Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 200 (29 FEBRUARI 2016 M / 20 JAMADILAWAL 1437 H)

 

SOALAN:

 

Assalamaualaikum wbt Datuk, 

Pada zaman sekarang, ramai yang merancang untuk mendapat anak sedikit seperti seorang atau dua orang sahaja.

 i) Apakah hukum merancang keluarga untuk mendapatkan anak yang sedikit seperti seorang mahupun dua orang.

 ii) Apakah hukum mengikat saluran peranakan bagi tujuan menghalang untuk beranak lagi tanpa sebab masalah kesihatan.

 Sekian terima kasih.

 

JAWAPAN:

 

Waalaikumussalam wbt,

Merancang keluarga boleh dibahagikan kepada dua;

  1. Tahdid al-Nasal (تحديد النسل)
  2. Tanzim al-Nasal (تنظيم النسل )

Jenis yang pertama bererti mengehadkan atau menamatkan terus kemampuan pasangan untuk mendapat anak. Ramai tokoh sarjana Islam dan badan berautoriti berfatwa bahawa haram melakukan perancangan keluarga jenis ini. Ini kerana Syarak sendiri meggalakkan agar kita mendapat anak. 

 Daripada Abu Sa`id bin Hilal, bawa Rasulullah SAW bersabda:

تَنَاكَحُوا، تَكْثُرُوا، فَإِنِّي أُبَاهِي بِكُمُ الْأُمَمَ يَوْمَ الْقِيَامَ

Maksudnya: Bernikahlah kalian, dan peramaikan bilangan kalian, kerana aku akan berbangga dengan kalian atas ramainya umatku nanti di Hari Kiamat.

Riwayat Abdurrazzaq (10391) dalam Musannaf.

 

Islam juga melarang manusia membunuh dan menggugurkan anak kerana faktor takutkan kefakiran, kemiskinan dan tidak cukup makan. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka

Surah al-An`am, 6:151

 Firman-Nya lagi:

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Maksudnya: Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).

Surah Hud, 11:6 

Manakala jenis kedua bererti menjarakkan anak bagi tujuan kestabilan keluarga dan mengelakkan caca merba dalam pengurusan rumahtangga. Dalam hal ini, sebahagian besar ulama membenarkan untuk menjarakkan sedikit mendapat anak. Itu pun dengan iktikad bahawa jika Allah SWT kehendaki, dan tetap mendapat anak, maka itu adalah rezeki, hadiah dan amanah daripada-Nya. Firman Allah Taala:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

 Maksudnya: Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Surah al-Syura, 42:49

Perhatikan kalimah “يهب” yang membawa maksud Dia menghadiahkan atau memberikan, menunjukkan anak ini adalah anugerah istimewa daripada Allah SWT. Justeru berdoalah kita dengan doa yang diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahua`lam.

Pautan berkaitan ke Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan:  1. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/rancangan-keluarga 2. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/rancangan-keluarga-2

3. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/sistem-susuk-norplant-dalam-program-perancang-keluarga-kebangsaan

4. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/isu-isu-perubatan-dalam-perspektif-islam

5. http://www.e-fatwa.gov.my/blog/hukum-menggugurkan-kandungan