-Ghazali di dalam Tahafut al-Falasifah mengkritik pendapat ahli falsafah yang menyatakan bahawa hubungan sebab-akibat merupakan hubungan yang bersifat tetap dan pasti. Imam al-Ghazali tidak menolak hukum sebab-akibat tetapi beliau meluruskan salahfaham anggapan dikalangan umat Islam bahawa apa yang terjadi di alam ini hanya disebabkan kekuatan kebendaan semata-mata tanpa. Sedangkan, ada sebab lain disebalik keadaan itu iaitu kehendak Allah SWT (al-iradah al-qadimah) dan kekuasaan Allah SWT (al-qudrah al-qadimah). 

Sebagai contoh, kaitan antara makan dan kenyang sebenarnya tidak terdapat hubungan yang bersifat kemestian. Ertinya, orang yang makan tidak memestikan dia merasa kenyang. Begitu pula kertas tidak mesti terbakar oleh api, air tidak mesti menyebabkan kain menjadi basah. Semua itu hanya merupakan adat atau kebiasaan alam, bukan suatu kemestian. Terjadinya segala sesuatu di dunia ini kerana kekuasaan dan kehendak Allah semata-mata. Oleh itu, kalau kertas yang terbakar kerana terkena api, orang makan menjadi kenyang, dan kain yang basah kerana terkena air, itu semua semata-mata hanya kerana kekuasaan dan kehendak Allah. Hukum sebab-akibat yang berlaku bukannya daripada kekuatan semulajadi sesuatu benda, tetapi merupakan sunnatullah. Sesuatu sebab tidak semestinya akan membawa sesuatu akibat tertentu.

Begitu juga di sana terdapat keadaan yang mana ada hukum sabab dan musabab tetapi berubah keadaannya bagi menunjukkan kekuasaan-Nya melalui kaedah kun fayakun. Ini sebagaimana dalam peristiwa yang jelas disebutkan dalam al-Qur’an seperti kisah unta Nabi Soleh yang keluar daripada batu, perjalanan Isra’ dan Mi’raj, Nabi Ibrahim tidak terbakar di dalam api, 12 mata air Nabi Musa, Maryam melahirkan Nabi ‘Isa, pemuda Kahfi dan lain-lain. Inilah yang dinamakan sebagai mukjizat dan karamah.

Dalam membahaskan berkenaan terbakarnya kapas disebabkan api, Imam al-Ghazali membawakan penghujahan yang sangat baik pada kami. Menurutnya, terdapat dua kemungkinan:

  1. Boleh jadi api bertemu kapas tanpa terjadi kebakaran
  2. Perubahan kapas menjadi abu tanpa pertemuan dengan api

Para ahli falsafah sememangnya mengingkari hal ini. Dinyatakan bahawa api hanya pelaku yang membakar kerana sifatnya dan diri api itu sendiri adalah mati dan tidak mempunyai perbuatan dan pilihan. Imam al-Ghazali menegaskan bahawa boleh sahaja kapas itu menjadi hitam tanpa disentuh api melalui kehendak Allah. Dalam masa yang sama, beliau juga memberi penjelasan bahawa api bukanlah pelaku sebenarnya kerana jika seseorang membunuh orang lain dengan melemparkannya kepada api, tentu yang memerhatikan situasi itu akan menyatakan orang itu yang membunuh, bukannya api kerana api cuma sebab langsung atau musabbab yang membunuhnya.

Hukum sebab-akibat yang berlaku bukannya daripada kekuatan semulajadi sesuatu benda, tetapi merupakan sunnatullah. Sesuatu sebab tidak semestinya akan membawa sesuatu akibat tertentu.

Sebelum menyatakan bahawa aliran akidah yang wujud sekarang tidak rasional kerana meletakkan sepenuhnya kepada Allah semata-mata, seseorang perlu faham konsep sabab, musabbab dan musabbib al-asbab. Contohnya, ubat dan rawatan adalah sabab, sembuh penyakit yang diubati adalah musabbab. Kehendak, ketentuan dan kekuasaan Allah yang menyembuhkan penyakit itu adalah musabbib al-asbab.

Justeru, kehendak Allah menentukan sama ada pilihan manusia tercapai atau tidak, Allah SWT lah yang menentukannya kerana Allah SWT mengetahui kebaikan, kesesuaian dan kesan di sebalik sesuatu pilihan manusia. Jika ia baik, sesuai dan memberi kesan positif, Allah SWT akan memudahkan ianya tercapai. Sebaliknya jika ia buruk, tidak sesuai dan memberi kesan negatif, Allah SWT akan menyukarkan ia dari tercapai. Ini kerana Allah adalah tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana sementara manusia dalam membuat pilihan serba tidak mengetahui dan tidak bijaksana.

