Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #712 : SOLAT SUNAT QABLIAH ATAU MENDENGAR CERAMAH?

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Ada masjid yang saya kunjungi sewaktu solat Zuhur sering mengadakan kuliah sebelum solat. Biasanya selepas tamat kuliah, iqamah terus dilaungkan dan solat fardu Zuhur terus didirikan secara berjemaah. Adakah lebih baik solat terus tanpa solat ba`diah Zuhur atau adakah saya patut beralih ke belakang dan solat ba`diah Zuhur dan meninggalkan ceramah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami beranggapan bahawa saudara/i yang bertanya mungkin terkeliru dengan istilah qabliah dan ba`diah. Maklum dalam Syarak bahawa disunatkan bagi seseorang itu untuk solat sunat qabliah (sebelum) Zuhur dan ba`diah (selepas) Zuhur. Paling afdal ialah empat rakaat qabliah dan empat rakaat ba`diah manakala paling kurang ialah dua rakaat bagi qabliah dan ba`diah. Hal ini berdasarkan hadith, Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَدَعُ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْغَدَاةِ

Maksudnya: “Nabi SAW tidak meninggalkan empat rakaat solat sunat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sebelum solat Subuh.” Riwayat al-Bukhari (1127).

Hadith seterusnya:

كَانَ يُصَلِّى فِى بَيْتِى قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّى بِالنَّاسِ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّى رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Baginda bersolat di rumahku empat rakaat sebelum Zuhur, kemudian Baginda keluar bersolat bersama-sama orang ramai. Selepas itu Baginda masuk semula bersolat pula dua rakaat.” Riwayat Muslim (730).

Baginda juga menambah solat dua rakaat lagi selepas itu. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ummu Habibah R.Anha katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعًا بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللهُ عَلَى النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat empat rakaat sebelum solat Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, Allah memeliharanya daripada neraka.”

Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie, Ibn Majah dan Ahmad dan disahihkan oleh al-Tirmizi (427 & 428)

Kedua, adalah lebih baik masjid tersebut tidak meninggalkan azan kerana azan adalah syiar Islam. Ia juga merupakan pemberitahu kepada masyarakat sekeliling bahawa waktu solat sudah masuk. Apatah lagi jika kejadian itu berlaku di masjid yang merupakan pusat kepada aktiviti keagamaan masyarakat setempat. Daripada sudut fiqh, azan itu sunat muakkad hukumnya bagi solat yang hendak dilakukan atau yang sudah luput. (Rujuk Fiqh al-Manhaji, 1/114). Ertinya, tiada masalah sekiranya selepas habis kuliah, azan dilaungkan. Namun, kami cadangkan sebaiknya dihentikan seketika kuliah untuk azan Zuhur, kemudian disambung yang berbaki daripada kuliah. Dengan itu setiap hak penceramah dan hak solat dapat diraikan dengan harmoni.

Ketiga, tiada masalah untuk solat qabliah dan meninggalkan ceramah itu. Baik juga jika selesai solat dan ceramah masih berlangsung, untuk bersama dengan jemaah mendengar ceramah tersebut. Berkenaan dengan solat di belakang atau di sisi ruang solat, kami berpendapat perbuatan tersebut lebih utama jika dengan itu sebagai adab dan mengelakkan gangguan kepada penceramah sekiranya kita solat di hadapan mereka.  Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh menyebut:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”

Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’.

Kami juga menasihatkan agar imam dan jemaah tidak meninggalkan solat sunat qabliah dengan terus didirikan solat selepas tamatnya kuliah untuk meraih fadilat solat sunat. Abdullah bin Mughaffal al-Muzani RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ، بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ، ثُمَّ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ: لِمَنْ شَاءَ

Maksudnya: “Di antara setiap dua azan (yakni azan dan iqamah) itu terdapat solat. Di antara setiap dua azan itu terdapat solat.” Kemudian baginda menyebut pada kali ketiga: “bagi siapa yang ingin melaksanakannya (menunjukkan hal itu sunat).” Hadis riwayat Imam Bukhari (627) dan Imam Muslim (838).

Wallahua’lam.