Hal ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَمَا تَشَاءُونَ إِلاَّ أَن يَشَاءَ اللهٌ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya: “Dan tiadalah kamu berkehendak (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan kehendak Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Insan : 30)

Meletakkan Allah sebagai Penyebab utama bagi semua sebab adalah sah di sisi wahyu samada dalam bentuk hakiki atau adab kepada-Nya. Musibah, kebaikan dan keburukan semuanya adalah datang daripada Allah SWT. Kesemuanya telah tertulis dalam qadha’ dan qadar-Nya. (Rujuk Syarah al-‘Aqidah al-Thahawiyah, 5/51)

Firman Allah SWT:

قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ اللَّـهِ

Maksudnya: “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah.”
(Surah al-Nisa’: 78)

Menurut Imam al-Razi, ia bermaksud keseluruhan qadha’ dan qadar Allah. Pelaksanaannya meliputi hal yang baik, juga kepada yang membuat kekejian, yang beriman dan yang kafir. Berkata Ali bin Abi Talhah, daripada Ibn ‘Abbas berkata (قُلْ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ ) bermaksud “Kebaikan dan kejahatan.” Begitu juga dinyatakan oleh al-Hasan al-Basri. (Rujuk Mafatih al-Ghaib, 2/362).

Lihat juga bagaimana ucapan Nabi Ibrahim alaihisssalam ketika berdialog dengan kaumnya sebagaimana dinyatakan dalam al-Qur’an.

الَّذِي خَلَقَنِي فَهُوَ يَهْدِينِ ﴿٧٨﴾ وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ ﴿٧٩﴾ وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ ﴿٨٠﴾

Maksudnya: “Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum, Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;” 
(Surah al-Syu’ara’: 78-80)

Dalam rangka mengusahakan sebab, hatinya bergantung kepada Allah agar sebab itu menghasilkan musabab yang diharapkan. Selesai mengusahakan sebab, hatinya bergantung kepada Allah dalam menanti musabab yang bakal Allah berikan. Setelah menerima musabab, dia bersyukur, redha atau sabart dalam apa jua yang Allah SWT taqdirkan ke atasnya.

Seperti juga tidak menisbahkan perbuatan jahat kepada-Nya, ia adalah satu bentuk adab tanpa menafikan kedua-duanya adalah kembali kepada kehendak dan kekuasaan-Nya. Firman Allah SWT:

مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّـهِ ۖ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ ۚ

Maksudnya: “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.”
(Surah al-Nisa’: 79)

(مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّـهِ) adalah hal yang diciptakan-Nya, (وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ) adalah satu bentuk penisbahan yang beradab kepada-Nya.

Allah bukan sahaja mencipta ‘ain makhluk, malah setiap perbuatan makhluk yang pada pandangan zahirnya merupakan ciptaan makhluk itu sendiri juga merupakan ciptaan Allah. (Rujuk al-Iman bi al-Qadha’ wa al-Qadar, m. 90).  Imam al-Ghazali menyatakan: Tidak ada makhluk yang terzahir melalui suatu makhluk lain [termasuk sebab musabab]. Malah, semuanya terzahir melalui kudrat Allah SWT. (Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, m. 30)

Kesimpulannya, pada hakikatnya manusia mempunyai kekuasaan (qudrah) walaupun ia tidak memberikan sebarang kesan, dan dinamakan kekuasaan atau usaha (kasb) itu sebagai kekuasaan yang baru (al-qudrah al-hadithah).  Dalam persoalan usaha, Imam al-Asy’ari menekankan usaha manusia dalam perbuatan adalah diciptakan (makhluq). Dengan demikian, beliau menegaskan bahawa kekuasaan Allah adalah hakiki manakala usaha manusia hanya bersifat perlambangan (majazi) sahaja.

Allah merupakan pencipta kepada perbuatan manusia sama ada baik mahupun jahat, dan manusia pula adalah pelaku (muktasib) kepada perbuatannya itu. Imam al-Asy’ari menekankan konsep kekuasaan Allah yang mana menjelaskan bahawa semua perkara sama ada baik mahupun buruk adalah dikehendaki oleh Allah. Dia menjadikan perbuatan manusia dengan menjadikan dalam diri manusia, kuasa untuk melakukan setiap perbuatan. (Rujuk al-Ibanah, 2/25)

Wallahua'lam.

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 941

Minggu Ini : 10129

Bulan Ini : 21876

Keseluruhan : 9813369

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji